Sunday 26 December 2010

Konflik yang Tiada Sudahnya-Semenanjung Korea

1. Pada 23 Nov 10, Semenanjung Korea digegarkan dengan serangan artileri oleh Korea Utara ke atas Pulau Yeonpyong, Korea Selatan. Lokasi pulau tersebut hanya 80 km dari Incheon, Korea Selatan dan 12 km dari Daerah Hwanghae, Korea Utara. Insiden tersebut berlaku berlanjutan daripada rasa tidak puas hati ke atas Korea Selatan dengan dakwaan bahawa tembakan dilepaskan oleh tentera Korea Selatan terlebih dahulu. Tentera Korea Utara menembak dianggarkan 200 das tembakan dan menyebabkan 2 tentera marin Korea Selatan terbunuh manakala 20 penduduk pulau tersebut cedera. Bimbang terhadap keselamatan mereka, penduduk pulau berkenaan dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka sekiranya terjadi konflik yang seterusnya.  


Peta lokasi Pulau Yeonpyeong - sumber dari internet
2. Konflik Korea ini sebenarnya bermula sejak tahun 1950-1953 dikenali sebagai Perang Korea. Dalam perang tersebut Korea Selatan dibantu oleh PBB yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang dibawah pimpinan Jeneral Douglas Mac Arthur manakala Korea Utara dibantu oleh Soviet dan juga China. Tiada siapa yang menang dalam peperangan tersebut dan hanya mewujudkan garisan pemisah di Garisan 38 yang dikenali sebagai Kawasan Bebas Tentera atau Demilitarize Zone (DMZ).


3. Konflik baru-baru ini menyebabkan Amerika bertindak dengan campur tangan dalam konflik tersebut.  Tindakan Amerika adalah bergegas dari Okinawa, Jepun menghantar armadanya ke Korea Selatan untuk membantu Korea Selatan. Korea Selatan juga bertindak mengadakan latihan ketenteraan bersama-sama dengan Amerika sebagai show of force. Manakala rakyat Korea Selatan juga mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan Korea Utara dan juga mendesak agar tindakan keras juga dilaksanakan ke atas Korea Utara. 


4. Pada pendapat saya, konflik baru-baru ini adalah cubaan Korea Utara untuk menguju dan melihat sejauh mana tindakan yang akan diambil keatasnya kerana tindakannya. Dunia hanya mengutuk dan berikrar untuk bertindakbalas sekiranya serangan lain dilaksanakan oleh Korea Utara manakala terdapat sesetengah pertubuhan dunia dan juga negara memohon agar rundingan dilakukan antara kedua-dua negara.


5. Sebenarnya sekutu Korea Selatan tidak berani mengambil tindakan ke atas Korea Utara kerana beberapa sebab. Sebab yang utama adalah kerana dua kuasa besar dunia yang berada dibelakang Korea Utara iaitu Rusia dan China. Walaupun Rusia sudah menjadi sebuah negara demokrasi manakala China hanya sebuah negara komunis pada erti kata politik sahaja. Semasa Perang Korea, kemenangan hampir berpihak kepada Korea Selatan dan sekutunya. Melihatkan kepada situasi tersebut Stalin telah mengarahkan Mao Tze Dong supaya China campur tangan bagi mengelakkan sekutu mereka kalah.  China telah menghantar tentera mereka tanpa dikesan dan seterusnya melaksanakan serangan dan ianya mengejutkan Korea Selatan dan sekutunya. Keputusan akhirnya adalah perundingan dilaksanakan dan satu garisan pemisah diwujudkan di Garisan 38. 


6. Selain itu, jika diperhatikan daripada segi kelengkapan ketenteraan, Korea Utara tidaklah mampu menandingi Korea Selatan kerana mereka masih mengamalkan sistem ekonomi yang berpaksikan komunisme dan tidak dapat memberikan pendapatan yang besar kepada negara ditambahkan lagi dengan masalah kebuluran yang melanda di Korea Utara.Tetapi Korea Utara mempunyai kemampuan dan senjata yang Korea Selatan tidak miliki iaitu senjata nuklear. Ini menyebabkan lain-lain kuasa besar ragu-ragu dan menggunakan konsep lihta yang akan menyerang terlebih dahulu. Sekiranya peperangan seterusnya berlaku, kemungkinan penggunaan senjata nuklear akan berlaku. Amerika bersungguh-sungguh untuk mengambil tindakan ke atas Korea Utara kerana ingin menunjukkan kekuasaan mereka sebagai kuasa tunggal dunia selepas kejatuhan Soviet. Amerika juga yakin dengan 'kejayaan 2 kempen' mereka sebelum ini iaitu Iraq dan Afghanistan. 

