Tuesday 31 August 2010

Peperangan di Bulan Ramadan-Siri 1

1. Pada kali ini saya akan menulis mengenai dua peperangan yang berlaku semasa bulan ramadan. Kedua-dua peperangan ini merupakan turning point kepada umat islam dan juga bangsa arab. Kedua-dua peperangan yang dimaksudkan berlaku semasa zaman kebangkitan islam dan juga pada masa moden. Peperangan yang dimaksudkan adalah Perang Badar dan juga Perang Ramadan@Yom Kippur@ Oktober 1973.

Lokasi Pertempuran Badar
Perang Badar

2. Perang Badar berlaku pada tahun 17 Mac 642 bersamaan 17 Ramadan 2 Hijriah. Peperangan ini merupakan peperangan yang pertama kali bagi pihak islam yang melibatkan pertempuran secara besar-besaran dalam menghadapi musyrikin Quraish. Punca peperangan ini adalah kerana Nabi Muhammad S.A.W telah menerima maklumat perisikan mengenai rombongan perniagaan dari Syria ke Mekah yang diketuai oleh Abu Sufian yang diiringi oleh 30 hingga 40 orang pengawal telah melalui jalan pantai berhampiran Madinah dan cuba untuk merampasnya. Abu Sufyan merasa bimbang terhadap serangan oleh kaum muslim serta risau akan kehilangan dagangannya telah memohon bantuan ketenteraan kepada Mekah bagi mengiringi rombongan tersebut bagi perjalanan pulang ke Mekah.  Memandangkan rombongan tersebut membawa banyak harta dan wang yang dikatakan bernilai 50,000 dinar dan 1,000 ekor unta, pembesar musyirikin Quraish bersetuju untuk menghantar bantuan tersebut.

3. Abu Sufyan berjaya mengelakkan rombongan beliau dari di rampas dengan menggunakan kepandaian beliau dan menuju ke Mekah serta telah memaklumkan kepada tentera musyrikin Quraish agar pulang ke Mekah kerana rombongan tersebut telah selamat. Pasukan tentera musyrikin Quraish dipimpin oleh Abu Jahal dan beliau telah menentang Nabi Muhammad selama 15 tahun. Beliau merasakan ini merupakan peluang yang baik untuk menghancurkan pasukan islam memandangkan kekuatan tentera islam adalah lebih kecil berbanding Musyrikin Quraish. Sehubungan itu, pihak musyirikin Quraish ingin meneruskan hasrat mereka untuk berperang kerana atas pelbagai sebab diantaranya untuk melindungi kepentingan ekonomi mereka yang ada pada rombongan perdagangan pada masa akan datang, ingin menuntut bela keatas kematian ahli keluarga mereka sebelum ini dan sebahagian kecil untuk merasai kemenangan mudah akan dicapai oleh mereka terhadap pihak muslim.

Rancangan Tentera Muslim

4. Apabila Nabi Muhammad S.A.W menerima maklumat mengenai kemaraan tentera musyrikin Quraish, baginda terlebih dahulu memanggil para sahabat dan menubuhkan Majlis Perang (War Council). Majlis ini ditubuhkan adalah untuk membincangkan kewajaran untuk pihak Madinah berperang memandangkan mereka masih ada masa untuk mengelakkan pertempuran. Selain daripada itu kebanyakan tentera muslim ramai terdiri daripada pihak ansar (penduduk asal Madinah) yang baru memeluk islam dan mereka  merayu kepada baginda untuk mempertahankan Madinah sahaja. Namun terdapat juga golongan ansar yang merasakan kewajaran untuk mereka berperang sebagaimana tradisi mereka yang mementingkan maruah apabila dicabar sebagaimana yang diucapkan oleh  Sa'ad bin Ubada bahawa sekiranya Rasullulah S.A.W memerintahkan mereka menunggang kuda ke dalam laut, arahan itu tetap akan mereka laksanakan. Walau bagaimanapun pihak islam mengharapkan agar peperangan tersebut dapat dielakkan dan mereka kemudiannya mara ke Badar. Baginda mengetuai pasukan tentera muslim dan dibantu oleh Abu Bakar, Umar Al Khattab, Ali Hamzah, Ammar bin Yassir dan ramai lagi sahabat baginda.

5. Pada 15 Mac, kedua-dua pihak tentera berada kira-kira 1 hari perjalanan dari Badar dan beberapa tentera islam telah menunggang dihadapan kolum kemaraan tentera islam dan telah berjaya menangkap 2 orang pencari air tentera musyrikin Quraish.Berdasarkan daripada maklumat yang diperolehi daripada tawanan mereka, ia menimbulkan kerisauan dikalangan tentera muslim kerana kekuatan tentera Musyrikin Quraish adalah 1000 orang berbanding 313 orang tentera muslim dengan nisbah 3:1.

