Thursday, 1 November 2012

Peperangan Di Kawasan Terbina (OBUA)

Selepas OBUA
Peperangan di kawasan terbina atau lebih dikenali sebagai OBUA (Operation in Built Up Area) merupakan  peperangan yang rumit dan sukar untuk mencapai satu kemenangan secara mudah. OBUA juga dikenali sebagai FIBUA (Fighting in Built Up Area) dan juga MOUT (Military Operation in Urban Terrain), dan FISH (Fighting in Someone house). Di rantau Asia Tenggara, tentera Singapura diakui memiliki keupayaan OBUA yang tinggi. 



Peperangan ini amat rumit kerana ia kawasan pertempuran adalah berbeza dengan peperangan konvensional.   Ini kerana medan pertempuran melibatkan struktur bangunan, perparitan dan juga orang awam yang terdapat di kawasan tersebut. Pada kebiasaanya, kawasan tersebut akan cuba dielak dari mengalami kemusnahan secara menyeluruh kerana kawasan tersebut akan diambil dan ditadbir semula. Sekiranya ia musnah secara menyeluruh, ia akan mengambil masa untuk dibangunakan semula  

Evstafiev-Chechnya-BURNED.jpg
Kenderaan BMP 2 yang musnah di Grozny
Perancangan bagi melaksanakan OBUA perlu mengambil kira beberapa keperluan sama ada dari segi taktikal dan juga logistik. Operasi OBUA akan dilaksanakan secara bangunan ke bangunan, tingkat ke tingkat dan bilik ke bilik. Bagi pembersihan bilik, ia memerlukan penggunaan peluru dan bom tangan yang tinggi kerana setiap bilik dan  bangunan perlu di bersihkan secara fizikal.  Selain daripada itu, bagi pasukan yang melaksanakan serangan, keperluan untuk mengaturgerakan kolum armor dan mekanize juga menjadi igauan kepada para komander. Armor dan mekanize akan diaturgerakan bagi melindungi operasi oleh infantri dengan bantuan kuasa tembakan dan juga perlindungan yang mampu diberikan. Namun, apabila berhadapan dengan pertahanan yang dirancang dengan baik, pasukan armor dan mekanize akan menjadi sasaran yang mudah seperti yang berlaku di Chechnya. Pasukan armor dan mekanize Russia beranggapan bahawa mereka akan dapat mengalahkan pejuang Chechnya dengan mudah hanya menggunakan kedua-dua pasukan ini namun mereka silap. Mereka diserang oleh senjata anti kereta kebal yang menggunakan longkang dan saluran bawah tanah sebagai kubu. Mereka juga diserang hendap dari bangunan yang menyukarkan tembakan dari senjata kereta kebal dan kenderaan perisai yang mempunyai sudut dongakan yang terhad. Bantuan tembakan serta pengeboman oleh pengebom artileri perlu dirancang dengan teliti kerana setiap pengeboman akan menyebabkan timbunan runtuhan bangunan dimana ia akan memerikan kelebihan kepada pasukan yang bertahan manakala ia juga akan menyukarkan kemaraan.

Bagi pasukan yang bertahan, mereka juga perlu membuat persiapan yang teliti. Setiap bangunan akan diperkukuhkan dan juga dibuat penyamaran bagi mengelirukan pasukan yang menyerang dan sekaligus menyukarkan mereka di kesan. Jerangkap samar, halangan  dan periuk api dipasang dikawasan yang strategik bagi meyalurkan pasukan serangan ke kawasan membunuh. Penembak tepat juga akan berada dikedudukan membolehkan sasaran penting dibunuh dan sekaligus  menyebabkan kemaraan terhenti. Bantuan artileri juga akan memberikan bantuan di laluan masuk pasukan serangan bagi. Jadi kebiasaannya, pasukan yang bertahan akan menggunakan penduduk tempatan yang mahir dengan kawasan tersebut dan sekaligus memberikan kelebihan kepada mereka.

Sejarah telah membuktikan bahawa operasi untuk OBUA ini memerlukan kekuatan                1 ketumbukan darat (Army level) seperti peperangan Stalingrad dan biasanya ia akan mengambil tempoh yang lama.  


Tuesday, 30 October 2012

Mortar - Artileri bagi Pasukan Infantri

Mortar ataupun lebih dikenali oleh orang - orang lama sebagai meriam katak merupakan senjata yang terdapat dalam inventori pasukan infantri. Ia mempunyi kuasa tembakan seperti artileri tetapi dengan kuasa letupan yang kurang.
 
  Mortar merupakan senjata yang menggunakan konsep londaran dimana bom yang ditembak mempunyai halaju yang rendah, jarak yang dekat, sudut dongakan yang tinggi, mampu menembakan musuh di kedudukan yang tersembunyi di sebalik perlindungan dan mampu melepaskan pada kadar yang pantas. Rekabentuk mortar juga ringkas berbanding dengan meriam dimana ia hanya mempunyai tapak mortar (base plate), tiub pelancar, tripod dan juga alat tenang. Terdapat beberapa kaliber atau saiz peluru bagi mortar ini seperti 60 mm, 81 mm dan 120 mm. Ketiga-tiga kaliber ini mempunyai impak yang berbeza dan dikendalikan di peringkat-peringkat tertentu.
 

Mortar dahulu
Mortar moden mudah untuk dikendalikan dan juga mempunyai tahap mobiliti yang tinggi berbanding dengan mortar zaman dahulu. Mortar yang terdahulu mempunyai kaliber yang besar sebagaimana yang ditunjukan pada gambar sebelah dan kebiasaanya ia digunakan untuk menembak ke kawasan kubu atau kota yang dikepung. Sebagaimana yang dinyatakan, bom mortar mempunyai sudut trajektori yang tinggi berbanding dengan meriam tetapi sukar untuk digerakkan kerana saiznya yang besar. Mortar dijadikan sebagai senjata bantuan kepada unit infantri kerana saiznya yang senang dibawa, selenggraan yang mudah, dapat menembak dalam kubu atau kedudukan yang terlindung dan ianya mempunyai kuasa pemusnah yang bagus dalam membantu infantri.

