Thursday 30 September 2010

Sambungan mengenai Peperangan di Bulan Ramadan - Siri 2b



View Image
Moshe Dayan (dengan penutup mata) meninjau kawasan pertempuran

Israel Memandang Rendah Musuhnya.

1. Pemimpin Israel yakin bahawa tiada serangan yang akan dilaksanakan oleh Mesir atau Syria berdasarkan taklimat perisikan yang disampaikan oleh AMAN dan juga hasil war gaming sebagaimana yang telah mereka laksanakan. Ini menyebabkan mereka tidak merancang untuk melaksanakan serangan awal (pre empetive strike) ke atas musuh sebagaimana yang pernah dilaksanakan semasa Perang 6 Hari. Selain itu, kebimbangan Israel sekiranya mereka menyerang terlebih dahulu, tiada sokongan dari Amerika Syarikat atas tindakan mereka dan Ini akan menyebabkan Israel terdedah kepada lebih banyak ancaman dari negara negara-negara arab dimana ianya merupakan peluang yang terbaik bagi mereka untuk menyerang Israel secara serentak.

2. Pada 25 Sep, pertemuan sulit telah diadakan diantara Raja Hussin, pemerintah Jordan dengan Golda Meir mengenai serangan yang bakal dilaksanakan ke atas Bukit Golan dan Semenanjung Sinai. Raja Hussin menyatakan bahawa serangan akan dilaksanakan oleh Mesir dan Syria ke atas Israel tetapi ianya tidak diambil peduli oleh Golda Meir.

Penyeberangan (The Crossing).

Bridge Crossing.jpg
Penyeberangan Oleh Tentera Mesir

3. Pada 6 Okt, kawasan penyeberangan dan tapak untuk jambatan telah berjaya diwujudkan oleh Mesir dan Israel telah melaksanakan serangan untuk mengagalkan penyeberangan tersebut. Serangan Israel gagal kerana tentera Mesir mempunyai persenjataan yang baru dalam inventori iaitu peluru berpandu anti armor seperti AT-3 Sagger dan ianya merupakan senjata tersebut merupakan ancaman besar kepada pasukan armor Israel.

File:1973 sinai war maps.jpg
Peta Aturgerak Mesir sepanjang pertempuran
4. Penyeberangan terlebih dahulu dilakukan oleh pasukan komando Mesir dan pasukan jurutera Mesir dengan menggunakan bot getah. Semasa peringkat perancangan awal, tentera Mesir telah menemui jalan buntu untuk memecahkan tembok di kawasan Israel walaupun menggunakan bahan letupan. Tembok tersebut mempunyai ketinggian 18 meter dengan kecerunan 60 darjah. Ini akan menyukarkan kenderaan armor dan infantri menembusi masuk. Akhirnya penyelesaian dijumpai oleh seorang pegawai muda jurutera yang mencadangkan agar pam air bertekanan tinggi digunakan untuk memecahkan tembok tersebut. Cadangan tersebut adalah berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa terlibat dalam projek empangan Aswan dimana mereka telah memecahkan tanah menggunakan kaedah tersebut. Mendengarkan berita yang menggembirakan, Mesir telah membeli sejumlah pam air bertekanan tinggi dari Britain dan Jerman.

5. Jeneral Shazly juga menetapkan bahawa serangan mestilah tidak melebihi payung sistem pertahanan udara bagi mengelakkan mereka dimusnahkan oleh pesawat udara Israel yang mempunyai keupayaan yang tinggi dan digeruni. Sebarang kemaraan oleh tentera Mesir mestilah mempunyai perlindungan dari sistem pertahanan anti udara. Sistem pertahanan udara Mesir menggunakan sistem peluru berpandu permukaan ke udara SA-2, SA-3 dan SA-7 yang digabungkan bersama dengan meriam anti pesawat sepert ZSU yang mana ia akan memberikan lapisan perlindungan.

Serangan Mesir.