6. Badar merupakan satu lokasi yang terletak di kawasan slope di bahagian timur lembah yang di panggil Yalyal. Manakala di bahagian barat lembah tersebut di apit oleh bukit Aqanqal. Semasa tentera Islam dari timur, baginda Rasullulah S.A.W mengarahkan agar formasi dibentuk di telaga yang pertama dijumpai mereka namun Hubab bin ak-Muhdir berbincang dengan baginda mengenai keputusan tersebut, tentera islam kemudiannya diarahkan agar disusun di kawasan telaga yang berhampiran dengan tentera musyirikin Quraish.

Rancangan Tentera Musyirikin Quraish

7. Tentera Musyirikin Quraish tidak membawa kaum wanita dan kanak-kanak dalam peperangan sebagaimana lazim yang dilakukan oleh tentera Arab lain dan pada masa yang sama tidak juga berhubung dengan kaum-kaum arab yang lain yang berada di sekitar Hijjaz. Ini dapat dikatakan berpunca daripada masa persiapan bagi peperangan ini yang tidak mencukupi untuk mereka membuat persiapan dan juga tahap keyakinan yang terlalu tinggi dalam mencapai kemenangan terhadap tentera islam berikutan bilangan tentera islam yang sedikit.

Hari Pertempuran

8. Tentera musyirikin Quraish telah mara ke Lembah Badar dan telah menghantar peninjau untuk membuat pemerhatian terhadap persiapan dan kedudukan barisan tentera Islam dan peninjau berkenaan telah melaporkan bahawa hanya terdapat sedikit dan kemungkinan tiada  bantuan. Ini menambahkan lagi rasa yakin dan bongkak Abu Jahal terhadap kemampuan tentera islam untuk memenangi peperangan ini.

9. Seperti kebiasaan bagi peperangan zaman dahulu, pertempuran bermula dengan cabar mencabar antara kedua belah pihak. Dikatakan 3 tentera Islam dari golongan ansar keluar menyahut cabaran tetapi diejek oleh tentera musyrikin Quraish. Melihat keadaan tersebut, Saidina Hamzah mara ke hadapan dan mengajak Saidina Ali dan Ubaida menyertai beliau untuk mencabar wakil tentera musyirikin Quraish. Di dalam cabar mencabar tersebut, Saidina Hamzah berjaya membunuh Utba, Saidina Ali membunuh Walin bin Utba dan Ubaida membunuh Shaiba walaupun telah beliau sendiri telah dicederakan. Selepas pertarungan tersebut, kedua-dua pihak saling serang menyerang seperti singa yang lapar. Peperangan mengambil masa hanya beberapa jam sahaja dan tamat pada tengahari. Tentera Islam bertempur dengan penuh bersemangat kerana ingin mendapatkan syahid menyebabkan tentera musyrikin Quraish goyah dan seterusnya melarikan diri dari pertempuran. Selain dari semangat yang ditunjukkan oleh tentera Islam, Allah telah memberikan bantuan dengan menghantar malaikat yang diketuai oleh Jibrail untuk menentang tentera musyirikin Quraish.

Kawasan Perkuburan Syuhada Badar
10. Seramai 70 orang tentera musyirikin Quraish terbunuh termasuklah Abu Jahal dan 70 lagi telah ditawan. manakala hanya 14 orang tentera Islam yang syahid. Terdapat sumber yang menyatakan bahawa adanya saranan agar tawanan ini dibunuh tetapi ianya ditentang oleh Saidina Abu Bakar dan ianya disokong oleh baginda rasullulah S.A.W. Ini adalah kerana ada dikalangan tawanan mempunyai hubungan persaudaraan dengan tentera islam, keperluan mendapatkan duit tebusan dan juga harapan kemungkinan untuk mereka memeluk islam kemudian. Sebelum meninggalkan lokasi pertempuran, rasullulah S.A.W mengarahkan agar kesemua korban Perang Badar dikebumikan di kawasan tersebut berhampiran dengan telaga yang menjadi lokasi pertempuran.

Kesimpulan

11. Peperangan Badar menunjukkan bahawa rasullulah tidak menggunakan kelebihan sebagai seorang nabi dan rasul dalam membuat keputusan, bahkan baginda menubuhkan Majlis Perang dan menanyakan pendapat majoriti bagi keputusan untuk melancarkan perang atau sebaliknya. Baginda juga bersama-sama dengan tentera islam turun untuk berperang dan bukannya berada di Madinah dan menantikan keputusan sajaja. Ini jelas menaikkan semangat tentera islam apabila melihat rasul kesayangan mereka turun bersama-sama ke medan perang.  

12. Faktor disiplin yang ditunjukkan oleh tentera islam dalam menghadapi tentera musyrikin Quraish merupakan antara faktor kejayaan mereka. jika dibuat perbandingan jumlah kekuatan tentera islam adalah 1:3 berbanding dengan tentera musyirikin Quraish tetapi mereka sanggup mempertahankan agama dan kawasan dengan tidak mengenal erti gentar dan takut. Mereka juga yakin dengan pasti bahawa pertempuran ini mendapat bantuan dari Allah sebagaimana yang kita ketahui bahawa bala tentera yang terdiri daripada malaikat telah dihantar oleh membantu para tentera islam.

