Sunday, 26 December 2010

Konflik yang Tiada Sudahnya-Semenanjung Korea

1. Pada 23 Nov 10, Semenanjung Korea digegarkan dengan serangan artileri oleh Korea Utara ke atas Pulau Yeonpyong, Korea Selatan. Lokasi pulau tersebut hanya 80 km dari Incheon, Korea Selatan dan 12 km dari Daerah Hwanghae, Korea Utara. Insiden tersebut berlaku berlanjutan daripada rasa tidak puas hati ke atas Korea Selatan dengan dakwaan bahawa tembakan dilepaskan oleh tentera Korea Selatan terlebih dahulu. Tentera Korea Utara menembak dianggarkan 200 das tembakan dan menyebabkan 2 tentera marin Korea Selatan terbunuh manakala 20 penduduk pulau tersebut cedera. Bimbang terhadap keselamatan mereka, penduduk pulau berkenaan dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka sekiranya terjadi konflik yang seterusnya.  


Peta lokasi Pulau Yeonpyeong - sumber dari internet
2. Konflik Korea ini sebenarnya bermula sejak tahun 1950-1953 dikenali sebagai Perang Korea. Dalam perang tersebut Korea Selatan dibantu oleh PBB yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang dibawah pimpinan Jeneral Douglas Mac Arthur manakala Korea Utara dibantu oleh Soviet dan juga China. Tiada siapa yang menang dalam peperangan tersebut dan hanya mewujudkan garisan pemisah di Garisan 38 yang dikenali sebagai Kawasan Bebas Tentera atau Demilitarize Zone (DMZ).


3. Konflik baru-baru ini menyebabkan Amerika bertindak dengan campur tangan dalam konflik tersebut.  Tindakan Amerika adalah bergegas dari Okinawa, Jepun menghantar armadanya ke Korea Selatan untuk membantu Korea Selatan. Korea Selatan juga bertindak mengadakan latihan ketenteraan bersama-sama dengan Amerika sebagai show of force. Manakala rakyat Korea Selatan juga mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan Korea Utara dan juga mendesak agar tindakan keras juga dilaksanakan ke atas Korea Utara. 


4. Pada pendapat saya, konflik baru-baru ini adalah cubaan Korea Utara untuk menguju dan melihat sejauh mana tindakan yang akan diambil keatasnya kerana tindakannya. Dunia hanya mengutuk dan berikrar untuk bertindakbalas sekiranya serangan lain dilaksanakan oleh Korea Utara manakala terdapat sesetengah pertubuhan dunia dan juga negara memohon agar rundingan dilakukan antara kedua-dua negara.


5. Sebenarnya sekutu Korea Selatan tidak berani mengambil tindakan ke atas Korea Utara kerana beberapa sebab. Sebab yang utama adalah kerana dua kuasa besar dunia yang berada dibelakang Korea Utara iaitu Rusia dan China. Walaupun Rusia sudah menjadi sebuah negara demokrasi manakala China hanya sebuah negara komunis pada erti kata politik sahaja. Semasa Perang Korea, kemenangan hampir berpihak kepada Korea Selatan dan sekutunya. Melihatkan kepada situasi tersebut Stalin telah mengarahkan Mao Tze Dong supaya China campur tangan bagi mengelakkan sekutu mereka kalah.  China telah menghantar tentera mereka tanpa dikesan dan seterusnya melaksanakan serangan dan ianya mengejutkan Korea Selatan dan sekutunya. Keputusan akhirnya adalah perundingan dilaksanakan dan satu garisan pemisah diwujudkan di Garisan 38. 


6. Selain itu, jika diperhatikan daripada segi kelengkapan ketenteraan, Korea Utara tidaklah mampu menandingi Korea Selatan kerana mereka masih mengamalkan sistem ekonomi yang berpaksikan komunisme dan tidak dapat memberikan pendapatan yang besar kepada negara ditambahkan lagi dengan masalah kebuluran yang melanda di Korea Utara.Tetapi Korea Utara mempunyai kemampuan dan senjata yang Korea Selatan tidak miliki iaitu senjata nuklear. Ini menyebabkan lain-lain kuasa besar ragu-ragu dan menggunakan konsep lihta yang akan menyerang terlebih dahulu. Sekiranya peperangan seterusnya berlaku, kemungkinan penggunaan senjata nuklear akan berlaku. Amerika bersungguh-sungguh untuk mengambil tindakan ke atas Korea Utara kerana ingin menunjukkan kekuasaan mereka sebagai kuasa tunggal dunia selepas kejatuhan Soviet. Amerika juga yakin dengan 'kejayaan 2 kempen' mereka sebelum ini iaitu Iraq dan Afghanistan. 

Thursday, 23 December 2010

Stridsvagn 103 - Kereta Kebal Tanpa Turet

1. Pasti ramai yang tidak pernah melihat atau sedar tentang kewujudan kereta kebal tanpa turet. Turet adalah satu bentuk seakan-akan kubah yang menempatkan meriam, sistem optik, krew dan juga semboyan (komunikasi). Pada kali ini saya akan menulis mengenai kereta kebal tanpa turet.