6. Pasukan serangan Mesir telah dilengkapi dengan peluru berpandu anti kereta kebal dan RPG untuk memusnahkan pos-pos penempatan Israel dan kereta kebal Israel. Serangan Mesir yang diberi kod Operasi Badar dimulakan pada 1400 dengan serangan dimulakan oleh serangan udara. Serangan udara disasarkan ke atas pangkalan-pangkalan udara Israel dan bateri pertahanan peluru berpandu permukaan ke udara Hawk. Ia bertujuan untuk mengurangkan dominasi pesawat Israel dan melemahkan sistem pertahanan udara Israel. Manakala tembakan artileri telah memberikan tembakan hampir 2,000 butir peluru ke atas kedudukan pos-pos tentera Israel di Garisan Bar Lev. Seramai 32,000 anggota pasukan infantri telah mara dibantu dengan bantuan tembakan artileri. Serangan dilaksanakan dengan 12 gelombang serangan pada 5 titik penyeberangan bermula jam 1405 sehingga 1730. Serangan ini dikenali sebagai The Cross. Tentera Mesir cuba sedaya upaya untuk menyudahkan penyeberangan tersebut dengan segera dalam usaha untuk menghalang bantuan kepada tentera Israel tiba di garisan tersebut.

7. Pesawat Israel telah diarahkan untuk menyerang tentera Mesir yang sedang melaksanakan operasi penyeberangan dengan cuba memusnahkan jambatan mudah alih dan juga pontoon yang telah disiapkan oleh tentera Mesir tetapi tidak berhasil. Ia disebabkan kerana perlindungan yang diberikan sistem pertahanan udara Mesir dan juga sistem jambatan yang menggunakan sistem seksyen yang memboleh jambatan tersebut diperbaiki dalam masa yang singkat sekiranya ditembak oleh musuh. Disebabkan oleh koordinasi yang baik serta sistem pertahanan udara yang dapat memberikan perlindungan dengan cemerlang, operasi penyeberangan dapat dilaksanakan dalam masa 6 jam dengan 15 strongpoint ditawan dan berjaya mara ke dalam kawasan musuh beberapa kilometer.

8. Selepas jambatan berjaya dipasang menyeberangi Terusan Suez, pasukan infantri dengan pasukan anti armor berserta senjata tanpa anjalan menyeberangi untuk memberi perlindungan daripada serangan armor Israel. Pasukan kereta kebal pertama mula menyeberang pada jam 2030. Terdapat percubaan untuk mendaratkan komando menggunakan helikopter di kawasan belakang garisan pertempuran tetapi gagal. Walau bagaimanapun, ia menimbulkan kegusaran di kalangan anggota Israel dan menyebabkan mereka lebih menumpukan ancaman komando Mesir berbanding serangan yang dilancarkan menerusi Terusan Suez. Kemaraan tentera Mesir dengan kereta kebal mengakibatkan Garisan Bar Lev mengalami kekalahan yang teruk akibat serangan tersebut dan juga faktor bantuan yang lambat tiba.

Serangan Syria



9. Tentera Syria menyerang Israel dengan kekuatan 5 divisyen dan 188 bateri artileri. Komando Syria juga telah diaturgerakan menggunakan helikopter ke kawasan penting Israel di Jabal al Shaikh (Gunung Hermon) untuk menawan peralatan pemantuan. Kawasan di Bukit Golan diberikan keutamaan yang tinggi oleh Israel kerana ia berhampiran dengan kawasan penempatan berbanding di Semenanjung Sinai. Sehubungan itu, keutamaan untuk aturgerak pasukan anggota kerahan diberikan keutamaan bagi kawasan Bukit Golan. Pihak Syria menjangkakan bahawa kerahan Israel akan mengambil masa selama 24 jam untuk tiba di garisan hadapan tetapi mereka berjaya tiba 15 jam selepas perang berlangsung. Tentera Syria juga diaturgerak dibawah perlindungan sistem pertahanan udara mereka. Pasukan anti armor Syria juga menggunakan sistem peluru berpandu sebagaimana Mesir tetapi tidak efektif kerana keadaan bentuk muka bumi yang tidak rata sebagaimana di Semenanjung Sinai.