Mortar yang digunakan dalam infantri terbahagi kepada beberapa kaliber. Mortar 60 mm atau dikenali sebagai mortar komando adalah mortar yang digunakan dan ditumpangkan kepada Pl. Ia dikendalikan oleh dua dan cara menggunakan adalah mudah. Ia tidak mempunyai tenangan tetapi menggunakan alat penimbanng air dan pembaris untuk menunjukan sudut-sudut dongakan. Ia adalah bantuan tembakan tidak langsung yang dapat diberikan serta merta sebelum bantuan tembakan dari pl mortar dan juga artileri. Mortar jenis ini juga dapat memberikan bantuan tembakan yang baik untuk peperangan bandar kerana serpihan tidak mampu menembusi bangunan yang menyebabkan serpihan bom tadi 'berterbangan' dan mencederakan anggota yang terdedah. Jarak bagi mortar ini adalah + 1000 m.

Penembakan Mortar 81 mm
Manakala mortar 81 mm adalah mortar yang digunakan oleh Platun Mortar. Bilangan mortar atau dikenali sebagai tiub bagi Pl adalah 6 tiub untuk BIS dan 8 tiub bagi batalion Mekanize. Pengendalian untuk mortar jenis ini adalah sedikit rumit berbanding mortar 60 mm kerana ia memerlukan pengiraan seperti mengambil kedudukan grid menggunakan grid 8 angka, jarak, sudut dongakan dan cas. Bagi pengiraan tersebut alat yang digunakan adalah berdasarkan kepada kiraan komputer yang memberikan ketinggian penerbangan bom dan juga jarak dari kedudukan mortar ke sasaran. Jarak bagi mortar ini adalah + 6000 m. Mortar ini juga boleh digunakan dari dalam kenderaan armor seperti yang terdapat pada kenderaan ADNAN.

Mortar 120 mm
Mortar seterusnya adalah mortar 120 mm dan ianya adalah mortar yang mempunyai kaliber terbesar dimana saiznya mengalahkan meriam 105 mm. Mortar ini boleh ditembak dari kenderaan atau di atas tanah. Sesetengah tentera menjadikan mortar 120 mm ini sebagai ganti meriam 105 mm kerana keupayaannya yang menyamai meriam tersebut.

Mortar yang dibawa oleh kenderaan perisai
Kelebihan senjata ini adalah kadar tembakannya dimana ia dapat menembak dalam kadar yang tinggi berbanding meriam. Sebagai contoh sekiranya mortar tersebut dapat menembak 7 butir seminit, apabila penembakan dilaksanakan 1 butir telah mengenai sasaran dan 6 butir lagi masih diudara dan sedang menuju ke sasaran.  Selain itu juga, mortar juga dapat menembak bom yang menggunakan bom panduan bagi mengenalpasti sasaran dan bergerak menuju ke sasaran sebagaimana yang dikeluarkan oleh syarikat Bofors.
Mortar ! Tindak

 


Sunday, 26 August 2012

9TH COMPANY - Cerita Perang Soviet - Afghanistan Versi Russia

Pada kali ini saya berhasrat untuk menulis mengenai cerita perang yang menceritakan peperangan Soviet - Afghanistan menurut kacamata mereka. Kita kerap menonton cerita perang yang dihasilkan oleh penebit dari Hollywood dan saya rasa jarang atau tidak pernah kita menonton cerita perang yang dikeluarkan oleh penerbit dari Russia. Sebenarnya cerita ini saya terjumpa secara tidak sengaja semasa mencari data mengenai penglibatan Soviet dalam peperangan Afghanistan. Tajuk cerita ini adalah 9th Company R(Russia-9 Pota).Cerita ini dihasilkan pada tahun 2005 hasil gabungan Russia-Finland-Ukrain yang diarahkan oleh Fyodor Bondarchuk. Cerita ini berdasarkan cerita benar menceritakan mengenai sekumpulan rekrut yang menjalani latihan untuk ditugaskan di Afghanistan semasa penghujung konflik tersebut. Semasa menjalani latihan mereka mengharungi latihan yang keras dan mencabar berbanding kompeni lain. Setelah menamatkan latihan, kumpulan rekrut ini dihantar ke Afghanistan dan ditugaskan ke pos-pos masing -masing. Bagi kompeni ke 9, mereka telah dihantar ke Bukit 3234 untuk mengawal laluan tentera Soviet daripada serangan pejuang Mujahiddin. Ia juga menceritakan kehidupan mereka di pos tersebut, cara layanan anggota lama ke atas anggota baru, kesan psikologi ke atas tentera Soviet sepanjang penugasan mereka dan keupayaan mujahidin pada pandangan Soviet. Dalan cerita ini, penamat kepada cerita ini adalah kompeni ini diserang secara besar-besaran oleh pejuang mujahidin di atas kemuncak bukit dan sepanjang pertempuran ini hanya seorang anggota sahaja yang terselamat. Pada keseluruhannya, ia merupakan sebuah cerita yang menarik untuk ditonton kerana ianya adalah cerita dari Russia menceritakan tentang sejarah mereka di Afghanistan menurut versi mereka. Ia juga menunjukkan peralatan tempur yang sebenarnya dari inventori Russia seperti Mi-24, BMP-2, BTR dan senjata api. Ia bukan yang 'dibuat' meggunakan peralatan lain agar seolah-olah peralatan Russia. Sekiranya ingin mendapatkan maklumat mengenai cerita ini boleh rujuk wikipedia dan ianya akan menerangkan kontroversi berhubung cerita ini dan kejadian sebenar pertempurn ini. Akhir kata selamat menonton.

Saturday, 4 August 2012

Kamov KA-50 - 'Jerung' di Langit

Ka-50

Kamov KA-50 'Black Shark' (Pengenalan NATO 'Hokum A' merupakan salah satu daripada helikopter penggempur Russia yang terdapat dalam inventori mereka. Ia merupakan helikopter penggempur satu tempat duduk, mempunyai kipas sepaksi arah bertentangan (contra rotating), tidak mempunyai kipas ekor. Salah satu daripada ciri-ciri istimewa helikopter ini adalah ia mempunyai kerusi lenting seperti yang terdapat pada pesawat pejuang dimana apabila kerusi itu diaktifkan, kipas akan tercabut, kanopi akan tercabut dari rangka pesawat.

