Tuesday 27 December 2011

Baju Kalis Peluru dalam Peperangan Sekarang


Dalam majalah Men Health versi US saya membaca kesan akibat daripada letupan IED dan juga periuk api di Afghanistan. Apa yang menarik dalam rencana tersebut menjelaskan kesan kecederaan yang di alami oleh tentera Amerika. Kebanyakan kecederaan yang di alami oleh mereka adalah putus kaki, tangan dan juga kemaluan mereka. Kebanyakan daripada anggota badan yang putus atau hilang akan diberi pampasan insuran tetapi tidak untuk
kemaluan mereka. Ini menyebabkan kebanyakan tentera mereka hilang kemampuan untuk memperolehi zuriat. Baiklah itu bukan yang saya ingin bincangkan.

Apa yang menarik adalah pemikir ketenteraan disana bukan menjadikan baju kalis perisai untuk menangkis peluru tetapi untuk mengurangkan kecederaan akibat letupan periuk api dan juga IED. Ia dijangka akan mengurangkan impak atau kesan kecederaan alat kemaluan tentera mereka. Produk ini mula dikeluarkan oleh tentera British dan seterusnya digunakan oleh tentera Amerika. Hasil maklumbalas daripada tentera mereka adalah amat memberangsangkan. Ini kerana mereka menyatakan bahawa kesan psikologi mangsa periuk api dan IED adalah tinggi dan ini menyebabkan mereka cenderung untuk menyisihkan diri dan juga untuk membunuh diri. Ini merunsingkan kementerian pertahanan dalam usaha mereka untuk  menyakinkan rakyat mereka penglibatan negara mereka menentang pengganas. Dengan jumlah kecederaan dan kematian yang semakin meningkat, ia akan mengulangi sejarah perang Vietnam tidak lama dahulu.
Perisai Pelindung Kemaluan.
 Tentera Darat Malaysia tidak dibekalkan sebarang baju kalis peluru samada dalam CIW atau CW. Ia tidak dibekalkan mungkin kerana keadaan cuaca yang lembab akan menyebabkan ketidakselesaan semasa menggunakan baju tersebut. Namun apa apa pun ia seharusnya dikaji semula kerana ia penting bagi mengekalkan keupayaan seseorang untuk bertempur dimana sumber manusia yang terlatih adalah aset yang amat mahal dalam medan perang. Tentera kita hanya dibekalkan baju kalis peluru apabila terlibat dalam misi PBB.  

Wednesday 26 October 2011

Libya Pasca Gadaffi

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kematian Gaddafi yang mana beliau telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Berdasarkan laporan daripada wartawan luar negara, NTC atau Majlis Peralihan Kebangsaan menyatakan mereka telah mendapat kemenangan yang mutlak apabila menawan kubu kuat Gadaffi di Sirte. NTC menyatakan bahawa Libya telah berjaya dibebaskan daripada cengkaman pemerintahan kuku besi atau diktator Gadaffi yang telah memerintah lebih kurang 40 tahun. Namun ramai pakar kajian strategik antarabangsa meragui Libya akan aman selepas pasca Gadaffi.

Ini adalah kerana Gadaffi merupakan duri dalam daging kepada negara - negara barat dimana pada awal dan pertengahan era pemerintahan beliau, kecaman dan kutukan ke atas pemerintahan dan polisi barat sentiasa menjadi topik perdebatan Gadaffi seperti isu Palestin. Ini menyebabkan negara barat tidak senang dengan perkara tersebut. Pada tahun 1988, Amerika Syarikat telah menyerang Libya atas alasan bahawa Gadaffi menyokong kepada keganasan dan membawa insiden pengeboman pesawat Pan Am di Lockerbie. Selepas Gadaffi tunduk kepada tekanan barat, pemerintahan beliau telah beralih kepada pemerintahan islamik bertukar kepada kuku besi dan nepotisme. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan pada tahun 2011, rakyat Libya bangkit menentang pemerintahan beliau di Benghazi dan seterusnya menyebabkan perang saudara.


Peluang ini tidak dilepaskan oleh barat dengan menyatakan sokongan kepada NTC dengan memberikan bantuan senjata dan bantuan udara oleh NATO. Dengan sokongan tersebut, tentera Libya tidak mampu menangkis serangan yang mengabungkan NTC dan NATO dan sekaligus membawa tumbangnya pemerintahan Gadaffi.

Tidak pasti rakyat Libya sedar atau tidak tentang perkara ini bahawa negara mereka berada dalam keadaan yang tidak stabil. Ini jelas dibuktikan bahawa NTC sehingga kini masih bertelagah mengenai cara yang terbaik untuk mengebumikan jenazah Gadaffi. Selain itu, mereka seolah olah tidak sedar bahawa bantuan NATO dan negara barat mempunyai syarat-syarat halus bagi membolehkan mereka membolot hsil minyak Libya. Ini berdasarkan kepada bantuan NATO dimana mereka akan mengambil kira perbelanjaan sepanjang operasi mereka yang meliputi peluru, minyak dan senggaraan pesawat mereka. Ini tidak termasuk jumlah senjata yang dibekalkan kepada NTC. Diharapkan Libya tidak menjadi seperti Iraq selepas pasca Saddam Hussien. 

