Sunday, 15 July 2012

Multicam - Evolusi Terbaru Corak Loreng


Corak Multicam
Multicam adalah singkatan daripada Multicamouflage merupakan corak loreng terkini dalam inventori Tentera Darat Amerika. Ia mula diperkenalkan pada tahun 2010 semasa operasi Amerika di Afghanistan dan mula digunakan oleh Pasukan Khas. Corak ini direka oleh syarikat Crye AssociatesCorak ini adalah untuk menggantikan corak Universal Camouflage Pattern (UCP) atau dikenali sebagai corak digital.
Corak yang sebati dengan persekitaran
Corak UCP (kiri) yang tidak sesuai dengan
keadaan persekitaran
Penggantian corak UCP ke Multicam adalah disebabkan warna UCP yang berwarna kelabu dan ia tidak memberikan penyamaran yang baik terutamanya di kawasan pergunungan Afghanistan. Sebaliknya multicam telah mendapat maklumbalas yang memberangsangkan semasa ujiannya. Corak yang digunakan adalah corak yang tidak sekata dalam pelbagai saiz atau yang mengelarkannya sebagai coffee stain pattern. Ianya mempunyai tujuh warna iaitu dimana setiap warna mampu memberikan penyamaran yang baik disetiap keadaan muka bumi dimana ia mengelirukan pandangan manusia. Sebagai contoh apabila pengguna berdiri di kawasan hutan, padang pasir atau pergunungan, maka warna pada loreng tersebut seakan-akan menyembunyikan dan sebati dengan keadaan sekeliling.

Multicam oleh tentera Russia
Sebagaimana yang kita tahu, apabila tentera Amerika mengeluarkan loreng digital, maka berlumba-lumba negara lain untuk menggunakan corak tersebut dan Malaysia juga tidak ketinggalan dimana ujian mengenai corak tersebut telah dilaksanakan. Apabila corak multicam digunakan dan memberikan keputusan yang diluar jangkaan, terdapat negara yang telah menggunakan corak dan warna yang seakan akan sama dengan corak ini. Sebagai contoh, tentera Australia telah menggunakan multicam untuk pasukan khas mereka dan berpuas hati dan memohon dengan pengeluar untuk mengeluarkan corak ini secara berlesen. Tentera British juga telah menggunakan corak seakan - akan multicam tapi dikenali sebagai Multi Terrain Pattern (TMP) bagi kegunaan di Afghanistan. Russia dan lain-lain negara juga ada menggunakan corak ini dan ia dipercayai akan menjadi ikutan negara lain. Ini jelas menunjukan Kementerian Pertahanan Amerika mengambil berat terhadap pandangan anggota mereka dan berusaha untuk membaiki kesilapan mereka. Ini berikatan dengan pemilihan corak UCP yang dikatakan sebagai kesilapan yang terbesar mereka.

Bagi saya, corak loreng Malaysia iaitu corak Harimau Belang juga tidak kurang hebatnya. Ini kerana bila digunakan dikawasan hutan ia mampu menyamarkan penggunanya dengan baik terutama sekali apabila pakaian tersebut dalam keadaan basah. Kelemahn corak Harimau Belang adalah semasa penggunaan di kawasan terbina dimana warnanya yang direka untuk hutan jelas nampak tetapi setakat ini ia adalah corak yang bagus.

  

Hell In A Very Small Place - The Siege of Dien Bien Phu

Untuk entry kali ini saya nak mengulas dan membincangkan mengenai sebuah buku yang berkaitan dengan peperangan di Vietnam. Ia adalah sebuah buku yang membincangkan mengenai salah satu daripada pertempuran yang berlaku di Vietnam dan ianya masih menjadi satu topik dalam kajian sejarah ketenteraan. Buku ini ditulis oleh Benard B. Fall, seorang pengkaji mengenai sejarah Indochina dan juga sebagai seorang wartawan semasa Perang Vietnam-Amerika. Dia meninggal pada umur 40 pada 1967 semasa mengikuti rondaan tentera Amerika. Buku ini diterbitkan oleh Da Capo Press dan ia setebal 515 muka surat dan terbahagi kepada 12 bab.