KA-50 mula dibangunkan pada tahun 1987 semasa zaman pemerintahan Kesatuan Soviet pada tahun 1987 dan mula dipamerkan kepada umum pada tahun 1982. Ia dikatakan bakal menggantikan Mi-24 Hind yang mana dikatakan mempunyai saiz yang terlalu besar dan tidak mempunyai keupayaan untuk bermanuver di kawasan pertempuran yang sengit.         KA-50 dicipta dengan mempunyai pelbagai sistem persenjataan seperti 23 mm pod roket (240 roket setiap satu pod), 12 x peluru berpandu anti kereta kebal VIKhR, Peluru berpandu udara ke udara Vympel R-73, roket S-8 dan S-13, Peluru berpandu udara ke darat panduan laser semi aktif Kh 25, 4 x bom 250 kg, 2 x bom 500 kg. Meriam yang digunakan adalah dari jenis Shipunoov 2A42 30 mm dengan 460 peluru (Perobek Armor atau Letupan Kuat-Frag). Apa yang unik mengenai meriam helikopter ini, ia tidak menggunakan sistem seperti helikopter penggempur yang lain dimana meriam dapat digerakan mengikut pergerakan helmet jurumeriam. Bagi sistem KA-50, ia menggunakan meriam yang berada di badn pesawat dan hanya boleh digerakan secara atas dan kebawah kerana pada pandangan pereka, ia dapat memberikan jarak yang lebih jauh dan lebih tepat berbanding sistem meriam yang boleh digerakan.

Rekaan dua kipas sepaksi menyebabkan kipas ekor tiada dan ini menyebabkan kotak gear untuk kipas tersebut tiada dan sekaligus menjadikan kawasan untuk bahagian kritikal enjin helikopter menjadi kecil untuk ditembak musuh. Selaini itu ia juga memberikan kelajuan kepada helikopter iaitu 315 km/j dan mampu melakukan gerakan roll dan barrel. Juruterbang juga akan mengawal, mencari sasaran dan memandu dan terdapat persoalan mengenai bebanan terhadap juruterbang. Tetapi ianya dikatakan peranan juruterbang helikopter ini adalah sama seperti juruterbang pesawat pejuang dengan penugasan menerbangkan, mencari sasaran dan pulang. Bagi mengurangkan bebanan juruterbang, satu versi lagi dikeluarkan dengan 2 tempat duduk iaitu Ka-52 dan dikenali sebagai Hokum B 
Kamov Ka-52
Disebabkan kelajuan ia dikatakan sesuai untuk penugasan memburu helikopter pejuang yang lain tetapi setakat ini tiada pertempuran sedemikian berlaku. Ia mula beroperasi dalam operasi tentera Russia di Chechnya.

Kamov Ka-50

Sunday, 15 July 2012

Multicam - Evolusi Terbaru Corak Loreng


Corak Multicam
Multicam adalah singkatan daripada Multicamouflage merupakan corak loreng terkini dalam inventori Tentera Darat Amerika. Ia mula diperkenalkan pada tahun 2010 semasa operasi Amerika di Afghanistan dan mula digunakan oleh Pasukan Khas. Corak ini direka oleh syarikat Crye AssociatesCorak ini adalah untuk menggantikan corak Universal Camouflage Pattern (UCP) atau dikenali sebagai corak digital.
Corak yang sebati dengan persekitaran
Corak UCP (kiri) yang tidak sesuai dengan
keadaan persekitaran
Penggantian corak UCP ke Multicam adalah disebabkan warna UCP yang berwarna kelabu dan ia tidak memberikan penyamaran yang baik terutamanya di kawasan pergunungan Afghanistan. Sebaliknya multicam telah mendapat maklumbalas yang memberangsangkan semasa ujiannya. Corak yang digunakan adalah corak yang tidak sekata dalam pelbagai saiz atau yang mengelarkannya sebagai coffee stain pattern. Ianya mempunyai tujuh warna iaitu dimana setiap warna mampu memberikan penyamaran yang baik disetiap keadaan muka bumi dimana ia mengelirukan pandangan manusia. Sebagai contoh apabila pengguna berdiri di kawasan hutan, padang pasir atau pergunungan, maka warna pada loreng tersebut seakan-akan menyembunyikan dan sebati dengan keadaan sekeliling.

Multicam oleh tentera Russia
Sebagaimana yang kita tahu, apabila tentera Amerika mengeluarkan loreng digital, maka berlumba-lumba negara lain untuk menggunakan corak tersebut dan Malaysia juga tidak ketinggalan dimana ujian mengenai corak tersebut telah dilaksanakan. Apabila corak multicam digunakan dan memberikan keputusan yang diluar jangkaan, terdapat negara yang telah menggunakan corak dan warna yang seakan akan sama dengan corak ini. Sebagai contoh, tentera Australia telah menggunakan multicam untuk pasukan khas mereka dan berpuas hati dan memohon dengan pengeluar untuk mengeluarkan corak ini secara berlesen. Tentera British juga telah menggunakan corak seakan - akan multicam tapi dikenali sebagai Multi Terrain Pattern (TMP) bagi kegunaan di Afghanistan. Russia dan lain-lain negara juga ada menggunakan corak ini dan ia dipercayai akan menjadi ikutan negara lain. Ini jelas menunjukan Kementerian Pertahanan Amerika mengambil berat terhadap pandangan anggota mereka dan berusaha untuk membaiki kesilapan mereka. Ini berikatan dengan pemilihan corak UCP yang dikatakan sebagai kesilapan yang terbesar mereka.

Bagi saya, corak loreng Malaysia iaitu corak Harimau Belang juga tidak kurang hebatnya. Ini kerana bila digunakan dikawasan hutan ia mampu menyamarkan penggunanya dengan baik terutama sekali apabila pakaian tersebut dalam keadaan basah. Kelemahn corak Harimau Belang adalah semasa penggunaan di kawasan terbina dimana warnanya yang direka untuk hutan jelas nampak tetapi setakat ini ia adalah corak yang bagus.