Sunday 14 August 2011

IED - Ancaman Tersembunyi

Kesan kerosakan akibat IED
 IED atau Improvised Explosive Devices atau dalam bahasa Malaysia adalah Alat Letupan buatan sendiri yang tidak boleh dipandang ringan dalam sebarang operasi ketenteraan. Ia telah menjadi sebagai suatu senjata yang efisien  pasca pencerobohan Amerika ke atas Iraq. Semasa di Iraq, ia telah digunakan oleh pejuang-pejuang di sana untuk memusnahkan konvoi atau membunuh tentera yang sedang melaksanakan operasi mereka. Kini IED telah merebak penggunaannya sehingga ke Afghanistan dan juga Thailand. IED akan menyebabkan kemerosotan moral ke atas tentera yang pernah terlibat atau yang mengalami ancamannya. Ia juga menyebabkan ramai anggota tentera penceroboh terkorban akibat letupan IED. IED juga dikatakan menyebabkan ramai anggota tentera Amerika enggan berkhidmat di Ira atau Afghanistan kerana risau tentang nasib dan juga keselamatan mereka kerana IED ini tidak dapat dikesan kehadirannya.

Bahan yang digunakan untuk IED

Kesan letupan IED
 Kebanyakkan IED menggunakan teknologi yang rendah dan tidak memerlukan sebarang peralatan atau teknologi yang terlampau moden. Berdasarkan kepada laporan selepas pertempuran oleh tentera penceroboh, IED yang digunakan dibuat daripada peluru artileri,atau mortar, bateri, telefon bimbit dan juga TNT. Walaupun ia menggunakan teknologi rendah tetapi ia mempunyai kesan letupan yang mampu meruntuhkan bangunan atau melumpuhkan kereta kebal atau kereta perisai.

 Kebimbangan terhadap ancaman IED telah menyebabkan pelbagai teknik dan taktik serta teknologi telah dicipta untuk mengurangkan kesan atau membuat pengesanan awal terhadap ancaman IED. Begitu serius ancaman IED terhadap tentera Amerika di Iraq, Setiausaha Pertahanan pada ketika itu, Donal Rumsfeld telah dikritik hebat semasa lawatan beliau ke Iraq kerana kenderaan Humvee yang digunakan tidak dapat menangkis serangan IED. Berlanjutan dari kritikan tersebut, kenderaan MRAP (Mine Resistance Ambush Protected) telah dicipta untuk mengurangkan kerosakan serta kecederaan terhadap anggota apabila ia terkena IED ataupun periuk api.  

 Selain daripada kenderaan MRAP, alat pengesan IED juga telah dicipta dan masih diuji yang mana ia dapat mengesan IED melalui teknologi radar dan juga pengesanan bahan letupan dan juga bahan logam. Ada juga peralatan yang menggunakan arus elektrik yang dialirkan ke atas permukaan tanah dimana ia akan melumpuhkan atau memusnahkan IED yang berada dalam jarak selamat mereka.

 Jadi IED ini tidak boleh dipandang mudah oleh TD dan juga ATM. Ini kerana ia mampu mengoyahkan keyakinan anggota tetpi jika kita mampu mempelajarinya, ia boleh digunakan oleh pasukan TD untuk memusnahkan musuh yang bakal menceroboh negara kita. Jadi doktrin yang sewajarnya perlu dirangka bagi mengatasi ancaman IED ini.    

Thursday 4 August 2011

Tentera Marin untuk ATM

Apa Itu Tentera Marin

 Tentera Marin boleh didefinasikan sebagai Infantri kepada Tentera Laut. Berdasarkan kepada sejarah, semasa empayar Eropah pada suatu ketika berlumba-lumba membesarkan empayar jajahan mereka dengan menjalankan penerokaan tempat dan kawasan baru menyebabkan mereka mengaturgerakan kapal-kapal tentera laut mereka bagi mencari jajahan baru. Di atas keperluan tersebut, tentera marin diperlukan atau ditubuhkan untuk mengawal keselamatan kapal-kapal daripada berlakunya dahagi oleh anak-anak kapal. Selain daripada itu, tentera marin diperlukan untuk melaksanakan serangan ke atas kapal musuh semasa berlakunya pertempuran antara kapal. Ia juga bertindak untuk melaksanakan serangan ke kawasan pantai. Jika diperhatikan berdasarkan hubungan tentera marin dan sejarah, maka kita akan dapati bahawa kebanyakan negara yang pernah memiliki tanah jajahan yang luas mereka secara amnya akan memiliki tentera marin dan ianya masih diteruskan sehingga sekarang. Tentera marin biasanya akan diletakan di bawah pemerintahan Tentera Laut kecuali Tentera Marin Perancis yang diletakan di bawah pemerintahan Tentera Darat.

Marin Amerika semasa serangan di Iwo Jima
 Bersesuaian dengan penugasan tentera marin di abad sekarang, penugasan tentera marin tidak kurangnya pentingnya. Bagi penugasan tentera marin sekarang adalah sama seperti tentera marin pada zaman dahulu kerana pada amnya tentera marin adalah satu pasukan yang mahir di dalam peperangan amfibia. Tentera marin pada masa sekarang adalah diperlukan untuk melaksanakan serangan ke atas kedudukan musuh di kawasan pantai atau lebih tepat mereka akan membuka laluan untuk pasukan yang lain untuk meneruskan operasi ke dalam kawasan musuh ataupun sebagai pasukan ekspedisi (expedition force). Selain itu, pasukan marin juga pada masa sekarang adalah menjaga keselamatan kapal-kapal perang terutama kapal pengangkut pesawat sepertimana yang dilaksanakan oleh tentera marin Amerika Syarikat.