Picture of the Picture of the Stridsvagn 103 (S-Tank).
Strv 103 (S Tank)
2. Kereta kebal yang dimaksudkan adalah Stridsvagn 103 (Strv 103) atau lebih dikenali sebagai S Tank. Kereta kebal ini dibangunkan oleh Sweden pada tahun 1950-an semasa Perang Dingin sedang memuncak. Pembangunan S Tank ini bermula daripada kontrak yang ditawarkan untuk menggantikan kereta kebal Centurions milik tentera darat Sweden. Beberapa syarikat telah mendapat rekabentuk kereta kebal dengan kod KRV yang mana ia bakal dilengkapi dengan meriam 155mm smoothbore tetapi ia akan meningkatkan kos pengeluaran. Berikutan itu, pihak tentera darat Sweden berhasrat untuk mendapatkan kereta kebal dari Amerika Syarikat, Britain atau Jerman.

3. Pada tahun 1956, Sven Berge telah mencadangkan Alternativ S iaitu satu alternatif untuk menghasilkan kereta kebal secara domestik (S bermaksud Sweden). Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman di medan tempur, kereta kebal yang tinggi mempunyai kadar kemusnahan yang tinggi kerana ketinggian tersebut ia amat mudah untuk dikesan. Sehubungan itu, Sven Berge mencadangkan agar rekabentuk kereta kebal yang baru perlu mempunyai ketinggian yang minima (rendah) bagi menyukarkan dikesan oleh musuh dan ini akan memerlukan turet dibuang dan senjata utama (meriam) dipasang terus pada badan kereta kebal. 

4. Disebabkan oleh ketiadaan turet, ia dapat mengurangkan berat S Tank dan lebih banyak perlindungan boleh ditambah kepada badannya dengan menambah ketebalan perisainya. Ia juga mengurangkan kadar untuk dikesan oleh musuh, boleh diaturgerakan dalam kedudukan hull down (kedudukan badan kereta kebal yang terlindung dan hanya turet sahaja yang terdedah untuk menembak) sama ada berlindung dalam kubu yang digali atau di sebalik permatang di kawasan bukit.

Gambar atas menunjukan posisi turret down,
manakala gambar dibawah adalah kedudukan hull down.
5. Kerana ketiadaan turet, cara untuk menembak secara dongakan atau sisi (ke kiri atau kanan) adalah berlainan berbanding kereta kebal biasa. Bagi menembak secara dongakan, S Tank akan menggunakan sistem suspensinya yang boleh di dongak atau diturunkan manakala apabila ingin menembak sisi ia akan mengerakan badan kereta kebal sama ada ke kiri atau kekanan. Walau pun mempunyai kelebihan daripada segi perlindungan dan sukar untuk dikesan, kelemahan utama S Tank adalah ia tidak dapat menembak semasa bergerak kerana meriamnya akan bergerak mengikut pergerakan badannya. S Tank menggunakan sistem isian semula secara automatik (auto loader) dan ini dapat menjimatkan ruang kerana tidak memerlukan krew pengisi. Krew bagi S Tank terdiri daripada penembak/pemandu, komander dan jururadio/pemandu belakang. Komander dan penembak akan berkongsi kawalan tembakkan dan juga sistem optik yang mana ia boleh digunakan oleh salah seorang mereka. Bagi pemandu belakang ia mempunyai sistem pemanduan yang lengkap bagi membolehkannya bergerak ke belakang tanpa perlu memusingkan badan S Tank. Ini adalah penting semasa ia berundur dimana ia akan mengekalkan meriam sentiasa menghadap ke arah musuh bagi terus memberikan tembakan dengan kelajuan yang sama sepertimana semasa bergerak ke hadapan. Selain itu ia juga mengelakan bahagian belakangnya menjadi sasaran ini kerana bahagian belakang kereta kebal merupakan kelemahanya kerana ia mempunyai lapisan armor yang nipis.

6. S Tank dikeluarkan oleh Bofors AB dan pengeluaran bermula dari tahun 1967 sehingga 1971 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 290 buah. S Tank mempunyai 4 versi iaitu S 103, S 103 B, S 103 C dan S 103 D. Berat S Tank adalah 40 tan dengan ketinggian 2.14 m dan panjang 3.60 m bagi S 103 B dan 3.80 m bagi S 103 C. Ia mempunyai 1 laras meriam jenis 105 mm L/62 dengan 50 butir peluru. ia juga mempunyai senjata sekunder  dengan 2 x 7.62 mm machine gun yang terpasang pada badan dan 1 x 7.62 mm machine gun bagi tugasan anti pesawat. Ia mempunyai dua jenis enjin iaitu bagi pergerakan dan mensasarkan sasaran ia akan menggunakan enjin Roll Royce K60 240 kuasa kuda manakala untuk bergerak pada kelajuan tinggi ia akan menggunakan enjin turbin Boeing 502 300 kuasa kuda. S Tank adalah kereta kebal pertama yang menggunakan enjin turbin sebelum M 1 Abrams atau T-80. S Tank juga mempunyai keupayaan untuk berenang dimana ia akan digerakan oleh tracknya dan skrin akan dinaikan sebelum berenang. Ia mempunyai kelajuan 50 km/j dan kelajuan di dalam air  6 km/j  

7. Walaupun mempunyai ciri-ciri yang hebat, ia tidak pernah terlibat dalam aman-mana pertempuran dan ia juga telah dikeluarkan daripada perkhidmatan tentera darat Sweden pada tahun 1990-an dan telah digantikan dengan kereta kebal Leopard 2 buatan Jerman. Bagi penerangan lanjut boleh menonton video yang saya sertakan.