  

Hell In A Very Small Place - The Siege of Dien Bien Phu

Untuk entry kali ini saya nak mengulas dan membincangkan mengenai sebuah buku yang berkaitan dengan peperangan di Vietnam. Ia adalah sebuah buku yang membincangkan mengenai salah satu daripada pertempuran yang berlaku di Vietnam dan ianya masih menjadi satu topik dalam kajian sejarah ketenteraan. Buku ini ditulis oleh Benard B. Fall, seorang pengkaji mengenai sejarah Indochina dan juga sebagai seorang wartawan semasa Perang Vietnam-Amerika. Dia meninggal pada umur 40 pada 1967 semasa mengikuti rondaan tentera Amerika. Buku ini diterbitkan oleh Da Capo Press dan ia setebal 515 muka surat dan terbahagi kepada 12 bab.

Buku ini menceritakan sejarah penglibatan Perancis di Vietnam. Ia juga menceritakan mengenai Dien Bien Phu seperti keadaan geografi sebelum tentera Perancis menduduki kawasan tersebut, bagaimana ia mendapat nama Dien Bien Phu. Sehingga kini, ramai pengkaji ketenteraan bahawa kawasan tersebut adalah tidak sesuai dari segi taktikal kerana kedudukan yang dikelilingi oleh gunung dan ia juga adalah seperti kawah dimana ia akan menjadi sasaran mudah untuk tembakan artileri dan mortar. Ia juga dikatakan kesilapan pencaturan Tentera  Perancis yang teruk kerana kekalahan Perancis di Dien Phu mengakibatkan pengunduran Perancis dari Indochina.  Ia juga merupakan operasi yang menggunakan pasukan payung terjun secara besar - besaran.

Dien Bien Phu dirancang untuk dijadikan sebagai Pangkalan Hadapan Tentera Perancis untuk memutuskan laluan bekalan bagi Viet Minh dari Laos (negara sekutu Perancis) dan pada masa yang sama juga adalah untuk menarik perhatian Viet Minh bagi terlibat dalam pertempuran yang besar dan sekaligus memusnahkan atau melumpuhkan mereka. Buku ini juga menceritakan bagaimana keyakinan yang melampau oleh Komander Perancis dan memandang rendah terhadap kemampuan Viet Minh. Ini dibuktikan mereka tidak membuat perkiraan yang betul mengenai keperluan untuk stor pertahanan seperti kayu, kawat duri, zink dan sebagainya semasa peringkat perancangan. Selain itu juga, kawasan pertahanan mereka tidak disamarkan dengan sempurna seperti penempatan artileri dan mortar yang dibiarkan terdedah, antena radio yang tidak disamarkan, rutin harian tentera seperti pertukaran pengawal, keluar masuk ronda yang rutin tanpa sebarang perubahan telah diambil kira oleh Viet Minh. Penulis juga telah menulis mengenai pandangan kedua-dua belah pihak sama ada dari segi perancangan, pengalaman semasa pertempuran dan juga secebis sifat kemanusiaan walaupun peperangan sedang berlangsung.

Dalam buku ini juga menyatakan bahawa Amerika Syarikat sebenarnya telah memantau pertempuran ini dengan menghantar pesawat pengintip dan pada masa yang sama Perancis memohon untuk mendapatkan pesawat pengebom B-29 bagi mengebom laluan logistik dan kedudukan Viet Minh tetapi gagal kerana Amerika masih terlibat dengan pertempuran di Semenanjung Korea.

Rumusan yang boleh dibuat, buku ini merupakan sebuah bacaan yang hebat dimana ia melihatkan bagaimana taktik kedua belah pihak dan pada masa yang sama kita melihat bagaimana perbezaan strategi antara Perancis dan British menangani isu Komunisme di negara jajahan mereka.  

Thursday, 7 June 2012

RPZ CONDOR 'THE OLD FAITHFUL WORKHORSE'


Kenderaan V-150 Commando
RPZ Condor atau nama penuhnya Radpanzer Condor 4x4 APC atau lebih dikenali dikalangan krew sebagai Condor merupakan kenderaan berperisai yang digunakan dalam perkhidmatan TDM. Kenderaan ini dikeluarkan oleh syarikat Thyssen Henschel, Jerman Barat. Ia digunakan oleh Kor Armor Diraja dan juga pasukan Infantri Mekanize. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dalam Jane's Tanks and Combat Vehicles Recognition Guide, kenderaan Condor mula digunakan pada 1981 oleh Kor Armor Diraja dan seterusnya pasukan Infantri Mekanize bagi menggantikan kenderaan Cadilac Cage V-150 Commando. 

 
Condor APC dalam warna PBB
Condor merupakan kenderaan pengangkut anggota (APC) yang mana ia berperanan untuk membawa anggota ke medan tempur atau juga dikenali sebagai battle taxi.  Selain daripada mengangkut anggota ke medan pertempuran, ia juga berperanan untuk memberikan bantuan tembakan semasa serangan dilaksanakan, pengiring konvoi atau sebagai kenderaan peninjau. Terdapat 5 versi kenderaan Condor dalam TD iaitu kenderaan pengangkut anggota (APC), kenderaan pengangkut mortar (AMC), kenderaan pemerintah (ACV), kenderaan ambulan (AMB), kenderaan anti kereta kebal (AKK) dan juga kenderaan pembaikan (AVF). Manakala bagi sistem persenjataan pula, kenderaan APC dilengkapi dengan turet jenis TH-1 yang diperlengkapkan dengan senjata twin GPMG (General Purpose Machine Gun) dan 1 laras GPMG sebagai senjata Rear Gunner. Manakala bagi kenderaan anti kereta kebal ia dilengkapi turet dengan persenjataan selaras 20 mm Oerlinkon sebagai senjata anti armor dan GPMG sepaksi. Manakala bagi lain-lain versi, ia hanya dilengkapi dengan selaras GPMG pada kupola. Perisainya pula adalah dari jenis armoured steel yang mampu memberi perlindungan daripada peluru 7.62mm. Condor mempunyai berat kosong 9 tan dan berat tempur 12.4 tan. Kenderaan ini mampu berenang dengan kelajuan dalam air + 10 km/j. Ia mampu membawa 10 trup dan 2 krew. Ia juga menggunakan sistem transmisi 8 kelajuan secara manual.  
Berdasarkan kepada tahun pembelian Condor pada tahun 1981, usia kenderaan tersebut telah mencecah 30 tahun dan ianya tentunya tidak mampu memberikan perkhidmatan sebagaimana semasa ia mula dibeli kerana sepanjang tempoh tersebut, ia telah digunakan secara lasak. Selain itu, sistem persenjataan pada kenderaan tersebut iaitu GPMG 7.62 mm boleh dikatakan tidak sesuai untuk digunakan bagi peperangan pada masa kini memandangkan sistem armor yang terdapat kenderaan perisai sekarang mampu menahan peluru yang berkaliber lebih daripada 12.7 mm. Selain itu juga kita perlu melihat ancaman semasa pembelian kenderaan ini adalah sewaktu negara menentang insurgensi dan penggunaan senjata pada kenderaan tersebut adalah dianggap sesuai dengan ancaman pada ketika itu. Selain daripada itu, sistem kawalan pada turret menggunakan kawalan secara manual dan ini mengurangkan kadar tindak balas krew terhadap ancaman berbanding menggunakan kawalan secara automatik.