 Jika diperhatikan, penugasan tentera marin adalah sama seperti penugasan tentera darat dimana kelengkapan dan juga organisasi/kor adalah sama. Ini bermakna mereka akan mempunyai pasukan infantri, semboyan, artileri, armor dan juga bantuan khidmat seperti logistik dan jurutera, cawangan udara dan sebagainya.

Tentera Marin untuk ATM

 Jika diperhatikan, kebanyakkan negara di Asia Tenggara mempunyai tentera marin seperti Indonesia, Filipina dan Thailand. Bagi negara Thailand dan Filipina adalah sebuah negara yang mempunyai banyak pulau-pulau dan tentera marin adalah bersesuaian untuk melaksanakan tugas menjaga kawasan litoral. Bagi Malaysia pula, setakat ini tiada keperluan untuk mewujudkan tentera marin. Ini adalah kerana berdasarkan kepada bentuk geogarafi muka bumi Malaysia yang tidak mempunyai banyak pulau dan ianya masih mampu dipertanggungjawabkan kepada TLDM, TUDM dan lain-lain agensi keselamatan untuk memantau keselamatan kawasan perairan Malaysia. Selain itu, kos untuk menubuhkan tentera marin adalah tinggi kerana ia melibatkan penubuhan yang sama dengan menubuhkan satu pasukan Tentera Darat yang mana ia perlu menubuhkan infantri, artileri dan sebagainya. Ia akan melibatkan keperluan logistik yang tinggi dimana ia akan melibatkan mewujudkan organisasi yang baru, persenjataan dan juga pusat latihan untuk latihan mereka yang tersendiri bersesuaian dengan peranan mereka yang lebih kepada peperangan amfibia. 

Kenderaan Armor Amfibia Tentera Marin

Wednesday 13 July 2011

Senjata Bullpup

Istilah senjata bullpup mungkin ramai yang tidak memahami maksudnya sekiranya tidak melihat gambar senjata tersebut. Senjata bullpup adalah satu jenis senjata yang mempunyai rekabentuk yang lain dari rekabentuk senjata konvensional. Senjata bullpup menggunakan konfigurasi kelopak dan alat berkerja senjata dibelakang picu dan berada dalaam kedudukan yang setentang dengan pipi penembak. Senjata ini direka adalah untuk kegunaan untuk pertempuran dikawasan bandar yang memerlukan selaras senjata yang pendek tetapi berkesan dari segi kuasa tembakan sebagaimana senjata konvensional.  

Senjata bullpup pertama yang direkabentuk ialah EM-2. Ia direka selepas perang dunia kedua tetapi gagal untuk dipilih menjadi senjata utama British atas beberapa faktor seperti faktor peluru yang digunakan serta pengaruh politik dalam pemilihan senjata.
Steyr AUG

Sehinggalah pada tahun 1977, syarikat Steyr telah merekabentuk senjata yang berjaya memasuki pasaran iaitu Styer AUG yang digunakan oleh tentera Austria. Menggunakan peluru dari jenis 5.56 mm x 45 mm, ia telah menjadi pilihan kepada tentera Australia dan juga negara-negara yang lain termasuk Tentera Darat Malaysia. Selepas kejayaan Steyr AUG, lahirlah senjata bullpup yang kedua iaitu FAMAS buatan Perancis, SA - 80 buatan UK dan beberapa senjata yang lain. Senjata bullpup menjadi pilihan kepada tentera sesetengah negara adalah kerana walaupun panjang senjata ini yang pendek tetapi panjang larasnya adalah sama sebagaimana senjata konvensional ia mampu memberikan jarak efektif sama seperti senjata konvensional. Sebagai contoh Steyr dan M 16, terdapat perbezaan antara kedua-dua senjata tetapi ia mempunyai panjang laras yang sama.  


Senjata FAMAS

SAR 21

Namun terdapat juga kelemahan pada senjata ini. Antara kelemahan adalah ruang lentingan peluru yang berada di pipi penembak yang bermakna sekiranya penembak kidal yang mempunyai ruang lentingan senjata di kiri tidak dapat menggunakan senjata yang digunakan oleh penembak kanan berbanding senjata konvensional. Berdasarkan kepada teknologi bullpup, ia bukan sahaja hanya digunakan oleh senjata tempur, bahkan ia telah diaplikasikan kepada senjata penembak tepat, submesingan dan senjata shotgun.  Senjata bullpup ini juga telah mengalami evolusi yang mana ia telah digabungkan dengan program perajurit masa hadapan atau lebih dikenali sebagai Future Soldier.