Buku ini menceritakan sejarah penglibatan Perancis di Vietnam. Ia juga menceritakan mengenai Dien Bien Phu seperti keadaan geografi sebelum tentera Perancis menduduki kawasan tersebut, bagaimana ia mendapat nama Dien Bien Phu. Sehingga kini, ramai pengkaji ketenteraan bahawa kawasan tersebut adalah tidak sesuai dari segi taktikal kerana kedudukan yang dikelilingi oleh gunung dan ia juga adalah seperti kawah dimana ia akan menjadi sasaran mudah untuk tembakan artileri dan mortar. Ia juga dikatakan kesilapan pencaturan Tentera  Perancis yang teruk kerana kekalahan Perancis di Dien Phu mengakibatkan pengunduran Perancis dari Indochina.  Ia juga merupakan operasi yang menggunakan pasukan payung terjun secara besar - besaran.

Dien Bien Phu dirancang untuk dijadikan sebagai Pangkalan Hadapan Tentera Perancis untuk memutuskan laluan bekalan bagi Viet Minh dari Laos (negara sekutu Perancis) dan pada masa yang sama juga adalah untuk menarik perhatian Viet Minh bagi terlibat dalam pertempuran yang besar dan sekaligus memusnahkan atau melumpuhkan mereka. Buku ini juga menceritakan bagaimana keyakinan yang melampau oleh Komander Perancis dan memandang rendah terhadap kemampuan Viet Minh. Ini dibuktikan mereka tidak membuat perkiraan yang betul mengenai keperluan untuk stor pertahanan seperti kayu, kawat duri, zink dan sebagainya semasa peringkat perancangan. Selain itu juga, kawasan pertahanan mereka tidak disamarkan dengan sempurna seperti penempatan artileri dan mortar yang dibiarkan terdedah, antena radio yang tidak disamarkan, rutin harian tentera seperti pertukaran pengawal, keluar masuk ronda yang rutin tanpa sebarang perubahan telah diambil kira oleh Viet Minh. Penulis juga telah menulis mengenai pandangan kedua-dua belah pihak sama ada dari segi perancangan, pengalaman semasa pertempuran dan juga secebis sifat kemanusiaan walaupun peperangan sedang berlangsung.

Dalam buku ini juga menyatakan bahawa Amerika Syarikat sebenarnya telah memantau pertempuran ini dengan menghantar pesawat pengintip dan pada masa yang sama Perancis memohon untuk mendapatkan pesawat pengebom B-29 bagi mengebom laluan logistik dan kedudukan Viet Minh tetapi gagal kerana Amerika masih terlibat dengan pertempuran di Semenanjung Korea.

Rumusan yang boleh dibuat, buku ini merupakan sebuah bacaan yang hebat dimana ia melihatkan bagaimana taktik kedua belah pihak dan pada masa yang sama kita melihat bagaimana perbezaan strategi antara Perancis dan British menangani isu Komunisme di negara jajahan mereka.  

Thursday, 7 June 2012

RPZ CONDOR 'THE OLD FAITHFUL WORKHORSE'


Kenderaan V-150 Commando
RPZ Condor atau nama penuhnya Radpanzer Condor 4x4 APC atau lebih dikenali dikalangan krew sebagai Condor merupakan kenderaan berperisai yang digunakan dalam perkhidmatan TDM. Kenderaan ini dikeluarkan oleh syarikat Thyssen Henschel, Jerman Barat. Ia digunakan oleh Kor Armor Diraja dan juga pasukan Infantri Mekanize. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dalam Jane's Tanks and Combat Vehicles Recognition Guide, kenderaan Condor mula digunakan pada 1981 oleh Kor Armor Diraja dan seterusnya pasukan Infantri Mekanize bagi menggantikan kenderaan Cadilac Cage V-150 Commando. 