Thursday 23 December 2010

Stridsvagn 103 - Kereta Kebal Tanpa Turet

1. Pasti ramai yang tidak pernah melihat atau sedar tentang kewujudan kereta kebal tanpa turet. Turet adalah satu bentuk seakan-akan kubah yang menempatkan meriam, sistem optik, krew dan juga semboyan (komunikasi). Pada kali ini saya akan menulis mengenai kereta kebal tanpa turet.

Picture of the Picture of the Stridsvagn 103 (S-Tank).
Strv 103 (S Tank)
2. Kereta kebal yang dimaksudkan adalah Stridsvagn 103 (Strv 103) atau lebih dikenali sebagai S Tank. Kereta kebal ini dibangunkan oleh Sweden pada tahun 1950-an semasa Perang Dingin sedang memuncak. Pembangunan S Tank ini bermula daripada kontrak yang ditawarkan untuk menggantikan kereta kebal Centurions milik tentera darat Sweden. Beberapa syarikat telah mendapat rekabentuk kereta kebal dengan kod KRV yang mana ia bakal dilengkapi dengan meriam 155mm smoothbore tetapi ia akan meningkatkan kos pengeluaran. Berikutan itu, pihak tentera darat Sweden berhasrat untuk mendapatkan kereta kebal dari Amerika Syarikat, Britain atau Jerman.

3. Pada tahun 1956, Sven Berge telah mencadangkan Alternativ S iaitu satu alternatif untuk menghasilkan kereta kebal secara domestik (S bermaksud Sweden). Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman di medan tempur, kereta kebal yang tinggi mempunyai kadar kemusnahan yang tinggi kerana ketinggian tersebut ia amat mudah untuk dikesan. Sehubungan itu, Sven Berge mencadangkan agar rekabentuk kereta kebal yang baru perlu mempunyai ketinggian yang minima (rendah) bagi menyukarkan dikesan oleh musuh dan ini akan memerlukan turet dibuang dan senjata utama (meriam) dipasang terus pada badan kereta kebal. 

4. Disebabkan oleh ketiadaan turet, ia dapat mengurangkan berat S Tank dan lebih banyak perlindungan boleh ditambah kepada badannya dengan menambah ketebalan perisainya. Ia juga mengurangkan kadar untuk dikesan oleh musuh, boleh diaturgerakan dalam kedudukan hull down (kedudukan badan kereta kebal yang terlindung dan hanya turet sahaja yang terdedah untuk menembak) sama ada berlindung dalam kubu yang digali atau di sebalik permatang di kawasan bukit.

Gambar atas menunjukan posisi turret down,
manakala gambar dibawah adalah kedudukan hull down.
5. Kerana ketiadaan turet, cara untuk menembak secara dongakan atau sisi (ke kiri atau kanan) adalah berlainan berbanding kereta kebal biasa. Bagi menembak secara dongakan, S Tank akan menggunakan sistem suspensinya yang boleh di dongak atau diturunkan manakala apabila ingin menembak sisi ia akan mengerakan badan kereta kebal sama ada ke kiri atau kekanan. Walau pun mempunyai kelebihan daripada segi perlindungan dan sukar untuk dikesan, kelemahan utama S Tank adalah ia tidak dapat menembak semasa bergerak kerana meriamnya akan bergerak mengikut pergerakan badannya. S Tank menggunakan sistem isian semula secara automatik (auto loader) dan ini dapat menjimatkan ruang kerana tidak memerlukan krew pengisi. Krew bagi S Tank terdiri daripada penembak/pemandu, komander dan jururadio/pemandu belakang. Komander dan penembak akan berkongsi kawalan tembakkan dan juga sistem optik yang mana ia boleh digunakan oleh salah seorang mereka. Bagi pemandu belakang ia mempunyai sistem pemanduan yang lengkap bagi membolehkannya bergerak ke belakang tanpa perlu memusingkan badan S Tank. Ini adalah penting semasa ia berundur dimana ia akan mengekalkan meriam sentiasa menghadap ke arah musuh bagi terus memberikan tembakan dengan kelajuan yang sama sepertimana semasa bergerak ke hadapan. Selain itu ia juga mengelakan bahagian belakangnya menjadi sasaran ini kerana bahagian belakang kereta kebal merupakan kelemahanya kerana ia mempunyai lapisan armor yang nipis.