 

Tuesday, 21 December 2010

French Foreign Legion -


Go to fullsize image

French Foreign Legion merupakan salah satu daripada unit atau pasukan di dalam Tentera Darat Perancis. Ia merupakan satu unit yang unik kerana membenarkan mereka yang bukan warganegara Perancis untuk berkhidmat dalam angkatan tentera di bawah bendera Perancis.  Ia juga dikatakan antara unit elit di mana mereka dikenali oleh latihan dan disiplin yang ketat. Anggota mereka juga mempunyai semangat setiakawan yang tinggi walaupun mempunyai budaya, bahasa dan adat resam yang berbeza di kalangan anggota mereka.

French Foreign Legion atau lebih dikenali sebagai legion ditubuhkan oleh Louis Philippe yang dikenali juga sebagai 'Raja kepada Perancis' pada 10 Mac 1831. Ia ditubuhkan kerana warga asing dihalang untuk menyertai tentera Perancis selepas Revolusi Perancis dan sehubungan dengan itu, ia ditubuhkan untuk membenarkan kerajaan mempunyai satu langkah untuk 'melangkaui' arahan tersebut. Ia juga ditubuhkan untuk membersihkan atau menukarkan elemen atau punca-punca kekacauan masyarakat menjadi sesuatu yang berguna dengan meletakan mereka dibarisan hadapan dan menentang musuh negara. Pengambilan untuk rekrut diambil dari kalangan anggota revolusi  dari sebahagian negara-negara eropah yang gagal, tentera negara luar yang pasukan mereka telah dibubarkan dan Algeria dijadikan sebagai 'rumah' legion untuk tempoh 130 tahun sebelum ianya merdeka dari Perancis. Tugas utama legion adalah untuk mempertahankan serta memperluaskan empayar Perancis disamping berperang untuk Perancis dalam setiap peperangan seperti Perang Franco-Prusia, Perang Dunia Pertama dan Kedua dan Perang Vietnam Pertama, Perang Algteria dan juga beberapa peperangan moden.

Unit-unit dalam legion terdiri daripada Infantri, Jurutera, Kavalri dan payung terjun. Unit-unit dalam French Foreign Legion:

- 1st Foreign Cavalry Regiment (1e REC)

- 1st Foreign Engineer Regiment (1e REG)

- 2nd Foreign Engineer Regiment (2e REG)

- 2nd Foreign Infantry Regiment (2e REI)

- 4th Foreign Regiment (4e RE)

- 2nd Foreign Parachute Regiment (2e REP)

- French Overseas Territories and Overseas Collectives

- 3rd Foreign Infantry Regiment (3e REI)

- Foreign Legion Detachment di Mayotte (DLEM)

- 13th Foreign Legion Demi-Brigade (13 DBLE), berpengkalan di Djibouti.

* 1e REP di bubarkan pada Apr 1961 kerana cuba menggulingkan Charles de Gaulle berikutan ketidakpuasan hati anggota rejimen tersebut kerana Algeria telah di berikan kemerdekaan oleh Perancis. Mereka merasakan seperti dikhianati setelah bertahun-tahun menentang pemberontakan di Algeria.

Insignes de la légion étrangère.pdf
Lambang Unit-Unit Legion
Legion mempunyai dua moto yang utama iaitu moto pada panji-panji rejimental - Honneur et Fidélité  (Maruah dan Kesetiaan) dan moto Legion - Legio Patria Nostra (The Legion Is Our Fatherland). Manakala bagi setiap rejimen Legion, mereka mempunyai cogankata bagi setiap unit masing-masing.

Bagi sesiapa yang berminat untuk memasuki Legion, mereka perlu melapor di Pusat Penerangan Legion. Pada hari pertama mereka akan menjalani proses penerimaan, diberikan maklumat mengenai Legion dan juga syarat kontrak perkhidmatan mereka dalam legion. Bagi warganegara luar, mereka tidak semestinya fasih dalam bahasa Perancis dan ia akan di ajar setelah mereka berjaya menamatkan latihan asas mereka. Mereka juga akan dibuat tapisan untuk mendapatkan rekod jenayah mereka, tetapi terdapat kes dimana mereka yang mempunyai kes jenayah dibenarkan memasuki legion dan diberikan identiti baru.

Proses  pemilihan untuk menjadi anggota legion, mereka akan menjalani beberapa peringkat pemilihan. Pemilihan yang akan dijalani oleh mereka seperti berikut:

Latihan Yang dijalani
oleh anggota legion
1. Pra Pemilihan. Mereka akan menjalani pra pemilihan untuk tempoh 1 hingga 3 hari di Pusat Rekrut Legion di Aubagne, Paris. Di sana mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan awal, dokumentasi akhir dan menandatangani kontrak perkhidmatan selama 5 tahun.

