Thursday, 26 April 2012

KERAHAN TENAGA: PERLU ATAU TIDAK UNTUK ATM

Kerahan tenaga atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai conscription/national service adalah perkataan yang biasa didengar di Malaysia tetapi tidak pernah dilaksanakan. Malaysia pada dasarnya tidak pernah mengamalkan kerahan tenaga bagi mendapatkan sumber tenaga untuk menampung keperluan dalam mempertahankan negara.


Kerahan tenaga dipercayai telah lama dilaksanakan terutamanya bagi negara yang menjadi kuasa besar dan memiliki empayar yang luas pada zaman kegemilangan mereka. Kerahan tenaga dilaksanakan bagi mendapatkan keperluan keanggotaan tentera yang cepat dan mudah. Walau bagaimanapun kerahan tenaga kurang dilaksanakan pada masa sekarang di sesetengah negara terutamanya di benua Eropah kerana atas faktor keperluan tentera mereka yang lebih berkehendakan tenaga kerja profesional sepenuh masa.


Kerahan melibatkan remaja
Kerahan tenaga pada kebiasaanya diwajibkan ke atas remaja lelaki yang berumur 18 tahun pada tahun tersebut. Terdapat juga negara yang mewajibkan kerahan tenaga kepada remaja berumur 17 tahun. Pemilihan dan tapisan akan dilakukan terlebih dahulu kepada sebahagian kumpulan yang bakal diberikan pengecualian untuk menjalani kerahan tenaga seperti mereka yang sakit, kumpulan yang menganut agama yang mencegah keganasan dan sebagainya. Bagi mereka yang layak, akan menjalani latihan asa ketenteraan dan berkhidmat secara wajib untuk tempoh 2 tahun dalam pasukan kerahan. Selepas menamatkan perkhidmatan kerahan, mereka akan berkhidmat dalam pasukan simpanan sehingga mencapai umur yang ditetapkan. Namun Israel mengamalkan konsep kerahan tenaga tidak mengira jantina dimana ianya diwajibkan kepada remaja lelaki dan juga perempuan. Keperluan ini berdasarkan kepada ancaman yang dihadapi oleh negara haram tersebut.


Kerahan Tentera Israel melibatkan lelaki dan perempuan
Kerahan tenaga mempunyai kebaikan serta keburukannya. Kebaikan kerahan tenaga adalah semua remaja lelaki yang layak akan diberikan latihan ketenteraan dan ianya bermakna sekiranya berlaku sesuatu konflik mereka berupaya untuk mempertahankan negara kerana mereka telah mendapat latihan asas ketenteraan meliputi taktik, senjata dan kawad. Kerahan tenaga juga akan menambahkan rasa patriotik dikalangan mereka. Ia juga dapat meningkatkan rasa jati diri, setia kawan dan juga rasa tanggungjawab. Kerahan tenaga juga dapat menyediakan pasukan siap siaga yang boleh diaturgerakan dalam masa yang singkat.

Namun terdapat juga kelemahan dalam kerahan tenaga yang dilaksanakan oleh sesetengah negara. Terdapat rungutan dikalangan yang melaksanakan kerahan, mereka akan kehilangan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang berprofil tinggi terutamanya dari syarikat dan juga pelabur antarabangsa kerana kebanyakan daripada syarikat tersebut enggan mengalami kerugian kerana mereka yang menjalani kerahan tenaga  akan kehilangan atau kerugian kerana perlu membayar gaji kepada pekerja mereka yang tidak hadir berkerja. Luahan ini pernah dinyatakan dalam internet oleh remaja dari negara jiran kita. Selain itu, terdapat anggota yang sedang menjalani latihan kerahan cenderung untuk melakukan kesalahan disiplin terutamanya dari negara ketiga. Ini kerana mereka tidak melaksanakan secara sukarela dan akan melakukan sesuatu untuk mereka disingkirkan. Selain itu, terdapat juga negara yang melaksanakan latihan kerahan tenaga tidak mencapai piawaian yang sepatutnya dan ianya berlaku apabila sesuatu konflik berlangsung. Sebagai contoh semasa Peperangan Falkland, salah satu punca kekalahan Argentina adalah disebabkan sebahagian besar angkatan tentera mereka terutamanya dikalangan anggota kerahan. Tahap profesionalisme mereka dipersoalkan kerana mereka hanya menjalani latihan yang singkat untuk menampung keperluan di medan tempur dan kebanyakan mereka cenderung untuk mengalah semasa awal pertempuran.  

Angkatan Tentera Malaysia tidak pernah melaksanakan kerahan tenaga walaupun terlibat dalam dua kali darurat dan juga konfrantasi. Ini kerana tida masalah untuk mendapatkan rekrut pada ketika itu. Disamping itu juga, negara-negara Komanwel juga menghantar tentera mereka kerana Malaysia pada ketika merupakan negara yang baru pulih dari Perang Dunia Kedua dan mempunyai bilangan unit yang kecil dan sedang dibangunkan. Kerahan tenaga akan memerlukan perbelanjaan yang besar dari segi penyediaan penginapan, pembayaran elaun, serta makanan dan minum kerana bilangan untuk anggota kerahan adalah tidak mengikut kuota sebagaimana pengambilan rekrut yang berdasarkan kekosongan perjawatan di unit-unit. Selain daripada itu juga, Malaysia tidak mempunyai masalah dengan negara jiran dan bilangan anggota pasukan tetap dan simpanan sentiasa siap sedia mempertahankan negara. Walau bagaimanapun, kerahan tenaga dirasakan mampu untuk mendisiplinkan remaja Malaysia dan mempersiapkan diri untuk mempertahankan negara. Saya serahkan kepada pembaca untuk memberikan jawapan mengenai perlu atau tidak kerahan tenaga di Malaysia.