Friday 17 September 2010

Peperangan di Bulan Ramadan - Siri 2a

Go to fullsize image
Tentera Mesir melintasi kereta kebal Israel yang ditembak
1. Sebagaimana yang dinyatakan dalam post yang lepas, kali ini saya akan menulis mengenai satu lagi peperangan yang berlaku semasa di bulan ramadan iaitu Peperangan Yom Kippur. Namun disebabkan catatan mengenai peperangan ini terlalu panjang jadi saya terpaksa membahagikan kepada 2 sub siri bagi mengelak pembaca bosan dan agar ianya mudah difahami.



2. Peperangan Yom Kippur juga dikenali dengan nama lain seperti Perang Oktober 1973, Perang Ramadan, Perang Arab ke 4 atau Perang Arab-Israel 1973. Ia berlangsung mulai 6 Okt - 26 Okt 1973 yang melibatkan 2 negara arab yang utama iaitu Mesir di bawah pemerintahan Anwar Sadat, Syria di bawah pemerintahan Hafez Al Assad manakala Israel dimana pimpinan Perdana Menteri Wanitanya, Golda Meir. Perang ini juga melibatkan dua kuasa besar pada ketika itu iatu Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet secara langsung dan juga tidak langsung.

Punca-punca Perang Yom Kippur Berlaku

3. Peperangan ini adalah berlanjutan daripada keinginan dan hasrat Mesir dan Syria yang ingin menawan ikembali kawasan mereka yang telah ditawan oleh Israel semasa Peperangan 6 hari dan a juga boleh dikatakan sebagai usaha kedua-dua negara arab untuk menebus kembali maruah mereka yang tercalar apabila dikalahkan oleh sebuah negara kerdil dalam masa hanya 6 hari.  Dalam peperangan sebelum ini, Mesir telah kehilangan Semenanjung Sinai manakala Syria kehilangan Bukit Golan. Terdapat peperangan yang berlaku di antara selang masa Perang 6 hari dan juga Perang Yom Kippur tetapi ia tidak berapa diendah oleh antarabangsa. 

4. Presiden Anwar Sadat berpendapat dengan dapat memberikan kesan yang sedikit terhadap Israel, ianya akan dapat mengubah tanggapan Israel terhadap Mesir dan pada masa yang sama akan mengangkat martabat Mesir di mata negara-negara islam. Manakala bagi Presiden Hafez Al Asad, beliau merasakan usaha perlu menawan kembali Bukit Golan dalam usaha untuk membuktikan bahawa Syria dapat menjadi sebuah negara ketenteraan yang kuat di rantau arab. 

5. Kedua-dua negara tersebut telah melaksanakan persiapan untuk peperangan ini dengan melaksanakan pemodenan dan meningkatkan keupayaan peralatan dan senjata mereka. Tahap keupayaan pegawai dan anggota tentera masing-masing di segi akademik dan profesionalisme juga dipertingkatkan bagi memastikan  kejayaan mereka.

Perancangan dan persiapan tempur

6. Mesir telah melakukan persiapan yang rapi dalam usaha menawan Semenanjung Sinai kembali dengan meningkatkan kekuatan serta menumpukan kekuatan ketenteraannya di sepanjang sempadan negaranya dengan Semenanjung Sinai. Terdapat maklumat yang mengatakan pada 5 Okt 1973, kekuatan tentera Mesir adalah terdiri daripada 5 Div (100,000 anggota), 1350 buah kereta perisai dan 2,000 laras mortar dan artileri serta peralatan untuk menyeberangi Terusan Suez seperti peralatan jambatan dan bot getah. Tinjauan secara mendalam juga dilaksanakan oleh komando Mesir ke dalam kawasan penempatan tentera Israel di Semenanjung Sinai bagi mendapatkan maklumat yang terperinci kawasan yang bakal dilaksanakan serangan oleh mereka.



7. Manakala di perbatasan Bukit Golan, tentera Syria juga meningkat kemampuan angkatan tenteranya. Syria telah menempatkan 5 divisyen tentera, manakala kekuatan armornya adalah 1,200 kereta kebal, 800-900 buah kenderaan berperisai. Selain itu, latihan juga kerap dilaksanakan di kedua-dua kawasan bagi membiasakan tentera mereka dengan keadaan muka bumi di kawasan operasi (AO) mereka.