Walau terdapat kekurangan pada kenderaan ini, ia tidak menjejaskan kemampuan pasukan TDM sebagaimana yang ditunjukan dalam pertempuran Pasar Bakara, Somalia dimana Condor telah diarahkan untuk melaksanakan operasi menyelamat anggota US Ranger yang terkepung semasa melaksanakan penugasan mencari Jeneral Farah Aidid. Dalam pertempuran tersebut sebuah Condor telah ditembak oleh militia Somalia menggunakan RPG dimana ia telah menembusi cermin hadapan crew compartment  dan telah mengorbankan  Kpl Aznam. Selain daripada itu, kenderaan ini dapat diaturgerakan dengan pantas ke mana sahaja kerana ia menggunakan roda berbanding runut yang perlu diangkut menggunakan kenderaan loader. Selain itu, ia juga senyap dan menurut 'orang - orang lama' dalam satu latihan, kenderaan ini mampu merapati kawasan musuh tanpa disedari kerana ianya senyap.

Masanya telah sesuai untuk TD menggantikan Condor dengan kenderaan baru. Ia bagi memastikan peranan armor dan mekanize mampu digunakan sepenuhnya kelak.

Tuesday, 8 May 2012

ISU PEMBELIAN PERALATAN PERTAHANAN DAN POLITIK

Isu hangat suatu masa dahulu - Pembelian Kapal Selam
Kebelakangan ini terdapat banyak rungutan dan juga berita serta komen-komen mengenai pembelian peralatan pertahanan yang dilaksanakan oleh ATM. Pembelian ini banyak melibatkan komen yang berbaur politik dan dijadikan sebagai modal oleh sesetengah ahli politik sebagai bahan kempen mereka.

Cuma kebelakangan ini isu pembelian peralatan pertahanan menjadi tumpuan ahli-ahli politik dimana berbagai-bagai fakta diberikan terutamanya berkaitan dengan isu harga. Antara peralatan pertahanan yang menjadi tumpuan politik adalah isu pembelian kapal selam scorpene, pesawat Airbus A-400, Sukhoi dan yang terbaru sekali pembelian kenderaan perisai AV-8. Keadaan ini sebenarnya pada pendapat saya adalah seperti membuka rahsia kita kepada orang lain kerana kita seolah-olah mempertikaikan setiap pembelian peralatan ketenteraan. Apa yang sering diperkatakan adalah mengenai harga setiap aset yang dibeli yang mana ia dikatakan adalah berlipat kali ganda dan terdapat unsur - unsur rasuah yang berlaku semasa pembelian atau semasa tender dibuka. Bab itu saya tidak dapat memberikan komen secara lanjut kerana ianya diluar bidang kuasa saya. Apa yang saya ingin terangkan adalah mengenai pemikiran sesetengah ahli politik yang tidak tahu atau mahir mengenai sesuatu aset dari segi teknikal, taktikal dan juga strategik tetapi memberikan komen seolah-olah mereka adalah orang yang pakar dalam hal tersebut. Ini kerana mereka akan memberikan komen seperti ini " buat apa beli kereta kebal, kita bukan nak berperang esok lusa" dan sebagainya. Mereka juga seolah - olah menafikan keperluan pertahanan yang mana memerlukan persediaan dari segi latihan, penyesuaian dan juga taktik serta doktrin yang baru apabila sesuatu peralatan sampai dan bukannya apabila kita diserang baru hendak mencari peralatan.

Selain daripada itu, mereka juga perlu membaca atau mengkaji sejarah sesuatu pertempuran dan daripada hsil kajian tersebutlah mereka akan dapat mengetahui kenapa sesuatu peralatan diperlukan. Sebagai contoh apabila TLDM membeli Scorpene pelbagai lontaran negatif diberikan danada yang mengatakan bahawa pembaziran telah dibuat. Jadi suka saya untuk membawa ke zaman Perang Dunia Kedua dimana kapal selam Jerman atau U Boat telah menjadi senjata yang mampu menggugat dan hampir - hampir menyebabkan England kalah. Selain itu semasa Perang Falkland, apabila British menghantar kapal selamnya dan berjaya menenggelamkan kapal perang Argentina iaitu Belgrano, ia seolah-olah mengubah senario pertempuran laut antara Argentina dan British disamping itu menyebabkan bekalan logistik Argentina gagal dihantar ke trup - trup mereka di Kepulauan Falkland walhal jarak mereka adalah dekat.

Keperluan peralatan pertahanan bukan sesuatu isu yang boleh dipermain-mainkan. Ianya perlu dipersiapkan kepada setiap cabang perkhidmatan ATM bagi memastikan tugas mempertahankan negara dapat dilakukan dengan baik dan berkesan. Saya pasti kenapa ahli politik mempertikaikan pembelian peralatan pertahanan sebagaimana isu penggantian NURI adalah kerana tiada saudara mereka yang berkhidmatan atau terlibat dalam kemalangan yang melibatkan helikopter tersebut. Sekiranya ada pasti nada mereka berubah.