СВУ-АС.jpg
Senjata Penembak Tepat versi Bullpup
      

Tuesday 12 July 2011

Pemusnah Kereta Kebal Dari Langit

A-10 Thunderbolt II

 
Sukhoi SU-25 Frogfoot

Setakat ini kebanyakan kita hanya mengetahui bahawa helikopter saja yang direka bertujuan untuk menjadi pemusnah kereta kebal seperti AH-64 Apache, Mi - 28, Tiger, AH-1 Cobra dan banyak lagi. Namun terdapat 2 jenis kapal terbang yang direka dengan penugasan khas untuk memburu dan mmusnahkan kerta kebal iaitu Fairchild Republic A-10 Thunderbolt II dan Sukhoi SU-25 Frogfoot. Keperluan untuk pesawat pejuang yang mempunyai penugasan sebagai pesawat pemusnah kereta kebal. Antara pesawat yang terawal yang ditugaskan untuk penugasan sebagai pemusnah kereta kebal adalah Junker Stuka yang dilengkapi meriam 20 mm dan juga Il-2. Kemudian kajian dan penyelidikan telah dilaksanakan sehingga terciptanya 2 pesawat ini yang mana ianya masih digunakan sehingga sekarang.
Fairchild Republic A-10 Thunderbolt II
Pesawat ini dicipta oleh syarikat Republic Fairchild pada tahun 1970-an dimana pada ketika itu tentera Amerika memerlukan satu pesawat yang mampu untuk memberikan bantuan rapat udara kepada pasukan tentera darat terutamanya menangani ancaman kereta kebal, kereta perisai dan sasaran di darat. Pesawat ini mempunyai rekabentuk yang agak pelik kerana ia mempunyai sayap yang lurus, enjin yang berada di sisi belakng dan sirip belakang yang luar dari kebiasaan. Rekabentuk yang demikian adalah untuk membolehkan pesawat ini bermanuver pada kelajuan yang rendah dimana ia dapat memusnahkan sasaran dengan baik.

Sistem Senjata 30 mm
Pesawat ini dilengkapi dengan 7 laras meriam 30 mm Gatling yang mampu melepaskan tembakan kadar 3900 pusingan seminit. Senjata ini boleh menembak menggunakan peluru depleted uranium yang dikatakan mampu menembusi armor dimana ia telah menunjukkan keupayaan semasa Perang Teluk 1 dan 2 dimana kereta kebal Iraq dimusnahkan dengan mudah oleh pesawat ini. Selain daripada meriam 30 mm, pesawat ini juga dilengkapi dengan 11 pilon yang mampu menampung pelbagai jenis persenjataan dari bom jatuh bebas, bom panduan dan juga peluru berpandu. Ia juga mampu memberi panduan kepada pesawat lain untuk menenbak dengan menanda sasaran dengan sistem laser yang diberikan oleh sistem Pave Penny. Manakala dari segi kemampuan survivalbiliti, ia mampu terbang walaupun satu enjinnya rosak dan ditembak oleh senjata anti pesawat.
Pesawat yang ditembak oleh senjata
anti pesawat
Aircraft in-flight above clouds, banking away from camera, revealing bombs and other weapons suspended underneath wings.
Sistem Persenjataan A-10
Sukhoi SU-25 Frogfoot



Kesan Tembakan terhadap pesawat

Su-25 juga merupakan sebuah pesawat yang direka untuk memberi bantuan rapat kepada pasukan darat Rusia.Ia memulakan penerbangan pada 1975 dan pengeluaran bermula pada 1978. Rekabentuk pesawat tersebut sama seperti pesawat moden yang lain kecuali ia dilengkapi dengan lapisan armor yang tebal untuk perlindungan dari tembakan dari darat dan juga ia amat lasak dengan struktur yang kukuh untuk penggunaan yang lasak. Persenjataan pada pesawat ini adalah meriam 30 mm GSh - N, peluru berpandu, bom jatuh bebas dan juga bom panduan laser dan TV. Ia dikatakan lebih laju daripada saingannya iaitu A-10. Ruangan juruterbang bagi Su-25 juga dibuat dari titanium yang mampu memberi perlindungan kepada juruterbang. Pesawat ini banyak digunakan oleh Rusia, CIS dan juga sekutu-sekutu WARSAW pada zaman Kesatuan Soviet. Ia mempunyai rekod yang cemerlang semasa pertempuran.

Wednesday 6 July 2011

Komunisme di Zaman Moden

Sebagaimana yang kita maklum bahawa komunisme kini dikatakan telah berjaya meresap ke dalam masyarakat kita tanpa disedari. Ini dapat dilihat apabila terdapat usaha-usaha untuk menghidupkan semula komunisme dengan mengangkat tokoh dari Parti Komunis Malaya (PKM) dan perjuangan mereka sebagai pejuang kemerdekaan baru-baru ini. Sebenarnya usaha tersebut telah dijalankan sebelum ini lagi dimana mereka telah berusaha untuk membawa balik Chin Peng ke Malaysia dengan mendapatkan pengampunan kepada beliau. Namun usaha tersebut telah mendapat tentangan pelbagai pihak yang pernah terlibat dalam menentang komunis terutamanya bekas anggota tentera dan polis.

Fahaman komunis telah diasakan oleh Karl Mark dan Friedrich Engels dan ianya telah didokong oleh lain-lain tokoh seperti Lenin, Mao Tse Tung, Chin Peng dan ramai lagi. Tujuan utama penubuhan komunis adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang mempunyai kesamarataan darjat dan segala harta adalah milik negara  dan yang menjadikan komunisme sesuatu yang merbahaya ialah mereka tidak mengakui bahawa wujudnya tuhan.

