Saturday 27 November 2010

Never Fear Heli Is Here

Go to fullsize image
UH-60 Blackhawk
Minggu lepas saya ada menonton dokumentari bertajuk 'Inside Afghan ER'. Ia menceritakan bagaimana casevac dan medevac dilakukan oleh tentera Amerika di Kem Solerno, Afghanistan yang menggunakan helikopter dan juga suasana yang dihadapi oleh mereka seharian dalam menghadapi tentangan oleh Taliban. Dalam dokumentari tersebut apa yang mengagumkan saya adalah mereka mempunyai helikopter yang khas hanya untuk dijadikan ambulan udara. Ini memudahkan operasi casevac dan medevac dilaksanakan dengan  cepat.
Hubungan 'intim' antara ATM dengan helikopter telah wujud semasa era insurgensi. Berdasarkan kepada cerita 'orang-orang lama' helikopter adalah penyambung nyawa dan juga hubungan mereka dengan dunia luar semasa beroperasi dalam hutan. Ketibaan Nuri akan ditunggu dengan penuh harapan kerana ia membawa ration, surat dan lain-lain barang semasa resup (resupply). Apabila Nuri tidak sampai kerana delay disebabkan oleh faktor cuaca atau lain-lain yang tidak dapat dielakan, maka berlaparlah mereka dalam hutan dan makan apa yang ada. Selain itu, apa yang selalu dinantikan bagi ketibaan Nuri adalah apabila ada anggota yang cedera dan memerlukan pemindahan segera, Nuri merupakan harapan mereka walaupun terpaksa membuka Landing Point yang baru di tengah hutan. Anggota yang cedera akan dibawa menggunakan Nuri dan ini meyebabkan pilot helikopter sangat di hormati kerana ada yang sanggup mengambil anggota yang cedera sewaktu peluru musuh bersimpang siur. Selain itu, ada insiden dimana serangan hendap di Kroh oleh anggota PGK yang memusnahkan kenderaan perisai TD (V-150), Alouette Gunship yang bersenjatakan meriam 20 mm telah memberikan bantuan tembakan dengan menembak ke arah PGK dan ianya menyelamatkan ramai anggota TD pada ketika itu. Cerita lanjut mengenai kisah ini boleh dibaca melalui post yang bertajuk Serang Hendap Baling-Kroh di  blog jotting of an xnuripilot.

Helikoper mula di gunakan oleh Perancis semasa konflik di Algeria pada tahun 1954 dan seterusnya ianya digunakan secara meluas oleh Amerika semasa Perang Vietnam. Para pengkaji ketenteraan mengakui bahawa helikopter mempunyai banyak kegunaan dan kelebihan taktikal yang mana mampu bergerak ke satu tempat dengan lebih cepat, membawa bebanan lebih banyak dan mampu memberikan lebih maklumat. Sebagai contoh, Perancis menggunakan helikopter untuk mengangkut trup dengan menurunkan mereka dihadapan musuh mereka, sebagai ambulan dan juga mengangkut kargo ke kawasan yang mempunyai muka bumi yang sukar. Tentera Malaysia juga menggunakan helikopter secara intensif semasa penglibatan menentang insurgensi kerana keadaan muka bumi yang bergunung ganang dan hutan yang mana pergerakan menggunakan kenderaan darat adalah sukar.
Berdasarkan kepada keadaan peperangan sekarang serta bentuk ancaman yang telah berubah, sepatutnya kita perlu mempunyai beberapa jenis helikopter untuk kegunaan tentera (ini pandangan saya sahaja). Kategori helikopter yang dirasakan perlu untuk  adalah:

- Helikopter Penggempur.  Ia mula diperkenalkan semasa Perang Vietnam oleh Amerika. Helikopter pertama ialah AH-1 Cobra. Ia direka sebagai gunship helikopter untuk melaksanakan serangan terhadap kedudukan Vietcong serta sebagai pengiring kepada helikopter pengangkut semasa ke kawasan operasi. Ia juga digunakan untuk memusnahkan kereta kebal Vietnam Utara. Sebelum ini terdapat juga gunship helikopter, tetapi ianya adalah helikopter yang pengangkut yang dipasang senjata seperti UH-1, alouette, Gazelle dan banyak lagi
AH-1 Cobra
Selepas Cobra dikenalkan, Mi-24 Hind diperkenalkan oleh Soviet pada tahun 1972. Ia juga dikenali sebagai flying tank.  Ia mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugasan helikopter penyerang dan juga sebagai pengangkut trup untuk 8 orang infantri.