 
Condor APC dalam warna PBB
Condor merupakan kenderaan pengangkut anggota (APC) yang mana ia berperanan untuk membawa anggota ke medan tempur atau juga dikenali sebagai battle taxi.  Selain daripada mengangkut anggota ke medan pertempuran, ia juga berperanan untuk memberikan bantuan tembakan semasa serangan dilaksanakan, pengiring konvoi atau sebagai kenderaan peninjau. Terdapat 5 versi kenderaan Condor dalam TD iaitu kenderaan pengangkut anggota (APC), kenderaan pengangkut mortar (AMC), kenderaan pemerintah (ACV), kenderaan ambulan (AMB), kenderaan anti kereta kebal (AKK) dan juga kenderaan pembaikan (AVF). Manakala bagi sistem persenjataan pula, kenderaan APC dilengkapi dengan turet jenis TH-1 yang diperlengkapkan dengan senjata twin GPMG (General Purpose Machine Gun) dan 1 laras GPMG sebagai senjata Rear Gunner. Manakala bagi kenderaan anti kereta kebal ia dilengkapi turet dengan persenjataan selaras 20 mm Oerlinkon sebagai senjata anti armor dan GPMG sepaksi. Manakala bagi lain-lain versi, ia hanya dilengkapi dengan selaras GPMG pada kupola. Perisainya pula adalah dari jenis armoured steel yang mampu memberi perlindungan daripada peluru 7.62mm. Condor mempunyai berat kosong 9 tan dan berat tempur 12.4 tan. Kenderaan ini mampu berenang dengan kelajuan dalam air + 10 km/j. Ia mampu membawa 10 trup dan 2 krew. Ia juga menggunakan sistem transmisi 8 kelajuan secara manual.  
Berdasarkan kepada tahun pembelian Condor pada tahun 1981, usia kenderaan tersebut telah mencecah 30 tahun dan ianya tentunya tidak mampu memberikan perkhidmatan sebagaimana semasa ia mula dibeli kerana sepanjang tempoh tersebut, ia telah digunakan secara lasak. Selain itu, sistem persenjataan pada kenderaan tersebut iaitu GPMG 7.62 mm boleh dikatakan tidak sesuai untuk digunakan bagi peperangan pada masa kini memandangkan sistem armor yang terdapat kenderaan perisai sekarang mampu menahan peluru yang berkaliber lebih daripada 12.7 mm. Selain itu juga kita perlu melihat ancaman semasa pembelian kenderaan ini adalah sewaktu negara menentang insurgensi dan penggunaan senjata pada kenderaan tersebut adalah dianggap sesuai dengan ancaman pada ketika itu. Selain daripada itu, sistem kawalan pada turret menggunakan kawalan secara manual dan ini mengurangkan kadar tindak balas krew terhadap ancaman berbanding menggunakan kawalan secara automatik.

Walau terdapat kekurangan pada kenderaan ini, ia tidak menjejaskan kemampuan pasukan TDM sebagaimana yang ditunjukan dalam pertempuran Pasar Bakara, Somalia dimana Condor telah diarahkan untuk melaksanakan operasi menyelamat anggota US Ranger yang terkepung semasa melaksanakan penugasan mencari Jeneral Farah Aidid. Dalam pertempuran tersebut sebuah Condor telah ditembak oleh militia Somalia menggunakan RPG dimana ia telah menembusi cermin hadapan crew compartment  dan telah mengorbankan  Kpl Aznam. Selain daripada itu, kenderaan ini dapat diaturgerakan dengan pantas ke mana sahaja kerana ia menggunakan roda berbanding runut yang perlu diangkut menggunakan kenderaan loader. Selain itu, ia juga senyap dan menurut 'orang - orang lama' dalam satu latihan, kenderaan ini mampu merapati kawasan musuh tanpa disedari kerana ianya senyap.

Masanya telah sesuai untuk TD menggantikan Condor dengan kenderaan baru. Ia bagi memastikan peranan armor dan mekanize mampu digunakan sepenuhnya kelak.

Tuesday, 8 May 2012

ISU PEMBELIAN PERALATAN PERTAHANAN DAN POLITIK

Isu hangat suatu masa dahulu - Pembelian Kapal Selam
Kebelakangan ini terdapat banyak rungutan dan juga berita serta komen-komen mengenai pembelian peralatan pertahanan yang dilaksanakan oleh ATM. Pembelian ini banyak melibatkan komen yang berbaur politik dan dijadikan sebagai modal oleh sesetengah ahli politik sebagai bahan kempen mereka.