Di sesetengah negara komunis menjadi pilihan rakyat mereka kerana komunisme dilihat adalah sebagai pembela mereka dalam menentang kapitalisme. Namun di Malaysia ia ditolak kerana ia menolak kepercayaan untuk beragama dan juga ia cenderung untuk menggunakan kekerasan dalam mencapai hasrat mereka. Sejarah permulaan di Singapura pada tahun 1920 dan ia bergerak dibawah pertubuhan kesatuan sekerja. Kemudian ianya menular di Semenanjung Tanah Melayu dan apabila Jepun mendarat di Tanah Melayu pada 7 Dis 1941, Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) bersama - sama dengan Force 136 telah berganding bahu menentang tentera Jepun sehingga mereka keluar dari Tanah Melayu. Selepas pengunduran Jepun, sepanjang tempoh 14 hari sebelum Pentadbiran Tentera British masuk ke Tanah Melayu, berlaku pelbagai keganasan yang telah dilakukan oleh MPAJA keatas rakyat yang mana sekiranya mereka mengesyaki mereka sebagai tali barut Jepun atau berkerjasama dengan Jepun, mereka yang berkenaan akan dibunuh dengan kejam.

Apabila MPAJA diarahkan untuk menyerahkan senjata mereka, mereka telah menyembunyikan senjata mereka dan telah bangkit melancarkan penentang secara bersenjata atau Darurat I (1948 - 1960) dan Darurat II (1967 - 1989). Spanjang tempoh darurat tersebut, telah ramai warga Malaya dan Malaysia dengan tidak mengira bangsa telah terkorban akibat perbuatan komunis.

Walaupun PKM telah meletakan senjata tapi ideologi mereka masih bergerak secara tersembunyi. Sebagai contoh kedai-kedai buku telah menjual buku mengenai memoir bekas-bekas pejuang komunis dan juga mengangkat anggota PKM sebagai hero. Tambahan pula ramai remaja kita sekarang tidak menekan matapelajaran sejarah dan menyebabkan mereka lupa dan tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa yang lepas dan menyebabkan mereka akan menerima bulat-bulat apa yang disampaikan kepada mereka.

Monday 13 June 2011

UAV - MATA DAN TELINGA DI LANGIT

UAV (Unmanned Aerial Vehicle) ataupun pesawat tanpa pemandu pada peperangan moden mempunyai nilai taktikal yang tinggi kerana ia adalah umpama mata dan telinga di langit. Ia mampu melaksanakan penugasan yang dikatakan melebihi had yang boleh dilakukan oleh pesawat yang dipandu manusia.
 
V1 dalam keadaan untuk dilancarkan
Pada awalnya pesawat tanpa pemandu telah wujud sejak di awal penggunaan kapal terbang. UAV pertama yang dikatakan agak berjaya dibangunkan oleh Jerman semasa Perang Dunia Kedua iaitu V1 dimana ia digunakan sebagai senjata untuk mengebom Bandar London tetapi kelemahan utama adalah ia tidak dapat dikawal secara langsung dan akan terbang secara bebas. Selepas Perang Dunia Kedua UAV lebih tertumpu kepada kegunaan sebagai dron sasaran untuk latihan menembak bagi artileri pertahanan udara dan juga untuk juruterbang pesawat pejuang. Tiada usaha yang dijalankan untuk membangunkan UAV secara intensif sebagai pesawat pengintipan kerana pesawat pengintipan yang berkeupayaan tinggi digunakan seperti SR - 71 Blackbird dan U-2. Namun tidak semua pasukan tentera mampu mempunyai senjata pengintipan yang berkupayaan tinggi dan hanya menggunakan pesawat pejuang yang dipasang kamera berkeupayaan tinggi. Namun ia mengakibatkan kehilangan pesawat dan juga juruterbang apabila pesawat tersebut ditembak jatuh dan ini mengakibatkan kerugian yang besar dan kegagalan mendapatkan maklumat yang penting.
UAV Mikro dilancarkan
Israel dipercayai membangunkan UAV moden dengan memasang kamera dan mampu dikawal dari suatu kedudukan yang jauh dan ini telah melahirkan pesawat UAV moden yang mampu dikawal dari jauh dan maklumat yang mampu disampaikan secara langsung dari lokaasi pengintipan. Ia juga mampu untuk melaksanakan penugasan untuk tempoh yang lama tanpa rehat dan tanpa pengisian minyak. Israel menggunakan UAV untuk mendapatkan maklumat mengenai kedudukan musuh, sistem pertahanan udara dan juga dijadikan umpan untuk mengesan sistem radar pertahanan udara musuh. Ia telah terbukti semasa pertempuran di Lembah Bekaa pada tahun 1982 dimana ia telah melumpuhkan sistem pertahanan udara Syria dengan kadar kehilangan pesawat adalah 0.