Tidak semua ahli politik berfikiran demikian. Ada yang mengambil berat mengenai pertahanan negara. Kalau dilihat pembelian persenjataan oleh negara jiran tidak dijadikan sebagai satu isu politik kerana mereka mengetahui tujuan dan kepentingan pembelian tersebut. jadi ahli politik, fikirlah apa yang anda mampu buat sebelum negara diheret ke medan peerang kerana pemikiran yang tidak membantu pertahanan negara.

  

Sunday, 6 May 2012

Antara M4, Steyr dan M16, Mana Satu Yang Paling Best

(Artikel ini dibuat adalah berdasarkan kepada penilaian penulis sendiri dan tidak melibatkan mana pengaruh dari parti politik atau orang perseorangan. Jadi bacalah dengan senang dan tenang)

ATM terutamanya Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menggunakan beberapa jenis senjata tempur sehingga kini. Artikel mengenai senjata yang digunakan oleh TDM juga ada menerangkan mengenai perkara ini. Sebelum menggunakan M-4 ini, TDM telah menggunakan senjata tempur yang pendek dan dari jenis Bullpup iaitu Steyr AUG A1 dan sebelumnya menggunakan M-16 A1. Saya pernah menggunakan ketiga-tiga jenis senjata ini dan setiap senjata ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Senjata M-16 ini digunakan oleh TDM semasa era menentang pengganas komunis dan ia  digunakan sehingga tahun 2000. Senjata ini senang untuk digunakan dan ianya juga adalah lasak. Ia dibuat daripada plastik dan juga besi. Ia mempunyai panjang 986mm dan berat 2.9 kg. Apa yang dimaksudkan dengan lasak senjata ini adalah ia mampu menahan penggunaan yang melampau seperti dijadikan kayu tongkat semasa menaiki bukit (cara yang salah tapi itu je bantuan yang ada), membuka laluan dikawasan semak. Ia juga senang digunakan semasa latihan pertempuran menggunakan benet kerana panjang senjata tersebut yang sesuai digunakan semasa pertempuran benet.

Steyr AUG A1 in standard rifle configuration (military green colour)Manakala Steyr AUG digunakan oleh TDM dipenghujung tahun 1990-an. Ia digunakan oleh TDM untuk menggantikan senjata M-16. Ia dikatakan dipilih kerana panjang senjata ini yang pendek sedikit daripada iaitu 805 mm tetapi ianya mempunyai berat yang lebih sedikit daripada M-16 iaitu 3.8 kg. Senjata ini dibuat daripada plastik polimer dan juga besi. Rekabentuknya juga amat futurisik dimana semasa mula melihatnya ia seakan-akan senjata dari angkasa lepas. Ini kerana senjata ini mempunyai tangkai pemegang yang dilengkapi dengan pajera berkekuatan 1.5 x pembesaran dan juga senjata ini menggunakan rekabentuk bullpup dimana kelopak peluru akan diisikan dibelakang. Namun senjata ini mempunyai kelemahannya tersendiri iaitu gas regulator dan penutup but senjata yang senang tercabut apabila ianya  tidak dipasang dengan betul selepas mencuci senjata dan ianya bukan mudah untuk dicari kerana saiznya yang kecil. Selain daripada itu, sekiranya menembak dengan jumlah peluru yang banyak, ia akan menyebabkan rasa tidak selesa untuk menembak kerana ia tidak mempunyai mengadang laras sebagaimana senjata M-4 yang boleh menghalang rasa panas laras senjata.    

Tentera Austria dan Senjata Steyr

Colt M4 carbine, current issue model with removable carrying handle, right sideSenjata M-4 adalah merupakan senjata yang dikatakan dicipta hasil daripada evolusi senjata M-6 tetapi ia mempunyai panjang dan berat yang berlainan daripada M-16. Ia mempunyai panjang 840 mm dengan udi dibuka dan berat 2.5 kg. Apa yang membezakan M-4 dengan M-16 adalah senjata ini mempunyai udi yang boleh tarik dan juga pemegang yang boleh dicabut dan dipasang dengan lain-lain aksesori pada landasan picanity seperti ACOG atau Red Dot. Jarak berkesan senjata ini adalah sejauh 360 mm kerana larasnya yang pendek. Pada dasarnya senjata ini sesuai untuk digunakan untuk pertempuran jarak dekat (CQB). Setakat ini tiada masalah yang boleh dihubungkan dengan senjata.

Jadi pada dasarnya semua senjata ini mempunyai sifat-sifat tersendiri. Saya suka menggunakan M-16 kerana kelasakannya manakala saya juga suka menggunakan Steyr kerana rekabentuknya manakala M-4 kerana ianya ringan. Pendek kata semua senjata saya suka tetapi yang paling saya suka adalah  M-16 komando. 

Thursday, 26 April 2012

KERAHAN TENAGA: PERLU ATAU TIDAK UNTUK ATM

Kerahan tenaga atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai conscription/national service adalah perkataan yang biasa didengar di Malaysia tetapi tidak pernah dilaksanakan. Malaysia pada dasarnya tidak pernah mengamalkan kerahan tenaga bagi mendapatkan sumber tenaga untuk menampung keperluan dalam mempertahankan negara.


Kerahan tenaga dipercayai telah lama dilaksanakan terutamanya bagi negara yang menjadi kuasa besar dan memiliki empayar yang luas pada zaman kegemilangan mereka. Kerahan tenaga dilaksanakan bagi mendapatkan keperluan keanggotaan tentera yang cepat dan mudah. Walau bagaimanapun kerahan tenaga kurang dilaksanakan pada masa sekarang di sesetengah negara terutamanya di benua Eropah kerana atas faktor keperluan tentera mereka yang lebih berkehendakan tenaga kerja profesional sepenuh masa.


Kerahan melibatkan remaja
Kerahan tenaga pada kebiasaanya diwajibkan ke atas remaja lelaki yang berumur 18 tahun pada tahun tersebut. Terdapat juga negara yang mewajibkan kerahan tenaga kepada remaja berumur 17 tahun. Pemilihan dan tapisan akan dilakukan terlebih dahulu kepada sebahagian kumpulan yang bakal diberikan pengecualian untuk menjalani kerahan tenaga seperti mereka yang sakit, kumpulan yang menganut agama yang mencegah keganasan dan sebagainya. Bagi mereka yang layak, akan menjalani latihan asa ketenteraan dan berkhidmat secara wajib untuk tempoh 2 tahun dalam pasukan kerahan. Selepas menamatkan perkhidmatan kerahan, mereka akan berkhidmat dalam pasukan simpanan sehingga mencapai umur yang ditetapkan. Namun Israel mengamalkan konsep kerahan tenaga tidak mengira jantina dimana ianya diwajibkan kepada remaja lelaki dan juga perempuan. Keperluan ini berdasarkan kepada ancaman yang dihadapi oleh negara haram tersebut.