Cuma kebelakangan ini isu pembelian peralatan pertahanan menjadi tumpuan ahli-ahli politik dimana berbagai-bagai fakta diberikan terutamanya berkaitan dengan isu harga. Antara peralatan pertahanan yang menjadi tumpuan politik adalah isu pembelian kapal selam scorpene, pesawat Airbus A-400, Sukhoi dan yang terbaru sekali pembelian kenderaan perisai AV-8. Keadaan ini sebenarnya pada pendapat saya adalah seperti membuka rahsia kita kepada orang lain kerana kita seolah-olah mempertikaikan setiap pembelian peralatan ketenteraan. Apa yang sering diperkatakan adalah mengenai harga setiap aset yang dibeli yang mana ia dikatakan adalah berlipat kali ganda dan terdapat unsur - unsur rasuah yang berlaku semasa pembelian atau semasa tender dibuka. Bab itu saya tidak dapat memberikan komen secara lanjut kerana ianya diluar bidang kuasa saya. Apa yang saya ingin terangkan adalah mengenai pemikiran sesetengah ahli politik yang tidak tahu atau mahir mengenai sesuatu aset dari segi teknikal, taktikal dan juga strategik tetapi memberikan komen seolah-olah mereka adalah orang yang pakar dalam hal tersebut. Ini kerana mereka akan memberikan komen seperti ini " buat apa beli kereta kebal, kita bukan nak berperang esok lusa" dan sebagainya. Mereka juga seolah - olah menafikan keperluan pertahanan yang mana memerlukan persediaan dari segi latihan, penyesuaian dan juga taktik serta doktrin yang baru apabila sesuatu peralatan sampai dan bukannya apabila kita diserang baru hendak mencari peralatan.

Selain daripada itu, mereka juga perlu membaca atau mengkaji sejarah sesuatu pertempuran dan daripada hsil kajian tersebutlah mereka akan dapat mengetahui kenapa sesuatu peralatan diperlukan. Sebagai contoh apabila TLDM membeli Scorpene pelbagai lontaran negatif diberikan danada yang mengatakan bahawa pembaziran telah dibuat. Jadi suka saya untuk membawa ke zaman Perang Dunia Kedua dimana kapal selam Jerman atau U Boat telah menjadi senjata yang mampu menggugat dan hampir - hampir menyebabkan England kalah. Selain itu semasa Perang Falkland, apabila British menghantar kapal selamnya dan berjaya menenggelamkan kapal perang Argentina iaitu Belgrano, ia seolah-olah mengubah senario pertempuran laut antara Argentina dan British disamping itu menyebabkan bekalan logistik Argentina gagal dihantar ke trup - trup mereka di Kepulauan Falkland walhal jarak mereka adalah dekat.

Keperluan peralatan pertahanan bukan sesuatu isu yang boleh dipermain-mainkan. Ianya perlu dipersiapkan kepada setiap cabang perkhidmatan ATM bagi memastikan tugas mempertahankan negara dapat dilakukan dengan baik dan berkesan. Saya pasti kenapa ahli politik mempertikaikan pembelian peralatan pertahanan sebagaimana isu penggantian NURI adalah kerana tiada saudara mereka yang berkhidmatan atau terlibat dalam kemalangan yang melibatkan helikopter tersebut. Sekiranya ada pasti nada mereka berubah.

Tidak semua ahli politik berfikiran demikian. Ada yang mengambil berat mengenai pertahanan negara. Kalau dilihat pembelian persenjataan oleh negara jiran tidak dijadikan sebagai satu isu politik kerana mereka mengetahui tujuan dan kepentingan pembelian tersebut. jadi ahli politik, fikirlah apa yang anda mampu buat sebelum negara diheret ke medan peerang kerana pemikiran yang tidak membantu pertahanan negara.