Go to fullsize image
Jen Saad el Shazly
 8. Perbincangan juga dijalankan antara Mesir dan Syria mengenai peperangan yang bakal dijalankan oleh mereka. perbincangan ini melibatkan Leftenan Jeneral (Lt Jen) Saad el Shazly, Keletua Staf Tentera Mesir dan Jeneral Yusuf Shakur, Ketua Staf Tentera Syria. Mesyuarat telah dijalankan selama 2 hari dan membincangkan pelbagai perkara kecuali hari untuk lancarkan serangan (D Day). Selain itu juga tarikh dan meteorologi, pasang surut air di Terusan Suez dan fasa bulan dikaji oleh Jen Gamasy. Tarikh pada kalendar yahudi juga dikaji. Setelah dikaji dan memenuhi kehendak beliau, tarikh tersebut jatuh pada hari Yom Kippur pada 6 Okt 1973.




9. Tarikh tersebut penting kerana Yom Kippur merupakan satu upacara keagamaan bagi agama yahudi dan semua akan berpuasa dan berada di synagogue bagi upacara mensucikan diri. Pada masa tersebut tiada aktiviti harian akan berlangsung termasuklah siararan radio dan televisyen. Ini merupakan satu faktor yang penting bagi elemen kejutan kerana ia akan menyukarkan panggilan bagi anggota kerahan ke garisan hadapan bagi menentang kemaraan tentera Mesir. 

Go to fullsize image
Golda Meir

10. Walaupun persiapan telah dilaksanakan oleh kedua negara arab tersebut, Israel tidak mengambil sebarang tindakan untuk meningkatkan kekuatan atau aktiviti ketenteraan di pos-pos mereka di sepanjang sempadan. Menurut  buku mengenai Perang Yom Kippur, The Yom Kippur War, the epic encounter that transformed the middle east ditulis oleh Abraham Rabinovich, keadaan pos tentera Israel di kawasan sempadan adalah dalam keadaan tidak diurus dengan baik dimana peparitan yang hampir runtuh, bekalan peluru yang sedikit daripada keperluan sepatutnya serta kedudukan antara pos-pos yang jauh antara satu sama lain. Ini berlaku kerana Israel masih merasa mereka masih kuat kerana berjaya mengalahkan negara-negara arab semasa Perang 6 hari pada tahun 1967. Golda Meir terlalu yakin dengan keupayaan Israel untuk mengalahkan negara arab sekali lagi jika berlakunya perang dan ini akan membuatkan mereka akan mengiktiraf kewujudan negara Israel.

11. Begitu juga dengan pandangan badan perisikan tentera Isreal, AMAN yang diketuai oleh Jen Eli Zeira juga mengatakan bahawa kemungkinan untuk perang berlaku. Ia juga yakin sekiranya Mesir berhasrat un wartuk melancarkan peperangan, Israel akan mendapat maklumat yang tetap melalui sumber yang diyakini. Sumber tersebut merupakan seorang warga Mesir yang berkepentingan dikenali dengan nama The Source.

12. Terdapat juga kebimbangan dikalangan pucuk kepimpinan tentera Israel mengenai peperangan antara mereka dengan Mesir sebagaimana yang dinyatakan oleh Jen David Elazar yang menyatakan bahawa kemungkinan tersebut adalah tinggi. Beliau menyatakan kebimbangan mengenai garisan Bar-Lev yang terletak di sempadan Sinai. Garisan Bar-Lev merupakan garisan yang menempatkan pos-pos tentera Israel berkekuatan 20-30 anggota. Dibina untuk melindungi tentera mereka daripada tembakan artileri dalam pertempuran sebelum ini. terdapat cadangan untuk menggantikan anggota tentera ini dengan kereta kebal tetapi akhirnya ia tidak dilaksanakan kerana pos-pos ini akan dijadikan sebagai penampan bagi serangan Mesir sebelum pasukan utama Israel tiba.
13. Selain itu doktrin Israel yang akan akan bertempur di kawasan musuh juga menyebabkan keyakinan Israel lagi menggunung. Berdasarkan doktrin Israel, ketumbukan tentera Mesir akan dihalang di Semenanjung Sinai dan dihapuskan di kawasan terusan dan doktrin ini dikenali sebagai DOVECOTE. Manakala rancangan SELA dirangka dengan menyatakan sekiranya Mesir menyerang, 2 divisyen armor akan menyerang terlebih dahulu sebelum pertempuran sebagaimana analisa perisikanan. Kedua-dua rancangan ini telah dibuat analisa secara wargaming dan keputusannya mendapati bahawa tentera Mesir dapat dihapuskan dalam masa 48 jam sahaja. Ditambah lagi dengan keupayaan menguasai ruang udara oleh pesawat Israel, mereka yakin kemenangan secara mudah akan diperolehi.

Bersambung dalam siri yang akan datang. Selamat membaca,


Share

No comments:

Post a Comment