Kerahan Tentera Israel melibatkan lelaki dan perempuan
Kerahan tenaga mempunyai kebaikan serta keburukannya. Kebaikan kerahan tenaga adalah semua remaja lelaki yang layak akan diberikan latihan ketenteraan dan ianya bermakna sekiranya berlaku sesuatu konflik mereka berupaya untuk mempertahankan negara kerana mereka telah mendapat latihan asas ketenteraan meliputi taktik, senjata dan kawad. Kerahan tenaga juga akan menambahkan rasa patriotik dikalangan mereka. Ia juga dapat meningkatkan rasa jati diri, setia kawan dan juga rasa tanggungjawab. Kerahan tenaga juga dapat menyediakan pasukan siap siaga yang boleh diaturgerakan dalam masa yang singkat.

Namun terdapat juga kelemahan dalam kerahan tenaga yang dilaksanakan oleh sesetengah negara. Terdapat rungutan dikalangan yang melaksanakan kerahan, mereka akan kehilangan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang berprofil tinggi terutamanya dari syarikat dan juga pelabur antarabangsa kerana kebanyakan daripada syarikat tersebut enggan mengalami kerugian kerana mereka yang menjalani kerahan tenaga  akan kehilangan atau kerugian kerana perlu membayar gaji kepada pekerja mereka yang tidak hadir berkerja. Luahan ini pernah dinyatakan dalam internet oleh remaja dari negara jiran kita. Selain itu, terdapat anggota yang sedang menjalani latihan kerahan cenderung untuk melakukan kesalahan disiplin terutamanya dari negara ketiga. Ini kerana mereka tidak melaksanakan secara sukarela dan akan melakukan sesuatu untuk mereka disingkirkan. Selain itu, terdapat juga negara yang melaksanakan latihan kerahan tenaga tidak mencapai piawaian yang sepatutnya dan ianya berlaku apabila sesuatu konflik berlangsung. Sebagai contoh semasa Peperangan Falkland, salah satu punca kekalahan Argentina adalah disebabkan sebahagian besar angkatan tentera mereka terutamanya dikalangan anggota kerahan. Tahap profesionalisme mereka dipersoalkan kerana mereka hanya menjalani latihan yang singkat untuk menampung keperluan di medan tempur dan kebanyakan mereka cenderung untuk mengalah semasa awal pertempuran.  

Angkatan Tentera Malaysia tidak pernah melaksanakan kerahan tenaga walaupun terlibat dalam dua kali darurat dan juga konfrantasi. Ini kerana tida masalah untuk mendapatkan rekrut pada ketika itu. Disamping itu juga, negara-negara Komanwel juga menghantar tentera mereka kerana Malaysia pada ketika merupakan negara yang baru pulih dari Perang Dunia Kedua dan mempunyai bilangan unit yang kecil dan sedang dibangunkan. Kerahan tenaga akan memerlukan perbelanjaan yang besar dari segi penyediaan penginapan, pembayaran elaun, serta makanan dan minum kerana bilangan untuk anggota kerahan adalah tidak mengikut kuota sebagaimana pengambilan rekrut yang berdasarkan kekosongan perjawatan di unit-unit. Selain daripada itu juga, Malaysia tidak mempunyai masalah dengan negara jiran dan bilangan anggota pasukan tetap dan simpanan sentiasa siap sedia mempertahankan negara. Walau bagaimanapun, kerahan tenaga dirasakan mampu untuk mendisiplinkan remaja Malaysia dan mempersiapkan diri untuk mempertahankan negara. Saya serahkan kepada pembaca untuk memberikan jawapan mengenai perlu atau tidak kerahan tenaga di Malaysia.  

Saturday, 28 January 2012

Tentera Upahan - Penjenayah atau Penyelamat

Blackwater di Iraq




Suatu masa semasa Amerika menceroboh Iraq, satu imej yang menunjukkan mayat yang hangus terbakar digantung di percayai seorang tentera upahan yang berada di Iraq. Semasa di Iraq, khidmat tentera upahan digunakan untuk melindungi konvoi bekalan dan juga melindungi orang kenamaan. Ini jelas menunjukan bahawa terdapat keperluan untuk menggunakan khidmat tentera upahan walaupun operasi ketenteraan sedang berlangsung.
Tentera upahan atau nama lain seperti Private Military Contractor (PMC), Mercenaries, Dog of war telah wujud dari zaman dahulu kala dimana ia diperlukan untuk melindungi kepentingan sesuatu empayar dan jajahan daripada ancaman dan pada masa yang sama menampung kekurangan tentera empayar tersebut. Walau bagaimanapun, kesetiaan tentera adalah amat diragui. Ini adalah kerana mereka akan melaksanakan tugasan atau misi mereka berdasarkan sejumlah bayaran yang telah ditetapkan. Apabila ada pihak yang menawarkan bayaran yang lebih tinggi, tentera upahan akan melaksanakan penugasan yang mempunyai upah tertinggi walaupun mereka perlu membelot atau mengkhianati majikan asal.

Anggota Executive Outcomes

Pada dunia ketenteraan sekarang, kebanyakan tentera upahan merupakan bekas - bekas anggota pasukan khas dan juga bekas tentera yang mempunyai kepakaran khas seperti juruterbang. Ini kerana mereka mampu mempunyai pesawat pejuang, helikopter bahkan kereta perisai atau kereta kebal sendiri. Syarikat tentera upahan juga tidak menumpukan sepenuhnya perkhidmatan mereka kepada bidang keselamatan dan ketenteraan. Seperti syarikat Executive Outcomes dari Afrika Selatan menetapkan syarat kepada pelanggan mereka bahawa mereka akan membantu menamatkan konflik dengan mengambil sebahagian daripada hasil perlombongan. Ini kerana mereka membayar pendapatan anggota mereka 2 atau 3 kali ganda daripada bayaran kerajaan.