  

Sunday, 6 May 2012

Antara M4, Steyr dan M16, Mana Satu Yang Paling Best

(Artikel ini dibuat adalah berdasarkan kepada penilaian penulis sendiri dan tidak melibatkan mana pengaruh dari parti politik atau orang perseorangan. Jadi bacalah dengan senang dan tenang)

ATM terutamanya Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menggunakan beberapa jenis senjata tempur sehingga kini. Artikel mengenai senjata yang digunakan oleh TDM juga ada menerangkan mengenai perkara ini. Sebelum menggunakan M-4 ini, TDM telah menggunakan senjata tempur yang pendek dan dari jenis Bullpup iaitu Steyr AUG A1 dan sebelumnya menggunakan M-16 A1. Saya pernah menggunakan ketiga-tiga jenis senjata ini dan setiap senjata ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Senjata M-16 ini digunakan oleh TDM semasa era menentang pengganas komunis dan ia  digunakan sehingga tahun 2000. Senjata ini senang untuk digunakan dan ianya juga adalah lasak. Ia dibuat daripada plastik dan juga besi. Ia mempunyai panjang 986mm dan berat 2.9 kg. Apa yang dimaksudkan dengan lasak senjata ini adalah ia mampu menahan penggunaan yang melampau seperti dijadikan kayu tongkat semasa menaiki bukit (cara yang salah tapi itu je bantuan yang ada), membuka laluan dikawasan semak. Ia juga senang digunakan semasa latihan pertempuran menggunakan benet kerana panjang senjata tersebut yang sesuai digunakan semasa pertempuran benet.

Steyr AUG A1 in standard rifle configuration (military green colour)Manakala Steyr AUG digunakan oleh TDM dipenghujung tahun 1990-an. Ia digunakan oleh TDM untuk menggantikan senjata M-16. Ia dikatakan dipilih kerana panjang senjata ini yang pendek sedikit daripada iaitu 805 mm tetapi ianya mempunyai berat yang lebih sedikit daripada M-16 iaitu 3.8 kg. Senjata ini dibuat daripada plastik polimer dan juga besi. Rekabentuknya juga amat futurisik dimana semasa mula melihatnya ia seakan-akan senjata dari angkasa lepas. Ini kerana senjata ini mempunyai tangkai pemegang yang dilengkapi dengan pajera berkekuatan 1.5 x pembesaran dan juga senjata ini menggunakan rekabentuk bullpup dimana kelopak peluru akan diisikan dibelakang. Namun senjata ini mempunyai kelemahannya tersendiri iaitu gas regulator dan penutup but senjata yang senang tercabut apabila ianya  tidak dipasang dengan betul selepas mencuci senjata dan ianya bukan mudah untuk dicari kerana saiznya yang kecil. Selain daripada itu, sekiranya menembak dengan jumlah peluru yang banyak, ia akan menyebabkan rasa tidak selesa untuk menembak kerana ia tidak mempunyai mengadang laras sebagaimana senjata M-4 yang boleh menghalang rasa panas laras senjata.    

Tentera Austria dan Senjata Steyr

Colt M4 carbine, current issue model with removable carrying handle, right sideSenjata M-4 adalah merupakan senjata yang dikatakan dicipta hasil daripada evolusi senjata M-6 tetapi ia mempunyai panjang dan berat yang berlainan daripada M-16. Ia mempunyai panjang 840 mm dengan udi dibuka dan berat 2.5 kg. Apa yang membezakan M-4 dengan M-16 adalah senjata ini mempunyai udi yang boleh tarik dan juga pemegang yang boleh dicabut dan dipasang dengan lain-lain aksesori pada landasan picanity seperti ACOG atau Red Dot. Jarak berkesan senjata ini adalah sejauh 360 mm kerana larasnya yang pendek. Pada dasarnya senjata ini sesuai untuk digunakan untuk pertempuran jarak dekat (CQB). Setakat ini tiada masalah yang boleh dihubungkan dengan senjata.

Jadi pada dasarnya semua senjata ini mempunyai sifat-sifat tersendiri. Saya suka menggunakan M-16 kerana kelasakannya manakala saya juga suka menggunakan Steyr kerana rekabentuknya manakala M-4 kerana ianya ringan. Pendek kata semua senjata saya suka tetapi yang paling saya suka adalah  M-16 komando. 

Thursday, 26 April 2012

KERAHAN TENAGA: PERLU ATAU TIDAK UNTUK ATM

Kerahan tenaga atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai conscription/national service adalah perkataan yang biasa didengar di Malaysia tetapi tidak pernah dilaksanakan. Malaysia pada dasarnya tidak pernah mengamalkan kerahan tenaga bagi mendapatkan sumber tenaga untuk menampung keperluan dalam mempertahankan negara.