6. S Tank dikeluarkan oleh Bofors AB dan pengeluaran bermula dari tahun 1967 sehingga 1971 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 290 buah. S Tank mempunyai 4 versi iaitu S 103, S 103 B, S 103 C dan S 103 D. Berat S Tank adalah 40 tan dengan ketinggian 2.14 m dan panjang 3.60 m bagi S 103 B dan 3.80 m bagi S 103 C. Ia mempunyai 1 laras meriam jenis 105 mm L/62 dengan 50 butir peluru. ia juga mempunyai senjata sekunder  dengan 2 x 7.62 mm machine gun yang terpasang pada badan dan 1 x 7.62 mm machine gun bagi tugasan anti pesawat. Ia mempunyai dua jenis enjin iaitu bagi pergerakan dan mensasarkan sasaran ia akan menggunakan enjin Roll Royce K60 240 kuasa kuda manakala untuk bergerak pada kelajuan tinggi ia akan menggunakan enjin turbin Boeing 502 300 kuasa kuda. S Tank adalah kereta kebal pertama yang menggunakan enjin turbin sebelum M 1 Abrams atau T-80. S Tank juga mempunyai keupayaan untuk berenang dimana ia akan digerakan oleh tracknya dan skrin akan dinaikan sebelum berenang. Ia mempunyai kelajuan 50 km/j dan kelajuan di dalam air  6 km/j  

7. Walaupun mempunyai ciri-ciri yang hebat, ia tidak pernah terlibat dalam aman-mana pertempuran dan ia juga telah dikeluarkan daripada perkhidmatan tentera darat Sweden pada tahun 1990-an dan telah digantikan dengan kereta kebal Leopard 2 buatan Jerman. Bagi penerangan lanjut boleh menonton video yang saya sertakan.

 

Tuesday 21 December 2010

French Foreign Legion -


Go to fullsize image

French Foreign Legion merupakan salah satu daripada unit atau pasukan di dalam Tentera Darat Perancis. Ia merupakan satu unit yang unik kerana membenarkan mereka yang bukan warganegara Perancis untuk berkhidmat dalam angkatan tentera di bawah bendera Perancis.  Ia juga dikatakan antara unit elit di mana mereka dikenali oleh latihan dan disiplin yang ketat. Anggota mereka juga mempunyai semangat setiakawan yang tinggi walaupun mempunyai budaya, bahasa dan adat resam yang berbeza di kalangan anggota mereka.

French Foreign Legion atau lebih dikenali sebagai legion ditubuhkan oleh Louis Philippe yang dikenali juga sebagai 'Raja kepada Perancis' pada 10 Mac 1831. Ia ditubuhkan kerana warga asing dihalang untuk menyertai tentera Perancis selepas Revolusi Perancis dan sehubungan dengan itu, ia ditubuhkan untuk membenarkan kerajaan mempunyai satu langkah untuk 'melangkaui' arahan tersebut. Ia juga ditubuhkan untuk membersihkan atau menukarkan elemen atau punca-punca kekacauan masyarakat menjadi sesuatu yang berguna dengan meletakan mereka dibarisan hadapan dan menentang musuh negara. Pengambilan untuk rekrut diambil dari kalangan anggota revolusi  dari sebahagian negara-negara eropah yang gagal, tentera negara luar yang pasukan mereka telah dibubarkan dan Algeria dijadikan sebagai 'rumah' legion untuk tempoh 130 tahun sebelum ianya merdeka dari Perancis. Tugas utama legion adalah untuk mempertahankan serta memperluaskan empayar Perancis disamping berperang untuk Perancis dalam setiap peperangan seperti Perang Franco-Prusia, Perang Dunia Pertama dan Kedua dan Perang Vietnam Pertama, Perang Algteria dan juga beberapa peperangan moden.

Unit-unit dalam legion terdiri daripada Infantri, Jurutera, Kavalri dan payung terjun. Unit-unit dalam French Foreign Legion:

- 1st Foreign Cavalry Regiment (1e REC)

- 1st Foreign Engineer Regiment (1e REG)

- 2nd Foreign Engineer Regiment (2e REG)

- 2nd Foreign Infantry Regiment (2e REI)

- 4th Foreign Regiment (4e RE)

- 2nd Foreign Parachute Regiment (2e REP)

- French Overseas Territories and Overseas Collectives

- 3rd Foreign Infantry Regiment (3e REI)

- Foreign Legion Detachment di Mayotte (DLEM)

- 13th Foreign Legion Demi-Brigade (13 DBLE), berpengkalan di Djibouti.

