Tuesday 8 May 2012

ISU PEMBELIAN PERALATAN PERTAHANAN DAN POLITIK

Isu hangat suatu masa dahulu - Pembelian Kapal Selam
Kebelakangan ini terdapat banyak rungutan dan juga berita serta komen-komen mengenai pembelian peralatan pertahanan yang dilaksanakan oleh ATM. Pembelian ini banyak melibatkan komen yang berbaur politik dan dijadikan sebagai modal oleh sesetengah ahli politik sebagai bahan kempen mereka.

Cuma kebelakangan ini isu pembelian peralatan pertahanan menjadi tumpuan ahli-ahli politik dimana berbagai-bagai fakta diberikan terutamanya berkaitan dengan isu harga. Antara peralatan pertahanan yang menjadi tumpuan politik adalah isu pembelian kapal selam scorpene, pesawat Airbus A-400, Sukhoi dan yang terbaru sekali pembelian kenderaan perisai AV-8. Keadaan ini sebenarnya pada pendapat saya adalah seperti membuka rahsia kita kepada orang lain kerana kita seolah-olah mempertikaikan setiap pembelian peralatan ketenteraan. Apa yang sering diperkatakan adalah mengenai harga setiap aset yang dibeli yang mana ia dikatakan adalah berlipat kali ganda dan terdapat unsur - unsur rasuah yang berlaku semasa pembelian atau semasa tender dibuka. Bab itu saya tidak dapat memberikan komen secara lanjut kerana ianya diluar bidang kuasa saya. Apa yang saya ingin terangkan adalah mengenai pemikiran sesetengah ahli politik yang tidak tahu atau mahir mengenai sesuatu aset dari segi teknikal, taktikal dan juga strategik tetapi memberikan komen seolah-olah mereka adalah orang yang pakar dalam hal tersebut. Ini kerana mereka akan memberikan komen seperti ini " buat apa beli kereta kebal, kita bukan nak berperang esok lusa" dan sebagainya. Mereka juga seolah - olah menafikan keperluan pertahanan yang mana memerlukan persediaan dari segi latihan, penyesuaian dan juga taktik serta doktrin yang baru apabila sesuatu peralatan sampai dan bukannya apabila kita diserang baru hendak mencari peralatan.

Selain daripada itu, mereka juga perlu membaca atau mengkaji sejarah sesuatu pertempuran dan daripada hsil kajian tersebutlah mereka akan dapat mengetahui kenapa sesuatu peralatan diperlukan. Sebagai contoh apabila TLDM membeli Scorpene pelbagai lontaran negatif diberikan danada yang mengatakan bahawa pembaziran telah dibuat. Jadi suka saya untuk membawa ke zaman Perang Dunia Kedua dimana kapal selam Jerman atau U Boat telah menjadi senjata yang mampu menggugat dan hampir - hampir menyebabkan England kalah. Selain itu semasa Perang Falkland, apabila British menghantar kapal selamnya dan berjaya menenggelamkan kapal perang Argentina iaitu Belgrano, ia seolah-olah mengubah senario pertempuran laut antara Argentina dan British disamping itu menyebabkan bekalan logistik Argentina gagal dihantar ke trup - trup mereka di Kepulauan Falkland walhal jarak mereka adalah dekat.

Keperluan peralatan pertahanan bukan sesuatu isu yang boleh dipermain-mainkan. Ianya perlu dipersiapkan kepada setiap cabang perkhidmatan ATM bagi memastikan tugas mempertahankan negara dapat dilakukan dengan baik dan berkesan. Saya pasti kenapa ahli politik mempertikaikan pembelian peralatan pertahanan sebagaimana isu penggantian NURI adalah kerana tiada saudara mereka yang berkhidmatan atau terlibat dalam kemalangan yang melibatkan helikopter tersebut. Sekiranya ada pasti nada mereka berubah.

Tidak semua ahli politik berfikiran demikian. Ada yang mengambil berat mengenai pertahanan negara. Kalau dilihat pembelian persenjataan oleh negara jiran tidak dijadikan sebagai satu isu politik kerana mereka mengetahui tujuan dan kepentingan pembelian tersebut. jadi ahli politik, fikirlah apa yang anda mampu buat sebelum negara diheret ke medan peerang kerana pemikiran yang tidak membantu pertahanan negara.