Kerahan tenaga dipercayai telah lama dilaksanakan terutamanya bagi negara yang menjadi kuasa besar dan memiliki empayar yang luas pada zaman kegemilangan mereka. Kerahan tenaga dilaksanakan bagi mendapatkan keperluan keanggotaan tentera yang cepat dan mudah. Walau bagaimanapun kerahan tenaga kurang dilaksanakan pada masa sekarang di sesetengah negara terutamanya di benua Eropah kerana atas faktor keperluan tentera mereka yang lebih berkehendakan tenaga kerja profesional sepenuh masa.


Kerahan melibatkan remaja
Kerahan tenaga pada kebiasaanya diwajibkan ke atas remaja lelaki yang berumur 18 tahun pada tahun tersebut. Terdapat juga negara yang mewajibkan kerahan tenaga kepada remaja berumur 17 tahun. Pemilihan dan tapisan akan dilakukan terlebih dahulu kepada sebahagian kumpulan yang bakal diberikan pengecualian untuk menjalani kerahan tenaga seperti mereka yang sakit, kumpulan yang menganut agama yang mencegah keganasan dan sebagainya. Bagi mereka yang layak, akan menjalani latihan asa ketenteraan dan berkhidmat secara wajib untuk tempoh 2 tahun dalam pasukan kerahan. Selepas menamatkan perkhidmatan kerahan, mereka akan berkhidmat dalam pasukan simpanan sehingga mencapai umur yang ditetapkan. Namun Israel mengamalkan konsep kerahan tenaga tidak mengira jantina dimana ianya diwajibkan kepada remaja lelaki dan juga perempuan. Keperluan ini berdasarkan kepada ancaman yang dihadapi oleh negara haram tersebut.


Kerahan Tentera Israel melibatkan lelaki dan perempuan
Kerahan tenaga mempunyai kebaikan serta keburukannya. Kebaikan kerahan tenaga adalah semua remaja lelaki yang layak akan diberikan latihan ketenteraan dan ianya bermakna sekiranya berlaku sesuatu konflik mereka berupaya untuk mempertahankan negara kerana mereka telah mendapat latihan asas ketenteraan meliputi taktik, senjata dan kawad. Kerahan tenaga juga akan menambahkan rasa patriotik dikalangan mereka. Ia juga dapat meningkatkan rasa jati diri, setia kawan dan juga rasa tanggungjawab. Kerahan tenaga juga dapat menyediakan pasukan siap siaga yang boleh diaturgerakan dalam masa yang singkat.

Namun terdapat juga kelemahan dalam kerahan tenaga yang dilaksanakan oleh sesetengah negara. Terdapat rungutan dikalangan yang melaksanakan kerahan, mereka akan kehilangan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang berprofil tinggi terutamanya dari syarikat dan juga pelabur antarabangsa kerana kebanyakan daripada syarikat tersebut enggan mengalami kerugian kerana mereka yang menjalani kerahan tenaga  akan kehilangan atau kerugian kerana perlu membayar gaji kepada pekerja mereka yang tidak hadir berkerja. Luahan ini pernah dinyatakan dalam internet oleh remaja dari negara jiran kita. Selain itu, terdapat anggota yang sedang menjalani latihan kerahan cenderung untuk melakukan kesalahan disiplin terutamanya dari negara ketiga. Ini kerana mereka tidak melaksanakan secara sukarela dan akan melakukan sesuatu untuk mereka disingkirkan. Selain itu, terdapat juga negara yang melaksanakan latihan kerahan tenaga tidak mencapai piawaian yang sepatutnya dan ianya berlaku apabila sesuatu konflik berlangsung. Sebagai contoh semasa Peperangan Falkland, salah satu punca kekalahan Argentina adalah disebabkan sebahagian besar angkatan tentera mereka terutamanya dikalangan anggota kerahan. Tahap profesionalisme mereka dipersoalkan kerana mereka hanya menjalani latihan yang singkat untuk menampung keperluan di medan tempur dan kebanyakan mereka cenderung untuk mengalah semasa awal pertempuran.  

