Wednesday 6 October 2010

KALIBER RIFLE TEMPUR YANG SESUAI UNTUK PERTEMPURAN SEKARANG

Perbandingan Peluru 7.62 (kiri) dengan 5.56 (tengah)
1. Pakar-pakar industri pertahanan serta pemerhati industri pertahanan sedang hangat membincangkan keperluan yang sesuai untuk menjadikan rifle tempur yang sesuai untuk digunakan pada keadaan pertempuran sekarang. Rifle tempur menjalani satu evolusi yang boleh dikatakan amat panjang dengan permulaannya dikenali sebagai muskeet dan menggunakan peluru dari jenis bebola yang perlu diisi dari hadapan muncung laras. kemajuan teknologi serta kajian yang dilaksanakan hasil daripada penglibatan dalam pertempuran telah menjadikan rifle tempur sebagaimana yang kita lihat sekarang.
2. Kriteria utama yang menjadi perbincangan adalah jenis peluru yang sesuai digunakan. Sekarang 2 jenis peluru yang digunakan secara meluas oleh tentera-tentera di serata dunia iaitu 5.56 dan 7.62. Bagi kedua-dua peluru ini ia adalah berlainan di antara jenis yang digunakan oleh Pakatan NATO dan juga Pakatan WARSAW. Sebelum peluru 5.56 diperkenalkan semasa Perang Vietnam, kebanyakan rifle menggunakan peluru dari jenis 7.62 yang mana NATO menggunakan 7.62 x 51mm NATO(nombor pertama ialah diameter, nombor kedua ialah panjang kelongsong dalam ukuran metrik) dan bagi Pakatan WARSAW menggunakan 7.62 x 39mm. Peluru 5.56 diperkenalkan adalah untuk membolehkan anggota membawa jumlah peluru pada bilangan yang lebih sekali ganda berbanding peluru 7.62 pada kadar berat yang sama. Sebagai perbandingan secara kasar bagi berat 1 kg, 30 butir peluru 7.62 boleh dibawa manakala bagi peluru 5.56, sebanyak 60 butir peluru dapat dibawa pada jumlah berat yang sama. Ini dapat dikatakan dapat meningkatkan kuasa tembakan melalui jumlah peluru yang dibawa dan ianya kelebihan kepada anggota untuk sustain  di medan pertempuran. Kuasa sentakan pada senjata dapat dikurangkan akibat recoil senjata. Disebabkan itu ia dipilih menjadi peluru bagi rifle tempur kerana ia ringan dan upaya meningkatkan kuasa tembakan.

3. Keadaan ini berubah setelah After Action Review (AAR) yang dilakukan oleh tentera Amerika semasa pencerobohan ke atas Iraq dimana kebanyakan tentera mereka mengatakan bahawa kaliber peluru 5.56 yang digunakan oleh mereka tidak dapat membunuh musuh sebagaimana berbanding apa yang dilakukan oleh peluru 7.62. Peluru 5.56 tidak mempunyai daya atau kesan robekan yang kuat danini menyebabkan ianya tidak dapat menembusi halangan seperti pagar yang dibuat dari lumpur dan juga dinding batu. Tentera Amerika dapat melihat kesan tembakan senjata AK 47 yang menggunakan peluru 7.62 yang mana ianya sedikit sebanyak memberikan kesan psikologi terhadap mereka. Selain itu juga, kebanyakan veteran kita juga gemar menggunakan senjata SLR 7.62 walaupun saiznya amat berat dan panjang. Ianya dikaitkan dengan ketepatan tembakan dan juga penembusan peluru tersebut yang mampu dilakukan terhadap pokok-pokok apabila komunis berlindung.

7.62 (kiri), 6.5 grendel (tengah),
5.56 (kanan)
Senjata QBZ - 95 dan pelurunya
4. Bagi mengatasi kekurangan pada peluru 5.56 dan 7.62, beberapa negara telah memperkenalkan peluru yang dikatakan mempunyai saiz yang optima dengan kesan yang memberangsangkan. China telah mengejutkan dunia dengan memperkenalkan kaliber peluru yang baru bagi senjata baru mereka. Apabila senjata QBZ - 95 (yang mempunyai bentuk seakan FAMAS) diperkenalkan semasa penyerahan Kepulauan Hong Kong, mereka didapati menggunakan peluru 5.8 x 42 mm. Selain daripada peluru 5.8, satu lagi peluru yang dikatakan mempunyai sifat 5.56 dan 7.62 telah diperkenalkan oleh Amerika Syarikat. Peluru tersebut adalah hasil daripada kajian Pusat Operasi Khas Amerika Syarikat (SOCOM) dan hasilnya adalah 6.5 x 38mm dikenali sebagai Grendel. Walaupun peluru ini dikatakan amat sesuai sebagai peluru yang optima bagi senjata rifle tetapi ia akan mengambil masa kerana ia melibatkan kos dan juga keperluan logistik. Ini akan menyebabkan ada sesetengah negara tidak begitu senang dengan pertukaran peluru ini.
5. Walau apa saiz yang difikirkan untuk mendapatkan kesan yang yang diingini, marksmanship pengguna senjata tersebut adalah amat penting kerana mereka yang akan menentukan titik jatuh peluru tersebut.

No comments:

Post a Comment