10. Serangan hari pertama hanya membolehkan Syria mendapat kemenangan sederhana sahaja kerana tentangan yang hebat telah diberikan oleh tentera Israel dalam usaha untuk melengahkan masa bagi membolehkan bantuan tiba. Selain itu ketepatan tembakan artileri Israel juga meyumbang terhadap keupayaan mereka menyekat kemaraan Syria. Pasukan artileri pertahanan udara Syria telah berjaya menembak jatuh pesawat Israel dan menyebabkan Israel terpaksa mengubah taktik serangan mereka. Pesawat Israel akan terbang rendah dalam kawasan Jordan yang kurang dijangka oleh Syria dan seterusnya menyerang kedudukan rusuk pertahanan udara Syria dan juga dapat mengelak kebanyakan daripada artileri pertahanan udara Syria. Tentangan yang berterusan Isrel menyebabkan kemusnahan terhadap Syria tetapi selepas 6 jam pertempuran berlaku, pertahanan Isrel akhirnya ditewaskan.

11. Pasukan Syria cuba mara ke laut Galilee dan Nafah dan ini menyebabkan pasukan armor Israel tidak lagi bertempur secara satu kumpulan dalam Briged tetapi krew dan kereta kebal yang terselamat terpaksa bertempur secara bersendirian atau bergabung dengan lain-lain krew yang terselamat. Apabila tentera Syria berhenti berhampiran dengan Nafah pada jam 1500 dan tiada usaha untuk sebarang aktiviti atau tindakan pada malam tersebut, tentera Israel telah mewujudkan pertahanan mereka.

Serangan Balas Israel

12. Serangan balas Israel telah dirancang oleh Elazar dan Shmuel Gonen dan akan dilaksanakan oleh Divisyen Armor Ke 162 tetapi terdapat sedikit perubahan oleh Gonen berdasarkan kepada laporan medan pertempuran. Serangan akan dilaksanakan oleh 3 briged yang mana satu daripada briged tersebut masih dalam perjalanan menuju ke barisan hadapan pertempuran. Serangan ini menuju ke arah Garisan Bar-Lev dan berhadapan dengan pertahanan infantri Mesir. Serangan ini yang tidak dikoordinasi dengan baik menyebabkan serangan tersebut gagal dan mengalami kekalahan yang teruk. Kekelahan ini menyebabkan Mesir dapat mara kedalam kawasan Israel dan menawan beberapa lagi pos dan kawasan penting.

13. Dengan penguasaan Israel di garisan Syria yang semakin stabil, Pemerintah Tertinggi Israel telah bersetuju ianya sesuai untuk melaksanakan serangan terhadap kedudukan Mesir dan menyeberangi Terusan Suez. Hasil tinjauan oleh pasukan peninjau yang ditumpangkan ke Briged Kolonel Amnon Reshef telah mereka telah menemui jurang (gap) diantara kawasan Tentera Ke 2 Mesir dan Tentera Ke 3 Mesir. Ia merupakan kawasan yang sesuai untuk menyeberang masuk ke kawasan Mesir. Pada 12 Okt, perisikan Israel telah mengesan bahawa tentera Mesir telah bersiap sedia untuk melancarkan serangan yang besar. Israel merasakan dengan kelebihan yang mereka ada dari segi mobiliti, kelajuan dan kemahiran menembak oleh krew kereta kebal mereka, mereka dapat mengurangkan keupayaan pasukan armor Mesir. Sebaik sahaja keuapyaan armor Mesir berjaya dikurangkan, tentera Israel akan berupaya untuk melaksanakan penyeberangan mereka.

