Monday, 13 June 2011

UAV - MATA DAN TELINGA DI LANGIT

UAV (Unmanned Aerial Vehicle) ataupun pesawat tanpa pemandu pada peperangan moden mempunyai nilai taktikal yang tinggi kerana ia adalah umpama mata dan telinga di langit. Ia mampu melaksanakan penugasan yang dikatakan melebihi had yang boleh dilakukan oleh pesawat yang dipandu manusia.
 
V1 dalam keadaan untuk dilancarkan
Pada awalnya pesawat tanpa pemandu telah wujud sejak di awal penggunaan kapal terbang. UAV pertama yang dikatakan agak berjaya dibangunkan oleh Jerman semasa Perang Dunia Kedua iaitu V1 dimana ia digunakan sebagai senjata untuk mengebom Bandar London tetapi kelemahan utama adalah ia tidak dapat dikawal secara langsung dan akan terbang secara bebas. Selepas Perang Dunia Kedua UAV lebih tertumpu kepada kegunaan sebagai dron sasaran untuk latihan menembak bagi artileri pertahanan udara dan juga untuk juruterbang pesawat pejuang. Tiada usaha yang dijalankan untuk membangunkan UAV secara intensif sebagai pesawat pengintipan kerana pesawat pengintipan yang berkeupayaan tinggi digunakan seperti SR - 71 Blackbird dan U-2. Namun tidak semua pasukan tentera mampu mempunyai senjata pengintipan yang berkupayaan tinggi dan hanya menggunakan pesawat pejuang yang dipasang kamera berkeupayaan tinggi. Namun ia mengakibatkan kehilangan pesawat dan juga juruterbang apabila pesawat tersebut ditembak jatuh dan ini mengakibatkan kerugian yang besar dan kegagalan mendapatkan maklumat yang penting.
UAV Mikro dilancarkan
Israel dipercayai membangunkan UAV moden dengan memasang kamera dan mampu dikawal dari suatu kedudukan yang jauh dan ini telah melahirkan pesawat UAV moden yang mampu dikawal dari jauh dan maklumat yang mampu disampaikan secara langsung dari lokaasi pengintipan. Ia juga mampu untuk melaksanakan penugasan untuk tempoh yang lama tanpa rehat dan tanpa pengisian minyak. Israel menggunakan UAV untuk mendapatkan maklumat mengenai kedudukan musuh, sistem pertahanan udara dan juga dijadikan umpan untuk mengesan sistem radar pertahanan udara musuh. Ia telah terbukti semasa pertempuran di Lembah Bekaa pada tahun 1982 dimana ia telah melumpuhkan sistem pertahanan udara Syria dengan kadar kehilangan pesawat adalah 0.

MQ - 9 Reaper dan senjatanya
Sekarang kebanyakan negara telah menggunakan dan membangunkan UAV sebagai sebahagian daripada kelengkapan persenjataan dan pertahanan. Ini kerana UAV yang terkini bukan sahaja digunakan untuk pengintipan tetapi juga mampu melancarkan peluru berpandu seperti MQ-9 Reaper yang mampu melancarkan peluru berpandu Hellfire. Ia mula digunakan pada penghujung tahun 2001 dalam usaha Amerika Syarikat untuk menghapuskan Taliban dan juga Al-Qaeda.

Terdapat juga pembangunan UAV dari jenis kepak berputar atau seperti bentuk helikopter. Kelebihan UAV ini adalah ia tidak memerlukan kawasan yang luas untuk tapak pelepasan dan ia juga mampu di gunakan di geladak-geladak kapal. Selain itu terdapat UAV yang kecil dimana ia mampu digunakan oleh tentera di barisan hadapan. Ia amat diperlukan kerana ia mampu memberikan aliran maklumat yang amat diperlukan semasa peperangan dalam masa yang singkat. 
Namun terdapat perdebatan hangat mengenai keupayaan UAV untuk digunakan pada masa hadapan kerana ia dikhuatiri tidak dapat menganalisa maklumat yang diperolehi sebagai pertimbangan yang mampu diberikan oleh juruterbang manusia. Terdapat beberapa insiden dimana kejadian serangan UAV bersenjata ke atas lokasi atau penempatan awam kerana maklumat yang diperolehi oleh UAV akan dianalisa oleh juru pandunya yang terletak jauh berbanding pemandu pesawat yang dapat menganalisa keadaan dari tempat kejadian. Sama-samalah kita lihat bagaimana teknologi dan manusia bersaing untuk menjadi yang terbaik.