2. Pemilihan. Pemilihan akan berlangsung sehingga 10 hari dimana mereka akan menjalani ujian psikologi dan personaliti, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan keadaan fizikal. Semasa peringkat ini, tiada keperluan untuk kelulusan akademik yang akan ditanya kepada calon-calon.

3. Temuduga keselamatan dan motivasi. Pada peringkat ini calon akan diberikan maklumbalas samada berjaya atau gagal untuk menjalani latihan sebagai seorang legion.

4. Pemilihan Akhir. Pada peringkat ini calon-calon akan menandatangani dan menyerahkan kontrak perkhidmatan selama 5 tahun mereka. Mereka juga akan diserapkan kedalam legion sebagai pelatih dan akan menjalani latihan.

5. Latihan Asas. Mereka akan menjalani latihan asas di French Guyana yang dijalankan di 4th Regiment bagi tempoh 15 minggu dengan asas ketenteraan, latihan medan, mempelajari tradisi legion, belajar bahasa Perancis, latihan teknikal dan akhirnya melapor ke pasukan yang telah ditugaskan. Latihan yang dijalani dikatakan antara latihan yang mencabar dimana mereka akan diuji dari segi fizikal dan mental sepanjang latihan mereka.

Walaupun legion diakui mempunyai latihan serta disiplin yang keras, masih ramai yang ingin menyerta legion kerana reputasinya sebagai salah satu pasukan elit dalam pasukan tentera. Selain itu, kebanyakan yang menyertai legion berasal daripada negara yang miskin dari Asia Selatan dan Afrika. Bayaran yang lumayan serta tawaran untuk menjadi warganegara Perancis selepas menamatkan kontrak perkhidmatan merupakan tarikan kepada mereka. Bagi sesetengah yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki oleh pihak polis, apabila mereka menyertai legion, mereka akan diberikan identiti yang baru serta akan dilindungi identiti mereka. Selian itu, kebanyakan bekas tentera menyertai legion kerana ingin mendapatkan pengalaman serta ingin action kerana pasukan legion kerap dihantar ke kawawan konflik. selain iintu, pasukan legion juga menerapkan semangat setiakawan yang tinggi dimana salah satu daripada ikrar mereka adalah tidak akan meninggalkan rakan di medan pertempuran.

Centre Piece kebanggan anggota legion.
Tangan kayu kepunyaan Kapten Danjou
yang terkorban dalam pertempuran
Camarone, Mexico

Saturday, 27 November 2010

Never Fear Heli Is Here

Go to fullsize image
UH-60 Blackhawk
Minggu lepas saya ada menonton dokumentari bertajuk 'Inside Afghan ER'. Ia menceritakan bagaimana casevac dan medevac dilakukan oleh tentera Amerika di Kem Solerno, Afghanistan yang menggunakan helikopter dan juga suasana yang dihadapi oleh mereka seharian dalam menghadapi tentangan oleh Taliban. Dalam dokumentari tersebut apa yang mengagumkan saya adalah mereka mempunyai helikopter yang khas hanya untuk dijadikan ambulan udara. Ini memudahkan operasi casevac dan medevac dilaksanakan dengan  cepat.
Hubungan 'intim' antara ATM dengan helikopter telah wujud semasa era insurgensi. Berdasarkan kepada cerita 'orang-orang lama' helikopter adalah penyambung nyawa dan juga hubungan mereka dengan dunia luar semasa beroperasi dalam hutan. Ketibaan Nuri akan ditunggu dengan penuh harapan kerana ia membawa ration, surat dan lain-lain barang semasa resup (resupply). Apabila Nuri tidak sampai kerana delay disebabkan oleh faktor cuaca atau lain-lain yang tidak dapat dielakan, maka berlaparlah mereka dalam hutan dan makan apa yang ada. Selain itu, apa yang selalu dinantikan bagi ketibaan Nuri adalah apabila ada anggota yang cedera dan memerlukan pemindahan segera, Nuri merupakan harapan mereka walaupun terpaksa membuka Landing Point yang baru di tengah hutan. Anggota yang cedera akan dibawa menggunakan Nuri dan ini meyebabkan pilot helikopter sangat di hormati kerana ada yang sanggup mengambil anggota yang cedera sewaktu peluru musuh bersimpang siur. Selain itu, ada insiden dimana serangan hendap di Kroh oleh anggota PGK yang memusnahkan kenderaan perisai TD (V-150), Alouette Gunship yang bersenjatakan meriam 20 mm telah memberikan bantuan tembakan dengan menembak ke arah PGK dan ianya menyelamatkan ramai anggota TD pada ketika itu. Cerita lanjut mengenai kisah ini boleh dibaca melalui post yang bertajuk Serang Hendap Baling-Kroh di  blog jotting of an xnuripilot.