MQ - 9 Reaper dan senjatanya
Sekarang kebanyakan negara telah menggunakan dan membangunkan UAV sebagai sebahagian daripada kelengkapan persenjataan dan pertahanan. Ini kerana UAV yang terkini bukan sahaja digunakan untuk pengintipan tetapi juga mampu melancarkan peluru berpandu seperti MQ-9 Reaper yang mampu melancarkan peluru berpandu Hellfire. Ia mula digunakan pada penghujung tahun 2001 dalam usaha Amerika Syarikat untuk menghapuskan Taliban dan juga Al-Qaeda.

Terdapat juga pembangunan UAV dari jenis kepak berputar atau seperti bentuk helikopter. Kelebihan UAV ini adalah ia tidak memerlukan kawasan yang luas untuk tapak pelepasan dan ia juga mampu di gunakan di geladak-geladak kapal. Selain itu terdapat UAV yang kecil dimana ia mampu digunakan oleh tentera di barisan hadapan. Ia amat diperlukan kerana ia mampu memberikan aliran maklumat yang amat diperlukan semasa peperangan dalam masa yang singkat. 
Namun terdapat perdebatan hangat mengenai keupayaan UAV untuk digunakan pada masa hadapan kerana ia dikhuatiri tidak dapat menganalisa maklumat yang diperolehi sebagai pertimbangan yang mampu diberikan oleh juruterbang manusia. Terdapat beberapa insiden dimana kejadian serangan UAV bersenjata ke atas lokasi atau penempatan awam kerana maklumat yang diperolehi oleh UAV akan dianalisa oleh juru pandunya yang terletak jauh berbanding pemandu pesawat yang dapat menganalisa keadaan dari tempat kejadian. Sama-samalah kita lihat bagaimana teknologi dan manusia bersaing untuk menjadi yang terbaik. 

Monday 18 April 2011

SENJATA TEMPUR TENTERA DARAT MALAYSIA

Sejak Tentera Darat Malaysia (TDM) ditubuhkan pada 1 Mac 1933, terdapat beberapa jenis senjata tempur yang telah digunakan oleh TDM dari penubuhannya sehingga sekarang. Senjata tempur adalah senjata yang digunakan oleh anggota tentera  semasa bertempur atau dikenali sebagai assault rifle dalam bahasa Inggeris. Kalau tidak silap,  5 jenis senjata tempur yang digunakan oleh TDM (tidak temasuk senjata tempur unit-unit komando dan unit-unit terpilih semasa insurgensi).

Senjata pertama yang digunakan adalah dari jenis Lee Enfield yang dibuat di Britain. Ia digunakan semenjak dari awal penubuhan Skuad Percubaan Askar Melayu sepertimana yang kita lihat dalam cerita Sarjan Hassan. Ia merupakan senjata utama tentera British dan kebanyakan negara jajahan British atau Komanwel pada waktu itu. Keseluruhan senjata dibuat daripada kayu dan berat keseluruhan senjata adalah   4 kg. Ia menggunakan peluru .303 dan jarak efektif adalah 500m. Kelopak yang digunakan adalah dari jenis kelopak yang mengandungi 10 biji peluru seperti gambarajah.

Selepas menggunakan senjata Lee Enfield, TDM telah menggunakan senjata dari jenis L1A1 yang dibuat  oleh syarikat syarikat British dimana ia menrupakan pengeluaran berlesen dari syarikat FN di Belgium sekitar tahun 1960-an. Senjata ini juga digunakan oleh tentera British dan negara Komanwel. Senjata ini menggunakan peluru 7.62mm x 51 mm. Ia hanya menggunakan mod separuh automatik kerana menurut orang-orang lama ia mempunyai tendangan (recoil) yang kuat. Ia juga merupakan senjata yang 'panjang' dengan panjang senjata ialah 1.14 m. Apabila dibuat perbandingan dengan saiz tentera kita yang rata-ratanya berbadan kecil, senjata ini seolah-olah hampir sama tinggi dengan tentera kita. Senjata ini menggunakan isian peluru dari kelopak 20 butir. Senjata ini dikatakan mempunyai reputasi yang baik dikalangan veteran kerana ketepatannya dan kemusnahan yang dapat dilakukan oleh senjata ini. Namun ia merupakan senjata yang berat dengan berat besama kelopak adalah 5.07 kg dan ianya adalah sangat lasak untuk digunakan dalam kawasan hutan di negara kita.

Selepas menggunakan senjata SLR, TD telah berubah arah dengan menggunakan senjata yang menggunakan peluru kaliber 5.56 mm x 45 mm. Peralihan tersebut adalah kerana peluru 5.56 mm adalah untuk mendapatkan kuasa tembakan yang lebih dimana jumlah peluru 5.56 mm dapat dibawa oleh anggota lebih banyak berbanding dengan peluru 7.62 mm. Sehubungan dengan itu, senjata jenis Heckler &Koch (HK) 33 telah dijadikan sebagai senjata tempur TD. Namun senjata ini dikatakan mengundang pelbagai kontroversi yang mana ianya dikatakan kerap jam atau mengalami hentian semasa bertempur. Ini menyebabkan ianya bukan menjadi senjata pilihan untuk dibawa bertempur dan akhirnya ia dikeluarkan daripada perkhidmatan TDM.