MI - 24 Hind
- Helikopter Pengangkut/Perubatan. memandangkan usia Nuri yang dah tua, kita sepatutnya telah memiliki heli yang baru dan dilengkapi dengan sistem terkini. Penggantian Nuri harus dilaksanakan dengan segera kerana ia telah digunakan dengan lasaknya sejak tahun 1960-an lagi. Keperluan untuk helikopter pengangkut yang baru tidak dapat dinafikan lagi. Selain daripada  helikopter pengangkut, keperluan untuk helikopter perubatan atau ambulan udara diperlukan sebagaimana yang kita lihat dalam tentera luar negara. Helikopter jenis ini mempunyai kemampuan yang lain kerana ia mampu mengisi pengusung dan lain-lain peralatan perubatan. 
Go to fullsize image
Mi - 17
Keperluan helikopter tidak lagi dinafikan kepentingannya. Ia mempunya keupayaan yang tiada pesawat kepak kaku (kapalterbang). Kita perlu belajar dari pengalaman kita yang lepas dan juga pengalaman orang lain bahawa helikopter membawa banyak jasa dan masih menjadi suatu yang amat penting.

Monday 1 November 2010

Field Marshal Erwin Rommel

Kali ini saya akan buat entry mengenai salah seorang tokoh peperangan moden yang terkenal iaitu Field Marshal Erwin Johanes Eugene Rommel atau juga dikenali sebagai Erwin Rommel. Rommel diiktiraf di antara Jeneral yang mempunyai kebijaksanaan di medan tempur yang tinggi dan juga dia amat berani semasa Perang Dunia Ke 2.

Rujukan yang digunakan buku mengenai beliau bertajuk A Life of Field Marshal Erwin Rommel. Buku ini ditulis oleh David Fraser, bekas Jeneral British dan buku ini diterbitkan pada 1993 oleh syarikat penerbitan Harper Collins. Buku ini setebal 585 muka surat. Walaupun ia menerangkan mengenai sejarah hidup Rommel ia juga menerangkan serba sedikit mengenai Jerman dan sejarahnya. 

Rommel dilahirkan pada 15 Nov 1891dan menyertai tentera pada Jan 1912 dalam  124th Württemberg Infantry Regiment. Beliau pernah terlibat dalam Perang Dunia Pertama dan berkhidmat dalam 6th Württemberg Infantry Regiment, kemudiannya ditukarkan ke Württemberg Mountain Battalion. Beliau pernah menawan berjaya menawan tentera Itali yang berkekuatan 150 orang pegawai, 9000 anggota dan 81 meriam. Kerana kejayaan tersebut beliau dianugerahkan pingat tertinggi Jerman Pour le Merite . Beliau telah mengeluarkan buku mengenai pengalaman beliau dalam pertempuran  Perang Dunia Pertama tersebut bertajuk Infantry Attack dan buku tersebut dijadikan sebagai rujukan oleh tentera Jerman dan Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua. Beliau juga mengalami kecederaan semasa Perang Dunia Pertama kerana tindakan aggresif dan dianugerahkan Iron Cross, First dan Second Class. Keberanian beliau juga diiktiraf oleh anggotanya dengan ungkapan 'dimana garisan hadapan disitu akan ada Rommel'.

Selepas Perang Dunia Pertama beliau ditempatkan dalam pelbagai jawatan. Disebabkan oleh buku beliau, ia menarik perhatian Hitler dan telah dipilih untuk menjadi Komander Batalion Pelindungan Hitler. Semasa Perang Dunia Kedua meletus, beliau dilantik sebagai Komander Panzer (armor) dan memerintah Divisyen Panzer Ke 7. Beliau terlibat dalam operasi menawan Perancis dan juga Belgium. Keupayaan Divisyen tersebut mengempur musuh dengan kerahsiaan dan juga kejutan menyebabkan ia dikenali sebagai Batalion Hantu (Gespenster-Division). Selepas kejayaan menawan Belgium dan Perancis, beliau ditukarkan ke Afrika dan memerintah Deutsh Afrikakorps dan ia menaikkan nama Rommel. Kegerunan terhadap Rommel menyebabkan Churcil berang apabila panglima-panglima beliau gagal mengekang tentera Jerman akibat kecekapan Rommel. Rommel terlibat dalam dalam pertempuran dan antara pertempuran yang terkenal ialah Battle of Tobruk. Keupayaan beliau menyerang dan mengalahkan tentera bersekutu menimbulkan rasa gerun sehinggalah Jen Montgomery memimpin pasukan British. Kelebihan logistik, pintasan maklumat oleh British menggunakan ULTRA serta kekurangan logistik tentera Jerman menyebabkan Rommel terpaksa mengundurkan tentera tetapi ianya tetap menyukarkan pengejaran ke atas tentera Jerman kerana pengunduran dilakukan dengan teliti dan jerangkap samar dipasang sepanjang laluan pengunduran. Rommel dipanggil balik ke Jerman kerana masalah kesihatan beliau dan akhirnya Afrikakorps telah menyerah kalah semasa ketiadaanya.

