Sunday, 14 August 2011

IED - Ancaman Tersembunyi

Kesan kerosakan akibat IED
 IED atau Improvised Explosive Devices atau dalam bahasa Malaysia adalah Alat Letupan buatan sendiri yang tidak boleh dipandang ringan dalam sebarang operasi ketenteraan. Ia telah menjadi sebagai suatu senjata yang efisien  pasca pencerobohan Amerika ke atas Iraq. Semasa di Iraq, ia telah digunakan oleh pejuang-pejuang di sana untuk memusnahkan konvoi atau membunuh tentera yang sedang melaksanakan operasi mereka. Kini IED telah merebak penggunaannya sehingga ke Afghanistan dan juga Thailand. IED akan menyebabkan kemerosotan moral ke atas tentera yang pernah terlibat atau yang mengalami ancamannya. Ia juga menyebabkan ramai anggota tentera penceroboh terkorban akibat letupan IED. IED juga dikatakan menyebabkan ramai anggota tentera Amerika enggan berkhidmat di Ira atau Afghanistan kerana risau tentang nasib dan juga keselamatan mereka kerana IED ini tidak dapat dikesan kehadirannya.

Bahan yang digunakan untuk IED

Kesan letupan IED
 Kebanyakkan IED menggunakan teknologi yang rendah dan tidak memerlukan sebarang peralatan atau teknologi yang terlampau moden. Berdasarkan kepada laporan selepas pertempuran oleh tentera penceroboh, IED yang digunakan dibuat daripada peluru artileri,atau mortar, bateri, telefon bimbit dan juga TNT. Walaupun ia menggunakan teknologi rendah tetapi ia mempunyai kesan letupan yang mampu meruntuhkan bangunan atau melumpuhkan kereta kebal atau kereta perisai.

 Kebimbangan terhadap ancaman IED telah menyebabkan pelbagai teknik dan taktik serta teknologi telah dicipta untuk mengurangkan kesan atau membuat pengesanan awal terhadap ancaman IED. Begitu serius ancaman IED terhadap tentera Amerika di Iraq, Setiausaha Pertahanan pada ketika itu, Donal Rumsfeld telah dikritik hebat semasa lawatan beliau ke Iraq kerana kenderaan Humvee yang digunakan tidak dapat menangkis serangan IED. Berlanjutan dari kritikan tersebut, kenderaan MRAP (Mine Resistance Ambush Protected) telah dicipta untuk mengurangkan kerosakan serta kecederaan terhadap anggota apabila ia terkena IED ataupun periuk api.  

 Selain daripada kenderaan MRAP, alat pengesan IED juga telah dicipta dan masih diuji yang mana ia dapat mengesan IED melalui teknologi radar dan juga pengesanan bahan letupan dan juga bahan logam. Ada juga peralatan yang menggunakan arus elektrik yang dialirkan ke atas permukaan tanah dimana ia akan melumpuhkan atau memusnahkan IED yang berada dalam jarak selamat mereka.

 Jadi IED ini tidak boleh dipandang mudah oleh TD dan juga ATM. Ini kerana ia mampu mengoyahkan keyakinan anggota tetpi jika kita mampu mempelajarinya, ia boleh digunakan oleh pasukan TD untuk memusnahkan musuh yang bakal menceroboh negara kita. Jadi doktrin yang sewajarnya perlu dirangka bagi mengatasi ancaman IED ini.    

Thursday, 4 August 2011

Tentera Marin untuk ATM

Apa Itu Tentera Marin

 Tentera Marin boleh didefinasikan sebagai Infantri kepada Tentera Laut. Berdasarkan kepada sejarah, semasa empayar Eropah pada suatu ketika berlumba-lumba membesarkan empayar jajahan mereka dengan menjalankan penerokaan tempat dan kawasan baru menyebabkan mereka mengaturgerakan kapal-kapal tentera laut mereka bagi mencari jajahan baru. Di atas keperluan tersebut, tentera marin diperlukan atau ditubuhkan untuk mengawal keselamatan kapal-kapal daripada berlakunya dahagi oleh anak-anak kapal. Selain daripada itu, tentera marin diperlukan untuk melaksanakan serangan ke atas kapal musuh semasa berlakunya pertempuran antara kapal. Ia juga bertindak untuk melaksanakan serangan ke kawasan pantai. Jika diperhatikan berdasarkan hubungan tentera marin dan sejarah, maka kita akan dapati bahawa kebanyakan negara yang pernah memiliki tanah jajahan yang luas mereka secara amnya akan memiliki tentera marin dan ianya masih diteruskan sehingga sekarang. Tentera marin biasanya akan diletakan di bawah pemerintahan Tentera Laut kecuali Tentera Marin Perancis yang diletakan di bawah pemerintahan Tentera Darat.

Marin Amerika semasa serangan di Iwo Jima
 Bersesuaian dengan penugasan tentera marin di abad sekarang, penugasan tentera marin tidak kurangnya pentingnya. Bagi penugasan tentera marin sekarang adalah sama seperti tentera marin pada zaman dahulu kerana pada amnya tentera marin adalah satu pasukan yang mahir di dalam peperangan amfibia. Tentera marin pada masa sekarang adalah diperlukan untuk melaksanakan serangan ke atas kedudukan musuh di kawasan pantai atau lebih tepat mereka akan membuka laluan untuk pasukan yang lain untuk meneruskan operasi ke dalam kawasan musuh ataupun sebagai pasukan ekspedisi (expedition force). Selain itu, pasukan marin juga pada masa sekarang adalah menjaga keselamatan kapal-kapal perang terutama kapal pengangkut pesawat sepertimana yang dilaksanakan oleh tentera marin Amerika Syarikat.

 Jika diperhatikan, penugasan tentera marin adalah sama seperti penugasan tentera darat dimana kelengkapan dan juga organisasi/kor adalah sama. Ini bermakna mereka akan mempunyai pasukan infantri, semboyan, artileri, armor dan juga bantuan khidmat seperti logistik dan jurutera, cawangan udara dan sebagainya.

Tentera Marin untuk ATM

 Jika diperhatikan, kebanyakkan negara di Asia Tenggara mempunyai tentera marin seperti Indonesia, Filipina dan Thailand. Bagi negara Thailand dan Filipina adalah sebuah negara yang mempunyai banyak pulau-pulau dan tentera marin adalah bersesuaian untuk melaksanakan tugas menjaga kawasan litoral. Bagi Malaysia pula, setakat ini tiada keperluan untuk mewujudkan tentera marin. Ini adalah kerana berdasarkan kepada bentuk geogarafi muka bumi Malaysia yang tidak mempunyai banyak pulau dan ianya masih mampu dipertanggungjawabkan kepada TLDM, TUDM dan lain-lain agensi keselamatan untuk memantau keselamatan kawasan perairan Malaysia. Selain itu, kos untuk menubuhkan tentera marin adalah tinggi kerana ia melibatkan penubuhan yang sama dengan menubuhkan satu pasukan Tentera Darat yang mana ia perlu menubuhkan infantri, artileri dan sebagainya. Ia akan melibatkan keperluan logistik yang tinggi dimana ia akan melibatkan mewujudkan organisasi yang baru, persenjataan dan juga pusat latihan untuk latihan mereka yang tersendiri bersesuaian dengan peranan mereka yang lebih kepada peperangan amfibia. 

Kenderaan Armor Amfibia Tentera Marin