Helikoper mula di gunakan oleh Perancis semasa konflik di Algeria pada tahun 1954 dan seterusnya ianya digunakan secara meluas oleh Amerika semasa Perang Vietnam. Para pengkaji ketenteraan mengakui bahawa helikopter mempunyai banyak kegunaan dan kelebihan taktikal yang mana mampu bergerak ke satu tempat dengan lebih cepat, membawa bebanan lebih banyak dan mampu memberikan lebih maklumat. Sebagai contoh, Perancis menggunakan helikopter untuk mengangkut trup dengan menurunkan mereka dihadapan musuh mereka, sebagai ambulan dan juga mengangkut kargo ke kawasan yang mempunyai muka bumi yang sukar. Tentera Malaysia juga menggunakan helikopter secara intensif semasa penglibatan menentang insurgensi kerana keadaan muka bumi yang bergunung ganang dan hutan yang mana pergerakan menggunakan kenderaan darat adalah sukar.
Berdasarkan kepada keadaan peperangan sekarang serta bentuk ancaman yang telah berubah, sepatutnya kita perlu mempunyai beberapa jenis helikopter untuk kegunaan tentera (ini pandangan saya sahaja). Kategori helikopter yang dirasakan perlu untuk  adalah:

- Helikopter Penggempur.  Ia mula diperkenalkan semasa Perang Vietnam oleh Amerika. Helikopter pertama ialah AH-1 Cobra. Ia direka sebagai gunship helikopter untuk melaksanakan serangan terhadap kedudukan Vietcong serta sebagai pengiring kepada helikopter pengangkut semasa ke kawasan operasi. Ia juga digunakan untuk memusnahkan kereta kebal Vietnam Utara. Sebelum ini terdapat juga gunship helikopter, tetapi ianya adalah helikopter yang pengangkut yang dipasang senjata seperti UH-1, alouette, Gazelle dan banyak lagi
AH-1 Cobra
Selepas Cobra dikenalkan, Mi-24 Hind diperkenalkan oleh Soviet pada tahun 1972. Ia juga dikenali sebagai flying tank.  Ia mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugasan helikopter penyerang dan juga sebagai pengangkut trup untuk 8 orang infantri.

MI - 24 Hind
- Helikopter Pengangkut/Perubatan. memandangkan usia Nuri yang dah tua, kita sepatutnya telah memiliki heli yang baru dan dilengkapi dengan sistem terkini. Penggantian Nuri harus dilaksanakan dengan segera kerana ia telah digunakan dengan lasaknya sejak tahun 1960-an lagi. Keperluan untuk helikopter pengangkut yang baru tidak dapat dinafikan lagi. Selain daripada  helikopter pengangkut, keperluan untuk helikopter perubatan atau ambulan udara diperlukan sebagaimana yang kita lihat dalam tentera luar negara. Helikopter jenis ini mempunyai kemampuan yang lain kerana ia mampu mengisi pengusung dan lain-lain peralatan perubatan. 
Go to fullsize image
Mi - 17
Keperluan helikopter tidak lagi dinafikan kepentingannya. Ia mempunya keupayaan yang tiada pesawat kepak kaku (kapalterbang). Kita perlu belajar dari pengalaman kita yang lepas dan juga pengalaman orang lain bahawa helikopter membawa banyak jasa dan masih menjadi suatu yang amat penting.

Monday, 1 November 2010

Field Marshal Erwin Rommel

Kali ini saya akan buat entry mengenai salah seorang tokoh peperangan moden yang terkenal iaitu Field Marshal Erwin Johanes Eugene Rommel atau juga dikenali sebagai Erwin Rommel. Rommel diiktiraf di antara Jeneral yang mempunyai kebijaksanaan di medan tempur yang tinggi dan juga dia amat berani semasa Perang Dunia Ke 2.

Rujukan yang digunakan buku mengenai beliau bertajuk A Life of Field Marshal Erwin Rommel. Buku ini ditulis oleh David Fraser, bekas Jeneral British dan buku ini diterbitkan pada 1993 oleh syarikat penerbitan Harper Collins. Buku ini setebal 585 muka surat. Walaupun ia menerangkan mengenai sejarah hidup Rommel ia juga menerangkan serba sedikit mengenai Jerman dan sejarahnya. 

Rommel dilahirkan pada 15 Nov 1891dan menyertai tentera pada Jan 1912 dalam  124th Württemberg Infantry Regiment. Beliau pernah terlibat dalam Perang Dunia Pertama dan berkhidmat dalam 6th Württemberg Infantry Regiment, kemudiannya ditukarkan ke Württemberg Mountain Battalion. Beliau pernah menawan berjaya menawan tentera Itali yang berkekuatan 150 orang pegawai, 9000 anggota dan 81 meriam. Kerana kejayaan tersebut beliau dianugerahkan pingat tertinggi Jerman Pour le Merite . Beliau telah mengeluarkan buku mengenai pengalaman beliau dalam pertempuran  Perang Dunia Pertama tersebut bertajuk Infantry Attack dan buku tersebut dijadikan sebagai rujukan oleh tentera Jerman dan Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua. Beliau juga mengalami kecederaan semasa Perang Dunia Pertama kerana tindakan aggresif dan dianugerahkan Iron Cross, First dan Second Class. Keberanian beliau juga diiktiraf oleh anggotanya dengan ungkapan 'dimana garisan hadapan disitu akan ada Rommel'.