Selepas HK 33, TD telah menggunakan senjata yang boleh dikatakan ikon semasa Perang Dingin iaitu M16. Ia adalah senjata yang lasak dan menggunakan kaliber 5.56 mm  x 45 mm. Ia dikatakan adalah senjata yang sesuai dengan keadaan cuaca dan bentuk muka bumi. Terdapat beberapa versi M16 yang digunakan dalam TDM iaitu versi karbin yang mempunyai udi yang pendek serta boleh dilaras. Terdapat juga versi M203 iaitu M16A1 yang dipasang pelancar grened dibawah larasnya. Ia biasanya digunakan oleh Ketua Seksyen.

AUG A1 508mm 04.jpgTDM kemudian menggunakan sejenis senjata yang mirip kepada senjata angkasalepas iaitu Steyr AUG A1 kaliber 5.56 mm x 45 mm. Ia adalah senjata yang menggunakan konsep bullpup iaitu peluru atau kelopak diisi dibahagian belakang atau udi berbeza dengan senjata sebelum ini yang diisi di bahagian hadapan. Ia menjadi pilihan kerana rekabentuknya yang sesuai untuk digunakan untuk operasi OBUA (Operasi dalam kawasan terbina). Ia adalah senjata yang dikeluarkan secara berlesen oleh Syarikat Malaysia Explosive (SME). Ia mempunyai panjang 0.7 m dan berat 3.6. Ia juga adalah senjata yang menggunakan pajera optik dengan pembesaran 1.5 x. Setelah hampir menggunakan Steyr 10 tahun dan telah mengeluarkannya secara berlesen, akhirnya ianya telah ditukarkan dengan M4 iaitu versi terkini M16 dengan udi dan laras yang lebih pendek.    

Saturday 16 April 2011

Tahukah Anda






PANJI-PANJI

 Panji-panji dalam tentera mempunyai sejarah yang panjang dalam sejarah ketenteraan. Ia dipercayai bermula dari zaman Mesir Purba. Panji-panji digunakan untuk menandakan pasukan atau unit-unit yang berada dalam formasi tempur. Ini kerana pada zaman dahulu tiada kemudahan komunikasi sebagaimana tentera sekarang dan peperangan pada zaman itu memerlukan jumlah tentera yang ramai dan ia akan berlangsung secara berdepan di antara kedua-dua pihak. Jadi dengan adanya panji-panji, ia akan memudahkan komander dan juga anggota unit tersebut mengesan kedudukan sesuatu unit dalam medan tempur dan juga sebagai isyarat.

Panji-panji mempunyai 'keistimewaan' dalam sesuatu unit. Semasa peperangan berlangsung, adalah menjadi keutamaan kepada sesuatu pasukan tentera untuk memastikan panji-panji mereka tidak jatuh menyembah bumi. Ini kerana sekiranya panji-panji tersebut jatuh menyembah bumi, ini bermakna mereka telah kalah dan telah gagal mempertahankan kebanggaan mereka. Dalam sejarah Islam juga ada tercatat peristiwa ini, apabila 3 komander islam yang memegang panji-panji telah syahid dan tiada komander yang layak untuk memimpin tentera Islam, maka Khalid Al Walid telah diminta untuk memimpin pasukan Islam dan memegang panji-panji kerana untuk mengelakan moral pasukan Islam merundum. Di dalam peperangan ini juga tercatat Jaafar bin Abi Talib telah mempertahankan panji-panji dengan sedaya upaya beliau dimana apabila tangan kanan beliau dipotong beliau menggunakan tangan kiri dan apabila tangan kirinya dipotong beliau mengepit panji-panji yang dipegang sehinggalah beliau ditikam sehingga syahid.

Pada kebiasannya pada panji-panji akan tercatat setiap peperangan yang pernah disertai  oleh pasukan tersebut. Ini adalah bertujuan untuk menimbulkan rasa bangga kepada setiap anggota unit tersebut. Pada hari ini, panji-panji tidak lagi dibawa ke medan tempur. Ianya akan disimpan dipasukan dan akan diarak pada hri-hari tertentu seperti Kawalan Kehormatan Utama dan Hari Ulangtahun Pasukan. 

Bagi tentera Darat Malaysia, terdapat dua jenis panji-panji  iaitu Panji-Panji Yang Dipertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen. Panji-panji Yang Di-Pertuan Agong adalah lambang kesetiaan Rejimen kepada Raja yang mempunyai tempat yang lebih tinggi daripada Panji-panji Rejimen. Upacara Penganugerahannya disempurnakan sendiri oleh Sri Padukan Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam perbarisan yang penuh dengan adat istiadat dan tradisi ketenteraan.

Ok itulah info untuk ruangan Tahukah anda kali ini. Saya akan cuba updatekan ruangan ini dalam masa yang terdekat dan sekerap yang mungkin untuk perkongsian maklumat bersama.



Sunday 27 February 2011

Peperangan Insurgensi, duri dalam daging untuk kempen ketenteraan moden

Peperangan sekarang adalah peperangan yang lebih menumpukan kepada kuasa tembakan, manuver, jumlah keanggotaan dan biasanya ia akan berlangsung pada skala yang besar. Peperangan ini lebih dikenali sebagai Peperangan Konvensional ataupun CW. Tambahan pula ia telah melibatkan ruangan spektrum yang lebih besar iaitu ruangan angkasa serta laut dalam dan peperangan sekarang telah dikategorikan oleh pakar ketenteraan sebagai peperangan Generasi Ke 4 dengan keupayaan yang telah ditambahbaik iaitu peperangan siber.
Go to fullsize image
Walau sehebat manapun kuasa ketenteraan dan aset seseuatu kuasa ketententeraan, peperangan gerila dilihat sebagai satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan kepada keselamatan dan ekonomi negara. Peperangan gerila telah lama wujud dan ianya menjadi pilihan kepada sesetengah pihak untuk dijadikan sebagai jalan penentangan mereka. 