14. Persiapan Tentera Ke 2 dan Ke 3 Mesir untuk melancarkan serangan secara besar-besaran ke arah kawasan timur adalah untuk mengurangkan tekanan Israel terhadap tentera Syria dengan mengharapkan agar pertempuran akan bertukar dari Bukit Golan ke Semenanjung Sinai. Serangan Mesir menggunakan 6 pasukan penggempur secara serentak dengan kawasan hadapan (frontage) yang luas. Mereka hanya meninggalkan 5 divisyen infantri untuk mengawasi bridgehead. Pasukan penggempur tidak akan dilindungi oleh sebarang sistem pertahanan anti pesawat dan tugas ini dipertanggungjawabkan kepada Tentera Udara Mesir bagi melindungi pasukan tersebut dari serangan udara Israel. Serangan yang melibatkan armor dan mekanise bermula pada 14 Okt dibantu oleh tembakan artileri. Serangan berjaya dipatahkan oleh Israel dan ia adalah serangan yang dikatakan gagal sepenuhnya.

15. Kejayaan Israel pada 14 Okt, satu penembusan oleh Israel telah dilaksanakan ke atas jurang yang telah berjaya ditinjau sebelum itu. Divisyen Ke 143 dibantu oleh briged payung terjun ditugaskan untuk mewujudkan bridgehead di timur dan barat terusan. Divisyen Ke 162 dan Ke 252 akan menyeberangi terusan, bergerak ke selatan dan akan mengepung kedudukan Tentera Ke 3 Mesir. Operasi tersebut dinamakan sebagai Operation Stouthearted Men atau Operation Valiant. Pada 15 Okt, pasukan payung terjun melintasi terusan dengan menggunakan bot getah bagi membolehkan serangan terhadap konvoi bekalan, pusat logistik, tapak pertahanan udara. Dalam usaha tersebut beberapa bateri pertahanan udara telah dimusnahkan dan membolehkan Tentera Udara Israel melaksanakan serangan terhadap sasaran yang penting. Oleh kerana sistem pertahanan udara Mesir yang dilemahkan dan penumpuan kuasa udara Israel, pesawat udara Mesir gagal memberikan bantuan yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka dan kemenangan pertempuran udara banyak memihak kepada Tentera Udara Israel.

16. Pada 16 Okt Briged Amnon Reshef telah dihantar untuk menyerang satu kawasan yang dikenali sebagai Chinese Farm manakala pasukan lain menyerang kedudukan kubu tentera Mesir yang mengawasi jalan menuju ke terusan. Selepas pertempuran selama 3 hari, tentera Israel telah berjaya menumpaskan pasukan tentera Mesir yang yang mempunyai bilangan yang ramai. Pada 16 Okt, Shazly telah mengarahkan Divisyen Armor Ke 21 untuk menyerang ke arah selatan manakala Briged Armor Bebas Ke 25 akan menyerang ke arah utara untuk memusnahkan sebarang ancaman kepada Tentera Ke 2 Mesir. Pasukan Mesir gagal untuk mendapat kedudukan terkini pasukan armor Israel dimana Divisyen Armor Ke 162 berada di kawasan berhampiran dan telah berjaya mematahkan serangan Mesir. Divisyen Armor Ke 162 menyerang Divisyen Armor ke 21 terlebih dahulu dan kemudiannya Briged Bebas Armor Ke 25. Ketiadaan kooordinasi antara kedua-dua pasukan ini juga menyebabkan kedua-dua serangan tersebut gagal dan telah memusnahkan banyak kenderaan berperisai dan kereta kebal Mesir.