Selepas Perang Dunia Pertama beliau ditempatkan dalam pelbagai jawatan. Disebabkan oleh buku beliau, ia menarik perhatian Hitler dan telah dipilih untuk menjadi Komander Batalion Pelindungan Hitler. Semasa Perang Dunia Kedua meletus, beliau dilantik sebagai Komander Panzer (armor) dan memerintah Divisyen Panzer Ke 7. Beliau terlibat dalam operasi menawan Perancis dan juga Belgium. Keupayaan Divisyen tersebut mengempur musuh dengan kerahsiaan dan juga kejutan menyebabkan ia dikenali sebagai Batalion Hantu (Gespenster-Division). Selepas kejayaan menawan Belgium dan Perancis, beliau ditukarkan ke Afrika dan memerintah Deutsh Afrikakorps dan ia menaikkan nama Rommel. Kegerunan terhadap Rommel menyebabkan Churcil berang apabila panglima-panglima beliau gagal mengekang tentera Jerman akibat kecekapan Rommel. Rommel terlibat dalam dalam pertempuran dan antara pertempuran yang terkenal ialah Battle of Tobruk. Keupayaan beliau menyerang dan mengalahkan tentera bersekutu menimbulkan rasa gerun sehinggalah Jen Montgomery memimpin pasukan British. Kelebihan logistik, pintasan maklumat oleh British menggunakan ULTRA serta kekurangan logistik tentera Jerman menyebabkan Rommel terpaksa mengundurkan tentera tetapi ianya tetap menyukarkan pengejaran ke atas tentera Jerman kerana pengunduran dilakukan dengan teliti dan jerangkap samar dipasang sepanjang laluan pengunduran. Rommel dipanggil balik ke Jerman kerana masalah kesihatan beliau dan akhirnya Afrikakorps telah menyerah kalah semasa ketiadaanya.

Rommel semasa di Afrika
Selepas Afrika, beliau terlibat dalam mempertahankan kawasan Normandy dari serangan pihak Bersekutu. Beliau telah merancang pertahanan kawasan tersebut dengan menempatkan pertahanan dengan teliti, memasang pancang-pancang di kawasan lapang yang dikenali sebagai 'Rommel Asparagus' untuk menghalang pendaratan glider dan memperkukuhkan pertahanan kubu Antlantik. Semasa pendaratan berlaku, Rommel tiada di sana kerana bercuti dan beliau telah bergegas kembali apabila mendengar tentang pendaratan tersebut. Walaupun memberi tentangan hebat Jerman terpaksa berundur apabila menerima asakan yang berterusan dari pasukan bersekutu. Ramai pengkaji ketenteraan mengatakan kekalahan adalah berpunca kerana kengganan staf Hitler mengejutkan dari tidur beliau apabila berita pendaratan ingin disampaikan. Ia menyebabkan pasukan panzer tidak dapat diaturgerak dengan pantas bagi mematahkan pendaratan tersebut. Rommel mengalami kecederaan akibat kenderaan beliau diserang oleh pesawat pejuang pihak bersekutu semasa beliau ingin menuju ke barisan hadapan. Serangan tersebut telah mencederakan beliau dan dimasukan ke hospital akibat kecederaan.
 
 Selepas kekalahan di Perancis, Rommel berada di Jerman merancang serangan balas untuk mematahkan seranga pasukan bersekutu. Pada ketika itu, plot untuk membunuh Hitler sedang dirancang melibatkan pegawai-pegawai kanan Werhmacht dan juga cubaan membawa Rommel ke dalam perancangan tersebut. Rommel bersetuju untuk memberi sokongan terhadap usaha menyingkirkan Hitler dengan membawanya ke Mahkamah Tentera demi menyelamatkan Jerman tetapi menentang sebarang usaha membunuh Hitler kerana beliau bimbang ia akan menyebabkan Jerman terjebak dalam perang saudara. Setelah rancangan membunuh Hitler pada 20 Jul gagal membunuh Hitler, Rommel telah disyaki sebagai perancang utama dan membawa kepada kematian beliau. Hitler merasakan bahawa Rommel amat popular dikalangan tentera Jerman dan ini akan mengancam beliau sekiranya rampasan kuasa berlaku. Hitler telah menghantar 2 pegawai gestapo ke rumah Rommel dan Rommel telah diberi 2 pilihan samada menghadapi perbicaraan Mahkamah rakyat sebagai pembelot dan pengkhianat atau membunuh diri dimana keluarga beliau tidak akan diganggu. Rommel bersetuju untuk mengambil nyawanya sendiri dan beliau telah diberi pil sianida dan berakhirlah riwayat Rommel. Rakyat jerman dimaklumkan mengenai kematian Rommel dengan menyatakan bahawa beliau di serang sakit jantung dan Hitler telah mengarahkan pengebumian penuh dengan adat istiadat ketenteraan untuk menutup kezaliman beliau. Perkara ini akhirnya didedahkan semasa perbicaraan di Nuremberg selepas kekalahan Jerman. 

Rommel menjadi lagenda dalam tokoh-tokoh peperangan moden kerana beliau masih menghormati tawanan dengan memberikan layanan yang baik, aggresif dalam membuat keputusan dan tindakan, sentiasa bersama-sama dengan tenteranya di barisan hadapan dan masih berperikemanusiaan. Semasa beliau menyoal tentera British yang ditawan, Rommel memji mereka dengan mengatakan 'you fought like a group of wolf but you were led by a sheep'. Begitu serba sedikit mengenai Rommel seorang Jeneral yang ulung tetapi disia-siakan oleh pemimpin kerana kebimbangan yang disebabkan oleh kegagalan beliau sendiri.