* 1e REP di bubarkan pada Apr 1961 kerana cuba menggulingkan Charles de Gaulle berikutan ketidakpuasan hati anggota rejimen tersebut kerana Algeria telah di berikan kemerdekaan oleh Perancis. Mereka merasakan seperti dikhianati setelah bertahun-tahun menentang pemberontakan di Algeria.

Insignes de la légion étrangère.pdf
Lambang Unit-Unit Legion
Legion mempunyai dua moto yang utama iaitu moto pada panji-panji rejimental - Honneur et Fidélité  (Maruah dan Kesetiaan) dan moto Legion - Legio Patria Nostra (The Legion Is Our Fatherland). Manakala bagi setiap rejimen Legion, mereka mempunyai cogankata bagi setiap unit masing-masing.

Bagi sesiapa yang berminat untuk memasuki Legion, mereka perlu melapor di Pusat Penerangan Legion. Pada hari pertama mereka akan menjalani proses penerimaan, diberikan maklumat mengenai Legion dan juga syarat kontrak perkhidmatan mereka dalam legion. Bagi warganegara luar, mereka tidak semestinya fasih dalam bahasa Perancis dan ia akan di ajar setelah mereka berjaya menamatkan latihan asas mereka. Mereka juga akan dibuat tapisan untuk mendapatkan rekod jenayah mereka, tetapi terdapat kes dimana mereka yang mempunyai kes jenayah dibenarkan memasuki legion dan diberikan identiti baru.

Proses  pemilihan untuk menjadi anggota legion, mereka akan menjalani beberapa peringkat pemilihan. Pemilihan yang akan dijalani oleh mereka seperti berikut:

Latihan Yang dijalani
oleh anggota legion
1. Pra Pemilihan. Mereka akan menjalani pra pemilihan untuk tempoh 1 hingga 3 hari di Pusat Rekrut Legion di Aubagne, Paris. Di sana mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan awal, dokumentasi akhir dan menandatangani kontrak perkhidmatan selama 5 tahun.

2. Pemilihan. Pemilihan akan berlangsung sehingga 10 hari dimana mereka akan menjalani ujian psikologi dan personaliti, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan keadaan fizikal. Semasa peringkat ini, tiada keperluan untuk kelulusan akademik yang akan ditanya kepada calon-calon.

3. Temuduga keselamatan dan motivasi. Pada peringkat ini calon akan diberikan maklumbalas samada berjaya atau gagal untuk menjalani latihan sebagai seorang legion.

4. Pemilihan Akhir. Pada peringkat ini calon-calon akan menandatangani dan menyerahkan kontrak perkhidmatan selama 5 tahun mereka. Mereka juga akan diserapkan kedalam legion sebagai pelatih dan akan menjalani latihan.

5. Latihan Asas. Mereka akan menjalani latihan asas di French Guyana yang dijalankan di 4th Regiment bagi tempoh 15 minggu dengan asas ketenteraan, latihan medan, mempelajari tradisi legion, belajar bahasa Perancis, latihan teknikal dan akhirnya melapor ke pasukan yang telah ditugaskan. Latihan yang dijalani dikatakan antara latihan yang mencabar dimana mereka akan diuji dari segi fizikal dan mental sepanjang latihan mereka.

Walaupun legion diakui mempunyai latihan serta disiplin yang keras, masih ramai yang ingin menyerta legion kerana reputasinya sebagai salah satu pasukan elit dalam pasukan tentera. Selain itu, kebanyakan yang menyertai legion berasal daripada negara yang miskin dari Asia Selatan dan Afrika. Bayaran yang lumayan serta tawaran untuk menjadi warganegara Perancis selepas menamatkan kontrak perkhidmatan merupakan tarikan kepada mereka. Bagi sesetengah yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki oleh pihak polis, apabila mereka menyertai legion, mereka akan diberikan identiti yang baru serta akan dilindungi identiti mereka. Selian itu, kebanyakan bekas tentera menyertai legion kerana ingin mendapatkan pengalaman serta ingin action kerana pasukan legion kerap dihantar ke kawawan konflik. selain iintu, pasukan legion juga menerapkan semangat setiakawan yang tinggi dimana salah satu daripada ikrar mereka adalah tidak akan meninggalkan rakan di medan pertempuran.

Centre Piece kebanggan anggota legion.
Tangan kayu kepunyaan Kapten Danjou
yang terkorban dalam pertempuran
Camarone, Mexico