17. Kekalahan demi kekalahan yang melibatkan tentera Mesir menyebabkan pihak tentera Mesir menyedari keupayaan ofensif Israel. Ini ditambahkan lagi dengan gambaran satelit yang ditunjukan oleh pihak Soviet dimana imej tentera Israel yang berada di bahagian barat terusan. Dengan segera Anwar Sadat telah menghantar Shazly untuk menilai keadaan di barisan hadapan dan Shazly telah mengesahkan bahawa sekurang-kuranya satu divisyen tentera Israel berada di bahagian barat terusan dan sedang meluaskan tapak untuk meneruskan operasi penyeberangan mereka. Shazly menegaskan kepada Anwar Sadat bahawa armor Mesir perlu diundurkan dari timur terusan untuk menyerang kedudukan Israel tetapi ianya telah ditolak oleh Anwar Sadat. Manakala Jeneral Ismail Ali menyarankan agar Anwar Sadat untuk menggesa satu gencatan senjata untuk mengelakkan Israel mengekploitasi keadaan ini.

18. Lebih banyak pasukan Israel menyeberangi masuk ke dalam kawasan Mesir dan telah menghadapi beberapa siri penentangan oleh pertahanan Mesir tetapi Israel tetap berjaya meneruskan kemaraan mereka. Pada 23 Okt terdapat percubaan untuk mara ke Kaherah daripada Kilometer 101 tetapi menghadapi penentangan daripada Briged Armor Ke 3 dari Divisyen Armor Ke 4 dan telah berjaya menangkis serangan tersebut. Ia menyebabkan Israel berundur dan kembali ke titik permulaan mereka.

19. Manakala di Bukit Golan, ketibaan pasukan simpanan Israel menyebabkan keadaan pertempuran berubah dan pada 8 Okt, tentera Syria telah dipaksa berundur kerana serangan balas Israel. Bukit Golan merupakan satu kawasan yang kecil dan tidak efektif untuk dijadikan sebagai zon penampan tetapi ianya mempunyai nilai geografi yang strategik kerana ia amat penting bagi mengelakan Syria menjadikan ia sebagai platform untuk menyerang kedudukan penempatan Israel. Unit Syria terakhir di Sektor Tengah telah dipaksa berundur melintasi garisan Ungu (garisan sempadan sebelum pertempuran) pada 10 Okt. Dari 11 hingga 14 Okt, pasukan Israel telah mara ke kawasan Syria walau ditentang secara hebat dan telah tiba 50 km ke dalam kawasan Bashan. Mereka berjaya untuk membedil Damsyik dengan menggunakan artileri.

Campurtangan Negara Arab Lain

20. Memandangkan keadaan pertempuran memihak kepada Israel, Jordan telah menghantar tentera ke Syria sebagai isyarat kepada Israel mengenai tujuan mereka bahawa Israel tidak akan melakukan serangan ke atas Jordan. Iraq menghantar tentera mereka yang terdiri daripada Divisyen Armor Ke 3 dan Ke 6 dengan kekuatan dianggarkan 30,000 anggota, 250-500 kereta kebal dan 700 kenderaan perisai. Penghantaran tentera Iraq merupakan satu kejutan kepada Israel dari segi strategik dimana tentera Iraq telah berjaya menyerang bahagian rusuk selatan yang terdedah dan mengakibatkan pengunduran tentera Israel bagi mengelakan mereka dikepung. Gabungan Syria, Iraq dan Jordan berjaya mengelakan serangan Israel tetapi mereka juga tidak mampu untuk memaksa Israel berundur.

Gencatan Senjata

21. Pada 22 Okt, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan resolusi untuk satu gencatan senjata tetapi ianya hanya berlaku pada jam 1852 waktu Israel. Terdapat beberapa pertempuran yang mana ia mencabul gencatan senjata tersebut. Faktor yang membawa kepada gencatan senjata adalah kerana Tentera Mesir Ke 3 telah dikepung dan Amerika yakin bahawa Mesir akan bergantung kepada mereka untuk menyelamatkan tentera Mesir daripada kepungan tersebut. Ini menyebabkan Amerika Syarikat memberikan tekanan kepada Israel untuk membatalkan hasrat mereka untuk menyerang tentera Mesir yang terperangkap dan bergerak ke kedudukan mereka pada 22 Okt dan akan menyokong resolulsi PBB sekiranya Israel enggan.