  

Sunday 6 May 2012

Antara M4, Steyr dan M16, Mana Satu Yang Paling Best

(Artikel ini dibuat adalah berdasarkan kepada penilaian penulis sendiri dan tidak melibatkan mana pengaruh dari parti politik atau orang perseorangan. Jadi bacalah dengan senang dan tenang)

ATM terutamanya Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menggunakan beberapa jenis senjata tempur sehingga kini. Artikel mengenai senjata yang digunakan oleh TDM juga ada menerangkan mengenai perkara ini. Sebelum menggunakan M-4 ini, TDM telah menggunakan senjata tempur yang pendek dan dari jenis Bullpup iaitu Steyr AUG A1 dan sebelumnya menggunakan M-16 A1. Saya pernah menggunakan ketiga-tiga jenis senjata ini dan setiap senjata ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Senjata M-16 ini digunakan oleh TDM semasa era menentang pengganas komunis dan ia  digunakan sehingga tahun 2000. Senjata ini senang untuk digunakan dan ianya juga adalah lasak. Ia dibuat daripada plastik dan juga besi. Ia mempunyai panjang 986mm dan berat 2.9 kg. Apa yang dimaksudkan dengan lasak senjata ini adalah ia mampu menahan penggunaan yang melampau seperti dijadikan kayu tongkat semasa menaiki bukit (cara yang salah tapi itu je bantuan yang ada), membuka laluan dikawasan semak. Ia juga senang digunakan semasa latihan pertempuran menggunakan benet kerana panjang senjata tersebut yang sesuai digunakan semasa pertempuran benet.

Steyr AUG A1 in standard rifle configuration (military green colour)Manakala Steyr AUG digunakan oleh TDM dipenghujung tahun 1990-an. Ia digunakan oleh TDM untuk menggantikan senjata M-16. Ia dikatakan dipilih kerana panjang senjata ini yang pendek sedikit daripada iaitu 805 mm tetapi ianya mempunyai berat yang lebih sedikit daripada M-16 iaitu 3.8 kg. Senjata ini dibuat daripada plastik polimer dan juga besi. Rekabentuknya juga amat futurisik dimana semasa mula melihatnya ia seakan-akan senjata dari angkasa lepas. Ini kerana senjata ini mempunyai tangkai pemegang yang dilengkapi dengan pajera berkekuatan 1.5 x pembesaran dan juga senjata ini menggunakan rekabentuk bullpup dimana kelopak peluru akan diisikan dibelakang. Namun senjata ini mempunyai kelemahannya tersendiri iaitu gas regulator dan penutup but senjata yang senang tercabut apabila ianya  tidak dipasang dengan betul selepas mencuci senjata dan ianya bukan mudah untuk dicari kerana saiznya yang kecil. Selain daripada itu, sekiranya menembak dengan jumlah peluru yang banyak, ia akan menyebabkan rasa tidak selesa untuk menembak kerana ia tidak mempunyai mengadang laras sebagaimana senjata M-4 yang boleh menghalang rasa panas laras senjata.    

Tentera Austria dan Senjata Steyr

Colt M4 carbine, current issue model with removable carrying handle, right sideSenjata M-4 adalah merupakan senjata yang dikatakan dicipta hasil daripada evolusi senjata M-6 tetapi ia mempunyai panjang dan berat yang berlainan daripada M-16. Ia mempunyai panjang 840 mm dengan udi dibuka dan berat 2.5 kg. Apa yang membezakan M-4 dengan M-16 adalah senjata ini mempunyai udi yang boleh tarik dan juga pemegang yang boleh dicabut dan dipasang dengan lain-lain aksesori pada landasan picanity seperti ACOG atau Red Dot. Jarak berkesan senjata ini adalah sejauh 360 mm kerana larasnya yang pendek. Pada dasarnya senjata ini sesuai untuk digunakan untuk pertempuran jarak dekat (CQB). Setakat ini tiada masalah yang boleh dihubungkan dengan senjata.

Jadi pada dasarnya semua senjata ini mempunyai sifat-sifat tersendiri. Saya suka menggunakan M-16 kerana kelasakannya manakala saya juga suka menggunakan Steyr kerana rekabentuknya manakala M-4 kerana ianya ringan. Pendek kata semua senjata saya suka tetapi yang paling saya suka adalah  M-16 komando.