Angkatan Tentera Malaysia tidak pernah melaksanakan kerahan tenaga walaupun terlibat dalam dua kali darurat dan juga konfrantasi. Ini kerana tida masalah untuk mendapatkan rekrut pada ketika itu. Disamping itu juga, negara-negara Komanwel juga menghantar tentera mereka kerana Malaysia pada ketika merupakan negara yang baru pulih dari Perang Dunia Kedua dan mempunyai bilangan unit yang kecil dan sedang dibangunkan. Kerahan tenaga akan memerlukan perbelanjaan yang besar dari segi penyediaan penginapan, pembayaran elaun, serta makanan dan minum kerana bilangan untuk anggota kerahan adalah tidak mengikut kuota sebagaimana pengambilan rekrut yang berdasarkan kekosongan perjawatan di unit-unit. Selain daripada itu juga, Malaysia tidak mempunyai masalah dengan negara jiran dan bilangan anggota pasukan tetap dan simpanan sentiasa siap sedia mempertahankan negara. Walau bagaimanapun, kerahan tenaga dirasakan mampu untuk mendisiplinkan remaja Malaysia dan mempersiapkan diri untuk mempertahankan negara. Saya serahkan kepada pembaca untuk memberikan jawapan mengenai perlu atau tidak kerahan tenaga di Malaysia.  

Saturday, 28 January 2012

Tentera Upahan - Penjenayah atau Penyelamat

Blackwater di Iraq




Suatu masa semasa Amerika menceroboh Iraq, satu imej yang menunjukkan mayat yang hangus terbakar digantung di percayai seorang tentera upahan yang berada di Iraq. Semasa di Iraq, khidmat tentera upahan digunakan untuk melindungi konvoi bekalan dan juga melindungi orang kenamaan. Ini jelas menunjukan bahawa terdapat keperluan untuk menggunakan khidmat tentera upahan walaupun operasi ketenteraan sedang berlangsung.
Tentera upahan atau nama lain seperti Private Military Contractor (PMC), Mercenaries, Dog of war telah wujud dari zaman dahulu kala dimana ia diperlukan untuk melindungi kepentingan sesuatu empayar dan jajahan daripada ancaman dan pada masa yang sama menampung kekurangan tentera empayar tersebut. Walau bagaimanapun, kesetiaan tentera adalah amat diragui. Ini adalah kerana mereka akan melaksanakan tugasan atau misi mereka berdasarkan sejumlah bayaran yang telah ditetapkan. Apabila ada pihak yang menawarkan bayaran yang lebih tinggi, tentera upahan akan melaksanakan penugasan yang mempunyai upah tertinggi walaupun mereka perlu membelot atau mengkhianati majikan asal.

Anggota Executive Outcomes

Pada dunia ketenteraan sekarang, kebanyakan tentera upahan merupakan bekas - bekas anggota pasukan khas dan juga bekas tentera yang mempunyai kepakaran khas seperti juruterbang. Ini kerana mereka mampu mempunyai pesawat pejuang, helikopter bahkan kereta perisai atau kereta kebal sendiri. Syarikat tentera upahan juga tidak menumpukan sepenuhnya perkhidmatan mereka kepada bidang keselamatan dan ketenteraan. Seperti syarikat Executive Outcomes dari Afrika Selatan menetapkan syarat kepada pelanggan mereka bahawa mereka akan membantu menamatkan konflik dengan mengambil sebahagian daripada hasil perlombongan. Ini kerana mereka membayar pendapatan anggota mereka 2 atau 3 kali ganda daripada bayaran kerajaan.

Tentera upahan kebanyakan tidak disukai oleh penduduk tempatan kerana mereka bertindak di luar batasan seperti keganasan terhadap tahanan, pembunuhan orang awam, dan pelbagai lagi. Ini menyebabkan mereka akan kerap menjadi sasaran oleh gerila tempatan seperti yang terjadi di Iraq. Kebanyakan tentera upahan berani melakukan keganasan terhadap penduduk tempatan adalah kerana mereka tidak terikat kepada undang-undang peperangan sebagaimana pasukan tentera biasa. Walaupun ia merupakan pekerjaan yang amat berbahaya, masih ramai anggota pasukan khas yang memohon untuk menjadi tentera upahan kerana bayarannya yang amat tinggi. Pada pendapat saya wang dan aksi atau peperangan tersebut menjadi faktor mengapa tentera upahan berjaya menarik ramai anggota pasukan khas.