Tentera upahan kebanyakan tidak disukai oleh penduduk tempatan kerana mereka bertindak di luar batasan seperti keganasan terhadap tahanan, pembunuhan orang awam, dan pelbagai lagi. Ini menyebabkan mereka akan kerap menjadi sasaran oleh gerila tempatan seperti yang terjadi di Iraq. Kebanyakan tentera upahan berani melakukan keganasan terhadap penduduk tempatan adalah kerana mereka tidak terikat kepada undang-undang peperangan sebagaimana pasukan tentera biasa. Walaupun ia merupakan pekerjaan yang amat berbahaya, masih ramai anggota pasukan khas yang memohon untuk menjadi tentera upahan kerana bayarannya yang amat tinggi. Pada pendapat saya wang dan aksi atau peperangan tersebut menjadi faktor mengapa tentera upahan berjaya menarik ramai anggota pasukan khas. 

Tuesday, 24 January 2012

Kartun dan Tentera

Sebelum ICT berkembang sebagaimana sekarang, kartun dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan maklumat, meluahkan perasaan, alat bantuan mengajar, iklan untuk merekrut dan sebagainya.

Semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua, bagi menarik minat anak muda untuk menganggotai pasukan tentera, poster yang berbentuk kartun dijadikan sebagai medium pengiklanan. Ini kerana ia adalah antara cara yang meluas dan mudah pada ketika itu. Selain daripada digunakan untuk menarik minat anak muda mengaanggotai tentera, poster yang mempunyai karekter kartun dijadikan sebagai propaganda oleh semua pihak. Gambar di bawah menunjukkan poster yang mengandungi kartun sebagai propaganda pihak yang sedang berperang. 



Selain daripada menjadi alat propaganda, kartun juga dijadikan sebagai cara untuk meluahkan perasaan mereka secara sinikal tanpa menyakiti atau menyinggung perasaan pihak lain secara langsung. Di Malaysia, anggota tentera dapat mencurahkan bakat mereka dalam melukis kartun di ruangan SENYUM SKOT yang diterbitkan oleh Majalah GILA GILA. Ruangan ini dikendalikan oleh Allahyarham Pak Rejabhad. Dalam ruangan ini dipaparkan secara lukisan kartun bagaimana hidup seorang anggota tentera dan dunia mereka. Secara tidak langsung ia mempromosikan tentera kepada pembaca awam.
Kartun juga dijadikan sebagai alat bantuan mengajar terutamanya dalam phamplet. Sebagai contoh tentera Amerika menggunakan kartun untuk mengajar tentang manual menggunakan senjata M-16, taktik dan cara mengendalikan pesawat F 104 Starfighter dan banyak lagi. Mengapa kartun digunakan? Ia digunakan kerana ia tidak memerlukan masa yang panjang untuk faham berbanding membaca. Ia akan memudahkan anggota untuk memahami sesuatu perkara.

Saturday, 14 January 2012

Pesawat Tempur Yang 'Evergreen'

 Tajuk kali ini lebih kepada pesawat-pesawat pejuang yang evergreen terutamanya pada masa saya membesar. Pesawat ini direka pada abad ke-21 dimana rekabentuknya boleh dikatakan menarik dan keupayaan tempurnya adalah baik walaupun pada zaman sekarang ianya dianggap 'tua'.

Pesawat tempur yang saya rasa still evergreen ialah F-4 Phantom II. Ia terkenal semasa Perang Vietnam. Mula diperkenalkan pada tahun 1960 dan mempunyai kelajuan 2.2 Mach dan mempunyai 2 tempat duduk dan 2 enjin. Rekabentuk sayap dan kedudukan enjinnya yang lain daripada lain menyebabkan ia menjadi unik. Rekabentuk pesawat yang awal tiada dibekalkan dengan senjata meriam (cannon) untuk pertempuran jarak dekat dan bergantung kepada peluru berpandu sahaja. Versi yang kemudiannya dibekalkan dengan gun pod dan juga meriam kerana Perang Vietnam membuktikan ianya masih diperlukan. Ia juga mendapat gelaran Double Ugly kerana asap yang dihasilkan hitam semasa penerbangannya.

Phantom dan Persenjataanya
Pesawat seterusnya adalah F104 Starfighter. Pesawat ini pesawat satu tempat duduk dan satu enjin dan ianya mempunyai rekabentuk yang pelik kerana bentuk fiuslaj yang tirus seperti pensil dan sayap yang pendek. Ia mempunyai kelajuan supersonik. Persenjataan pesawat ini meriam Gatling Gun yang mempunyai 6 laras dan peluru berpandu. Ia digunakan dalam pertempuran udara semasa Perang Vietnam, Konflik India-Pakistan dan juga semasa Konflik China - Taiwan. Ia mendapat jolokan widow maker kerana ramai juruterbang yang terbunuh semasa mengendalikan pesawat ini. Ini kerana faktor rekabentuknya menyebabkan ia sukar dikawal terutamanya semasa kelajuan rendah. Walaubagaimanapun ia adalah antara pesawat yang banyak memecahkan rekod penerbangan.  



A4 Skyhawk TDM
Pesawat seterusnya adalah pesawat yang pernah berkhidmat dengan TUDM sekitar tahun 1980-an sehingga 1990-an. Perkhidmatannya penuh dengan kontroversi. A-4 Skyhawk PTM adalah versi pesawat yang dibeli sebanyak 88 buah dibawah Program PERISTA. Ia merupakan pesawat serangan darat penyerang-pengebom. Ia mempunyai kelajuan subsonik dengan kelajuan + 950 km/j. Ia mempunyai sayap berbentuk delta dan mempunyai satu tempat duduk dan satu enjin. Di Malaysia ia digunakan dalam tempoh yang singkat kerana banyak pesawat ini terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan kerugian keatas TUDM dan ATM kerana kehilangan juruterbang yang mahir. Mempunyai 6 hardpoint membawa tangki minyak tambahan, bom dan roket. Ia juga mempunyai 2 x meriam 30 mm. Tugas akhir A 4 Skyhawak dalam TUDM adalah sebagai pesawat pengisian minyak.