Rommel semasa di Afrika
Selepas Afrika, beliau terlibat dalam mempertahankan kawasan Normandy dari serangan pihak Bersekutu. Beliau telah merancang pertahanan kawasan tersebut dengan menempatkan pertahanan dengan teliti, memasang pancang-pancang di kawasan lapang yang dikenali sebagai 'Rommel Asparagus' untuk menghalang pendaratan glider dan memperkukuhkan pertahanan kubu Antlantik. Semasa pendaratan berlaku, Rommel tiada di sana kerana bercuti dan beliau telah bergegas kembali apabila mendengar tentang pendaratan tersebut. Walaupun memberi tentangan hebat Jerman terpaksa berundur apabila menerima asakan yang berterusan dari pasukan bersekutu. Ramai pengkaji ketenteraan mengatakan kekalahan adalah berpunca kerana kengganan staf Hitler mengejutkan dari tidur beliau apabila berita pendaratan ingin disampaikan. Ia menyebabkan pasukan panzer tidak dapat diaturgerak dengan pantas bagi mematahkan pendaratan tersebut. Rommel mengalami kecederaan akibat kenderaan beliau diserang oleh pesawat pejuang pihak bersekutu semasa beliau ingin menuju ke barisan hadapan. Serangan tersebut telah mencederakan beliau dan dimasukan ke hospital akibat kecederaan.
 
 Selepas kekalahan di Perancis, Rommel berada di Jerman merancang serangan balas untuk mematahkan seranga pasukan bersekutu. Pada ketika itu, plot untuk membunuh Hitler sedang dirancang melibatkan pegawai-pegawai kanan Werhmacht dan juga cubaan membawa Rommel ke dalam perancangan tersebut. Rommel bersetuju untuk memberi sokongan terhadap usaha menyingkirkan Hitler dengan membawanya ke Mahkamah Tentera demi menyelamatkan Jerman tetapi menentang sebarang usaha membunuh Hitler kerana beliau bimbang ia akan menyebabkan Jerman terjebak dalam perang saudara. Setelah rancangan membunuh Hitler pada 20 Jul gagal membunuh Hitler, Rommel telah disyaki sebagai perancang utama dan membawa kepada kematian beliau. Hitler merasakan bahawa Rommel amat popular dikalangan tentera Jerman dan ini akan mengancam beliau sekiranya rampasan kuasa berlaku. Hitler telah menghantar 2 pegawai gestapo ke rumah Rommel dan Rommel telah diberi 2 pilihan samada menghadapi perbicaraan Mahkamah rakyat sebagai pembelot dan pengkhianat atau membunuh diri dimana keluarga beliau tidak akan diganggu. Rommel bersetuju untuk mengambil nyawanya sendiri dan beliau telah diberi pil sianida dan berakhirlah riwayat Rommel. Rakyat jerman dimaklumkan mengenai kematian Rommel dengan menyatakan bahawa beliau di serang sakit jantung dan Hitler telah mengarahkan pengebumian penuh dengan adat istiadat ketenteraan untuk menutup kezaliman beliau. Perkara ini akhirnya didedahkan semasa perbicaraan di Nuremberg selepas kekalahan Jerman. 

Rommel menjadi lagenda dalam tokoh-tokoh peperangan moden kerana beliau masih menghormati tawanan dengan memberikan layanan yang baik, aggresif dalam membuat keputusan dan tindakan, sentiasa bersama-sama dengan tenteranya di barisan hadapan dan masih berperikemanusiaan. Semasa beliau menyoal tentera British yang ditawan, Rommel memji mereka dengan mengatakan 'you fought like a group of wolf but you were led by a sheep'. Begitu serba sedikit mengenai Rommel seorang Jeneral yang ulung tetapi disia-siakan oleh pemimpin kerana kebimbangan yang disebabkan oleh kegagalan beliau sendiri.