22. Pencabulan gencatan senjata oleh Israel menyebabkan Kesatuan Soviet menyatakan hasrat mereka sebagaimana memo Presiden Brezhnev kepada Presiden Nixon bahawa mereka perlu csampurtangan terhadap gencatan senjata tersebut dan sekiranya Amerika enggan, Soviet tidak akan teragak-agak untuk menyertai pertempuran dengan menyokong Mesir dan Syria. Soviet telah meletakan 7 divisyen udara dalam keadaan siap sedia dan beberapa unit udara juga berada dalam keadaan berjaga-jaga. Sebagai tindak balas, Amerika telah mengarahkan agar Mesir menarik balik permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan Soviet dan telah mempersiapkan tentera mereka sekiranya Mesir menolak cadanganan mereka. Perkara ini telah dikesan oleh Soviet manakala Mesir telah bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat. Ini hampir menyebabkan campurtangan dua kuasa besar dan hampir mencetuskan perang dunia ke 3. Pada 28 Okt di Kilometer 101 perbincangan telah berlangsung dan perjanjian damai ditandatangani secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ianya sekaligus menamatkan pertempuran.

Kesan Peperangan Yom Kippur.

23. Peperangan ini hampir mencetuskan Perang Dunia Ke 3 apabila Soviet dan Amerika berhasrat untuk menyertai peperangan ini apabila pihak masing-masing menuduh Mesir dan Israel mencabul gencatan senjata yang telah diluluskan. Ia adalah sebagai menunjukan kekuasaan mereka sebagai kuasa besar dunia semasa kemuncak Perang Dingin.

24. Israel hampir menggunakan senjata nuklear sebagai usaha terakhir mereka bagi mengelakkan kekalahan sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini dan perkara ini telah berjaya dikesan oleh Amerika. Bagi mengelak penggunaan senjata nuklear oleh Israel, Amerika telah bersetuju untuk memberikan bantuan peralatan ketenteraan kepada Israel melalui Operation Nickel Grass. Bantuan diterima oleh Israel mulai 14 Okt melalui penghantaran udara oleh Amerika Syarikat.

25. Soviet juga telah memberikan bantuan kelengkapan ketenteraan kepada Syria dan Mesir menggunakan pengangkutan udara dan laut. Negara Aran dan Afrika juga menghantar angkatan tentera mereka sebagai pinjaman kepada Mesir bagi menunjukan sokongan mereka tetapi kebanyakan mereka tidak mempunyai persiapan dari segi logistik dan mengharapkan agar Mesir untuk menyediakan bagi pihak mereka. Ini mengakibatkan masalah logistik. Selain itu kurangya koordinasi antara negara tersebut menyebabkan berlakunya kelewatan ketibaan mereka dan juga terdapat insiden tertembak pasukan sahabat.

26. Israel kehilangan Semenanjung Sinai kepada Mesir dan sebahagian Bukit Golan hasil daripada perjanjian damai. Perjanjian Kem David antara Mesir dan Israel yang dipelopori Israel. Perjanjian tersebut menyebabkan Mesir seolah-olah kehilangan ‘taring’ sebagai kuasa ketenteraan sebagaimana yang kita lihat sekarang dimana Mesir seolah-olah tidak mampu membantu Palestin.

27. Peristiwa pembunuhan Anwar Sadat oleh kumpulan Ikhwan Muslimin yang tidak berpuas hati dengan tindakan beliau membuat perjanjian dengan Israel. Mereka menyatakan bahawa tindakan beliau seolah-olah mempersia-siakan nyawa tentera Mesir yang terkorban. Jeneral Shazly juga telah dibuang daripada perkhidmatan tentera dan dilantik menjadi duta tetapi kerana kritikan terbuka beliau ke atas perjanjian kem David, beliau telah dibuang negeri.

No comments:

Post a Comment