Thursday, 21 October 2010

Keperluan untuk Sistem Pertahanan Udara Bergerak


Senjata Pertahanan Udara semasa Perang Dunia Pertama

Sistem pertahanan udara wujud sejak terciptanya pengangkutan udara. Rekod awal menunjukkan bahawa meriam pernah digunakan untuk menembak jatuh belon semasa Perang Franco-Prussia pada 1870. Semasa peperangan tersebut, belon digunakan oleh tentera Perancis untuk menghantar bekalan semasa Bandar Paris dikepung. Gustav Krupp dikatakan telah menggunakan senjata 1 pounder (32mm) yang telah  diubahsuai dan diletakkan di atas kuda bagi tujuan menembak belon-belon tersebut.   Jen Douchet menyatakan bahawa sesiapa yang menguasai ruang akan memenangi peperangan. Ini dibuktikan semasa perang Dunia Kedua, serangan terhadap Iraq dan Afghanistan, Perang Yom Kippur dan beberapa lagi peperangan. Menguasai ruang udara akan dapat menembusi ke kawasan musuh dalam masa yang singkat dan tanpa banyak halangan muka bumi. Dengan pelbagai jenis pesawat samada pesawat kepak kaku atau helikopter, pasukan yang berada di atas tanah lebih cenderung untuk dikesan serta dimusnahkan dari atas tanpa disedari.

Pesawat meredah tembakan senjata pertahanan udara
Sistem pertahanan udara terdiri daripada dua jenis iaitu meriam anti pesawat dan sistem peluru berpandu. Kedua-dua sistem ini boleh ditempat secara statik atau bergerak. Pada peringkat awal, sistem pertahanan udara diperkenalkan, meriam anti pesawat dan machinegun digunakan. Kaliber senjata yang digunakan adalah dari .50 cal, 20 mm, 40 mm hingga 88 mm. Senjata berkaliber kecil sangat digemari penggunaan kerana kos yang murah kadar tembakan yang tinggi dan juga ia senang untuk krew mengikuti sasaran mereka. Peluru berfius (proximity, barometrik dan time delay) yang akan menaburkan serpihan logam digunakan untuk mendapatkan kesan kemusnahan yang tinggi pada pesawat juga digunakan.
Apabila era jet semasa Perang Korea, meriam pertahanan udara mengalami kesukaran untuk menembak jatuh jet-jet yang terbang mencapai kelajuan bunyi (mach 1). Peluru berpandu permukaan ke udara telah dicipta untuk menangkis serangan jet-jet ini. Ia akan menggunakan radar bagi mengesan sasaran dan juga akan memandu peluru berpandu ke arah sasaran seperti SA-2, Hawk, SA-6 dan banyak lagi. Namun sistem ini mempunyai kelemahan iaitu radar tidak akan dapat mengesan pesawat yang terbang terlalu rendah (hugging terrain) dan juga apabila penyerak (jammer) digunakan. Ini akan menyebabkan keseluruhan sistem tidak dapat digunakan. Selain itu, pancaran radiasi oleh radar akan menyebabkan ia mudah dikesan oleh pemburu peluru berpandu yang juga dikenali Wild Weasel atau SEAD (Supress Air Defence System) yang akan memusnahkan peluru berpandu. Penyelesaian bagi masalah tersebut adalah dengan menggabungkan sistem meriam anti pesawat dan juga peluru berpandu. Contoh yang terbaik adalah semasa Perang Vietnam dimana kedua-dua sistem digunakan dan ianya telah menyebabkan jumlah pesawat Amerika yang ditembak adalah tinggi.

Melihat kepada mobiliti yang wujud dalam peperangan moden seperti Combine Arms, Battlegroup, Combat Team serta ancaman udara yang semakin canggih, sistem pertahan udara bergerak adalah diperlukan bagi menangkis sebarang ancaman dari udara. Dengan keupayaan untuk mara 20 km dan lebih, ia adalah sukar bagi sistem pertahanan udara biasa untuk bergerak bersama-sama. Tanpa pertahanan udara bergerak bersama, pasukan di darat akan diratah oleh musuh dengan sewenang-wenangnya sebagaimana terjadi kepada pasukan armor 2nd Army Mesir yang meninggalkan payung pertahanan udara dan telah dimusnahkan oleh pesawat Israel dengan mudah. Tambahan pula sistem stand off missile akan menyukarkan lagi pesawat musuh dikesan menggunakan cara biasa (visual) menggunakan mark one eyeball (mata). Walaupun sistem manpad wujud, ia hanya untuk pertahanan aras rendah (SHORAD) iaitu 8 km dan amaran awal tidak dapat disediakan kerana ia menggunakan sistem penjejakan menggunakan infra merah (SA-7, ANZA, Stinger) atau laser (Starburst). Dengan menggunakan sistem pertahanan udara bergerak, kehadiran musuh dapat dikesan dan amaran akan dapat dikeluarkan kepada kolum yang sedang bergerak. Ia juga dapat memberikan perlindungan sepanjang masa kepada pergerakan pasukan sahabat. Sistem pertahanan udara boleh menggunakan sistem meriam seperti ZSU 23-4, Gepard atau peluru berpandu seperti Chapparal atau gabungan kedua-duanya seperti Tunguska. Kelebihan sistem yang menggunakan meriam dan peluru berpandu dapat digambarkan seperti berikut; Sasaran dikesan pada jarak 32 km, sasaran dikunci (lock) pada jarak 18 km, pada jarak 8 km peluru berpandu dilepaskan, sasaran dapat elak peluru berpandu dan meriam akan berkerja menembak sasaran pada jarak 3 km. 

