Thursday, 7 June 2012

RPZ CONDOR 'THE OLD FAITHFUL WORKHORSE'


Kenderaan V-150 Commando
RPZ Condor atau nama penuhnya Radpanzer Condor 4x4 APC atau lebih dikenali dikalangan krew sebagai Condor merupakan kenderaan berperisai yang digunakan dalam perkhidmatan TDM. Kenderaan ini dikeluarkan oleh syarikat Thyssen Henschel, Jerman Barat. Ia digunakan oleh Kor Armor Diraja dan juga pasukan Infantri Mekanize. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dalam Jane's Tanks and Combat Vehicles Recognition Guide, kenderaan Condor mula digunakan pada 1981 oleh Kor Armor Diraja dan seterusnya pasukan Infantri Mekanize bagi menggantikan kenderaan Cadilac Cage V-150 Commando. 

 
Condor APC dalam warna PBB
Condor merupakan kenderaan pengangkut anggota (APC) yang mana ia berperanan untuk membawa anggota ke medan tempur atau juga dikenali sebagai battle taxi.  Selain daripada mengangkut anggota ke medan pertempuran, ia juga berperanan untuk memberikan bantuan tembakan semasa serangan dilaksanakan, pengiring konvoi atau sebagai kenderaan peninjau. Terdapat 5 versi kenderaan Condor dalam TD iaitu kenderaan pengangkut anggota (APC), kenderaan pengangkut mortar (AMC), kenderaan pemerintah (ACV), kenderaan ambulan (AMB), kenderaan anti kereta kebal (AKK) dan juga kenderaan pembaikan (AVF). Manakala bagi sistem persenjataan pula, kenderaan APC dilengkapi dengan turet jenis TH-1 yang diperlengkapkan dengan senjata twin GPMG (General Purpose Machine Gun) dan 1 laras GPMG sebagai senjata Rear Gunner. Manakala bagi kenderaan anti kereta kebal ia dilengkapi turet dengan persenjataan selaras 20 mm Oerlinkon sebagai senjata anti armor dan GPMG sepaksi. Manakala bagi lain-lain versi, ia hanya dilengkapi dengan selaras GPMG pada kupola. Perisainya pula adalah dari jenis armoured steel yang mampu memberi perlindungan daripada peluru 7.62mm. Condor mempunyai berat kosong 9 tan dan berat tempur 12.4 tan. Kenderaan ini mampu berenang dengan kelajuan dalam air + 10 km/j. Ia mampu membawa 10 trup dan 2 krew. Ia juga menggunakan sistem transmisi 8 kelajuan secara manual.  
Berdasarkan kepada tahun pembelian Condor pada tahun 1981, usia kenderaan tersebut telah mencecah 30 tahun dan ianya tentunya tidak mampu memberikan perkhidmatan sebagaimana semasa ia mula dibeli kerana sepanjang tempoh tersebut, ia telah digunakan secara lasak. Selain itu, sistem persenjataan pada kenderaan tersebut iaitu GPMG 7.62 mm boleh dikatakan tidak sesuai untuk digunakan bagi peperangan pada masa kini memandangkan sistem armor yang terdapat kenderaan perisai sekarang mampu menahan peluru yang berkaliber lebih daripada 12.7 mm. Selain itu juga kita perlu melihat ancaman semasa pembelian kenderaan ini adalah sewaktu negara menentang insurgensi dan penggunaan senjata pada kenderaan tersebut adalah dianggap sesuai dengan ancaman pada ketika itu. Selain daripada itu, sistem kawalan pada turret menggunakan kawalan secara manual dan ini mengurangkan kadar tindak balas krew terhadap ancaman berbanding menggunakan kawalan secara automatik.

Walau terdapat kekurangan pada kenderaan ini, ia tidak menjejaskan kemampuan pasukan TDM sebagaimana yang ditunjukan dalam pertempuran Pasar Bakara, Somalia dimana Condor telah diarahkan untuk melaksanakan operasi menyelamat anggota US Ranger yang terkepung semasa melaksanakan penugasan mencari Jeneral Farah Aidid. Dalam pertempuran tersebut sebuah Condor telah ditembak oleh militia Somalia menggunakan RPG dimana ia telah menembusi cermin hadapan crew compartment  dan telah mengorbankan  Kpl Aznam. Selain daripada itu, kenderaan ini dapat diaturgerakan dengan pantas ke mana sahaja kerana ia menggunakan roda berbanding runut yang perlu diangkut menggunakan kenderaan loader. Selain itu, ia juga senyap dan menurut 'orang - orang lama' dalam satu latihan, kenderaan ini mampu merapati kawasan musuh tanpa disedari kerana ianya senyap.

Masanya telah sesuai untuk TD menggantikan Condor dengan kenderaan baru. Ia bagi memastikan peranan armor dan mekanize mampu digunakan sepenuhnya kelak.