Apa yang dimaksudkan sebagai peperangan gerila?. Peperangan gerila membawa maksud peperangan yang dijalankan secara berbeza berbanding peperangan biasa dimana ia boleh dijalankan oleh kumpulan yang kecil dan menjalankan penentangan bersenjata mereka atau lebih tepat lagi ia dikatakan sebagai peperangan asimetrik. Peperangan gerila ini biasanya akan berlangsung untuk suatu tempoh yang lama bergantung kepada sokongan penduduk tempatan terhadap mereka. Para gerila akan bergerak dalam kumpulan yang kecil dan melaksanakan serangan hendap dan secara cepat. Peperangan gerila dipercayai telah bermula sejak zaman dahulu kala lagi atau lebih tepat dimana zaman manusia mula mengenai peperangan.

Go to fullsize image
Tentera Amerika sedang melaksanakan
usaha untuk mengesan Gerila Taliban

Malaysia juga pernah terlibat dalam peperangan gerila sewaktu sebelum merdeka dan juga selepas merdeka. Penentangan gerila sebelum merdeka adalah penentangan melibatkan penentangan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman penjajah bermula selepas zaman kejatuhan kerajaan melaka, penentangan kerajaan Johor terhadap Portugis dan Belanda, penentangan terhadap British. Penentangan tersebut telah berjaya melahirkan ramai pahlawan terhandal seperti Mat Salleh, Rentap, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbung dan ramai lagi. Manakala penentangan selepas merdeka adalah pemberontakan secara bersenjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dalam usaha mereka untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis di negara ini. Penentangan tersebut mengambil masa yang lama sehingga PKM terpaksa meletakan senjata.

Sekiranya disebut peperangan gerila, kita akan terbayang mengenai suatu penentangan yang tidak mempunyai organisasi yang besar, tidak terlatih serta peralatan yang kurang dan ketinggalan zaman. Tetapi jika dilihat pada era sekarang mengenai peperangan gerila, pandangan dan definasi mengenainya telah berubah. Sebagai contoh Taliban, mereka mempunyai organisasi yang tersusun, mendapat latihan yang mencukupi, mempunyai peralatan serta kemahiran yang cukup dan juga dana kewangan yang kukuh bagi membiayai penentangan mereka untuk suatu tempoh yang lama. Selain daripada taliban terdapat beberapa gerila yang mempunyai organisasi yang tersusun seperti Gerila Tamil Eelam (LTTE), Al Shahab di Somalia, Shining Path di Amerika Selatan dan juga Al-Qaeda.

Go to fullsize image
Pasukan Khas Amerika sedang memberikan latihan
kepada Tentera Kebangsaan Afghanistan

Mengapa peperangan gerila dikatakan sebagi duri dalam daging kepada kempen ketenteraan moden?. Ini kerana peperangan gerila mampu dilaksanakan untuk suatu tempoh masa yang panjang dan berterusan. Tujuan utama pejuang gerila adalah untuk melemahkan semangat lawan mereka melalui pertempuran yang kecil tetapi berterusan. Sebagai contoh yang terbaik adalah kempen ketenteraan Amerika dan ISAF di Afghanistan. Semasa pencerohan awal Amerika di Afghanistan, mereka dapat memasuki Afghanistan tanpa penentangan yang hebat daripada Taliban. Amerika dengan bangganya mengatakan mereka dapat memasuki dan mengalahkan Taliban lebih awal berbanding dengan apa yang dilaksanakan oleh Soviet semasa menceroboh Afghanistan. Walau bagaimanapun, kebanggaan mereka tidak lama apabila Taliban melaksanakan serangan balas terhadap mereka dan telah mengakibatkan ramai tentera mereka terkorban dan hasil daripada jumlah korban yang semakin meningkat dari masa ke semasa, terdapat beberapa negara telah menarik keluar tentera mereka dari Afghanistan. Bagi Amerika pula mereka juga terpaksa menggunakan taktik gerila untuk menentang gerila disamping taktik peperangan konvensional.

Ini jelas menunjukkan bahawa setiap teknik dan taktik yang dijalankan dalam setiap peperangan mempunyai kepentingan dan kelebihan antara satu sama lain.


Sunday 13 February 2011

Sidang Penulis: Tersenarai tempat ke-2 carian Sven-Berge di 123people.com (Ruangan Blog)

Sidang penulis (a.k.a. isteri) melaporkan. Penemuan secara tidak sengaja telah menemukan sidang penulis dengan informasi ini. Ini secara tidak langsung menunjukkan ketandusan informasi sebegini di dalam ruang siber- di dalam Bahasa Malaysia terutamanya. Semoga lebih ramai penulis berkongsi minat yang sama seperti ini. ;)