 Sistem pertahanan udara bergerak dirasakan perlu bagi memastikan kemampuan sesuatu ketumbukan untuk terus bertempur. Kita jangan mengulangi kesilapan British yang yakin bahawa udara dapat dipertahankan oleh tentera udaranya tetapi akhirnya mereka silap.

Thursday, 14 October 2010

Sniper

Seorang tentera Amerika yang ditembak oleh Sniper.
Dia bernasib baik dan selamat
Satu seksyen sedang meronda di kawasan penempatan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini. Kesemua anggota memerhatikan keadaan sekeliling dan tiba-tiba 'thump' anggota dihadapan tersungkur menyembah bumi. Anggota yang lain mencari perlindungan dan dalam keadaan yang kelam kabut, seorang lagi ditembak dan melihat keadaan itu, seluruh seksyen menembak secara rambang dengan harapan dapat mencederakan penembak tersebut. Penembak tersebut telah bergerak keluar dari tempat persembunyiannya dan bergerak ke kawasan pasukan sahabat. Senario tersebut merupakan keadaan di mana sniper menjalankan tugasnya dan kesannya terhadap sesuatu operasi ketenteraan.

Sniper atau dalam bahasa Melayu  dikenali dengan nama sebagai penembak tepat atau juga sebagai penembak curi. Ia telah wujud sejak sekian lama bermula dari pengenalan senjatapi dimana sniper akan bergerak dan mencari sasarannya. Tugas utama sniper adalah untuk membunuh ketua-ketua kumpulan kerana seperti ular apabila kepala dipotong maka badan tidak dapat bergerak. Sniper juga memburu operator radar, peluru berpandu, komander kenderaan perisai, juru radio dan anggota yang dirasakan penting. Peranan sniper tidak dinafikan mempunyai kesan serta peranan dalam peperangan moden. Seorang sniper boleh menyebabkan kemaraan sesuatu pasukan terhenti kerana satu das tembakan dilepaskan oleh beliau dan tidak dapat dikesan. Ia juga dapat menjatuhkan moral seseorang tentera yang mana ia akan memberi kesan psikologi dimana wujud kebimbangan mengenai nyawa apabila melaksanakan operasi bagi hari seterusnya.

Go to fullsize imageSniper akan 'mengadunkan' dirinya dengan persekitaran bagi mengelakkan ia dikesan musuh dan juga sebagai penyamaran. Pada peringkat awal, Sniper akan menggunakan semulajadi untuk membuat penyamaran dan kita dapat lihat penyamaran dibuat sebagaimana cerita enemy at gate dimana ia membuat penyamaran sesuai dengan keadaan persekitaran bandar. Teknologi yang semakin berkembang telah menjadikan penyamaran sniper sukar untuk dilihat melalui mata kasar. Sekarang sniper gemar menggunakan suit ghillies atau rambu ramba. Selain itu, teknologi mengenai penggiraan titik jatuh peluru, jenis peluru dan  senjata juga telah menyumbang reputasi yang menakutkan.

Sniper akan menggunakan senjata berkaliber 7.62 seperti SVD dan juga 12.7 seperti barret. Ia menggunakan kaliber  tersebut bagi membunuh musuh pada jarak yang jauh. 7.62 biasanya digunakan untuk personnel manakala 12.7 digunakan untuk anti material. Pihak Soviet telah mencipta senjata sniper yang boleh dikatakan sebagai lagenda iaitu SVD. ia direka sama seoerti AK-47 bagi mengelirukan musuh untuk mengesan sniper kerana rekabentuk senjata yang hampir sama.

Sniper dan suit ghillie
Ketakutan kepada sniper menyebabkan pelbagai teknologi anti sniper diperkenalkan seperti sensor untuk mengenalpasti arah balistik peluru sniper, vest kalis peluru yang dipertingkatkan dan bahkan ada yang menggunakan sniper memburu sniper. Ia pernah terjadi apabila sniper tentera merah berjaya membunuh tentera Jerman setiap hari dan ia menjatuhkan moral anggota mereka. Mejar Konig, jurulatih pusat latihan sniper Jerman telah dipanggil untuk memburu sniper Soviet yang terkenal, Vassili Zaitzev. Selain itu, semasa Amerika beroperasi di Iraq dan Afghanistan, ramai dari tentera mereka dibunuh oleh sniper sebagai mana yang ditunjukkan dalam rakaman video.

Itu sahaja catatan saya pada kali ini. berjumpa di lain kali.