13. Selain itu, tentera musyirikin Quraish memandang rendah terhadap keupayaan tentera islam di dalam memenangi peperangan ini. Ini kerana 2 faktor yang menjadikan mereka terlampau yakin iaitu jumlah tentera islam yang sedikit berbanding kekuatan mereka. Lalu ini menyebabkan mereka menjangkakan kemenangan yang mudah. Ini merupakan satu pantang larang dalam setiap pertempuran kerana keyakinan yang melampau akan menyebabkan kegagalan yang besar. Faktor kedua ialah mereka juga masih yakin bahawa tentera islam tidak mampu menghalang mereka kerana sepanjang penentangan mereka terhadap islam, orang islam tidak mampu mempertahankan diri atau menentang mereka kecuali Saidina Umar Al Khattab. Mereka berpendapat bahawa mereka masih lagi berkemampuan mengalahkan tentera islam sebagaimana mereka lakukan kepada orang islam semasa di Mekah.

14. Kekalahan tentera Musyirikin Quraish menyebabkan mereka berhasrat untuk membalas dendam bagi kekalahan ini dan ia membawa kepada Peperangan Uhud. Dendam ini melibatkan dendam peribadi sebagaimana dendam Hindun terhadap Saidina Hamzah. Ia juga menyedarkan kaum musyirikin Quraish tentang keupayaan dan tahap disiplin pasukan  tentera islam yang selama ini dipandang rendah adalah tinggi sebagaimana tentera-tentera lain.

Saturday 21 August 2010

Pengunduran Tentera Amerika dari Iraq-Sejarah Vietnam Berulang

Rakyat Iraq meraikan pengunduran tentera AS

1. Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama semasa kempen Pilihanraya Presiden AS telah berjanji kepada para penyokongnya bahawa beliau akan membawa pulang trup AS di Iraq sekiranya beliau di pilih sebagai Presiden. Setelah beliau dipilih hampir 2 tahun  menjadi presiden, pada 19 Ogos 2010, setelah 7 tahun 6 bulan Operation Iraqi Freedom dilancarkan oleh George W. Bush, tentera AS akhirnya dirundurkan dari Iraq dan menuju ke Kuwait. Trup terakhir yang meninggalkan Iraq adalah daripada Briged Ke 4 Stryker dengan mula memasuki Kuwait pada jam 0130 dengan membawa 14,000 anggotanya.

2. Operasi ketenteraan AS di Iraq telah meragut nyawa seramai 4,400 anggota tentera AS dan 10 ribu nyawa rakyat Iraq. Kadar kematian yang tinggi dikalangan anggota tentera AS merupakan salah satu faktor yang mendorong penarikan keluar dari Iraq dan juga gesaan dari rakyat AS sendiri terhadap perkara ini. Faktor ekonomi dan juga tujuan keperluan tentera AS di Iraq yang sentiasa dipersoalkan baik oleh orang awam dan anggota tenteranya juga merupakan faktor mengapa penarikan tentera AS dilaksanakan selain janji presidennya sendiri kempen beliau.

3. Sebagaimana yang pernah disaksikan, kita disajikan dengan imej serta video bagaimana tentera penceroboh yang diketuai oleh AS disambut dengan girang rakyat Iraq semasa mereka mula memasuki Iraq. AS berasa amat yakin bahawa kehadiran mereka amat-amat dialukan berdasarkan kepada sambutan yang mereka terima. Walau bagaimanapun ia tidak kekal lama apabila saban hari terdapat serangan dan juga penentangan rakyat Iraq terhadap tentera penceroboh sehinggakan tentera AS sendiri mempersoalkan keperluan mereka berada di Iraq. Mereka juga mengalami tekanan perasaan dan kebuntuan dalam menangani ancaman penentang akibat cara peperangan yang berbeza dengan doktrin peperangan konvensional yang digunapakai oleh tentera AS iaitu insurgensi dan serangan IED (Improvised Explosive Device).  

4. Setelah pengunduran ini, AS hanya menempat sejumlah bilangan tenteranya di Iraq dengan tujuan untuk membantu tentera Iraq bagi melatih dan mentadbir tentera mereka sendiri. Bantuan ini akan berakhir pada 2011 dimana segala urusan pertahanan akan diserahkan kepada kerajaan Iraq 100 peratus.

5. Jika kita lihat pengunduran ini sama sebagaimana yang terjadi semasa penglibatan AS di Vietnam pada 1961 sehingga Ogos 1972 yang mana penarikan tersebut berlaku disebabkan tentangan dari rakyat AS sendiri berikutan bilangan korban anggota tentera AS yang bertambah saban hari. Pada awalnya Presiden Kennedy hanya menempatkan penasihat ketenteraan bagi membaiki tahap tentera Vietnam Selatan dalam menghadapi ancaman komunis dan ianya secara tidak langsung menunjukkan bahawa terdapat usaha AS sebagai pendokong demokrasi dalam mencegah teori domino komunis. Kennedy walau bagaimanapun tidak bersetuju untuk mengerahkan tenteranya ke Vietnam sehinggalah beliau dibunuh oleh Lee Oswold dan digantikan oleh Presiden Lyndon B. Johnson (LBJ). LBJ akhirnya mengerahkan tentera ke Vietnam Selatan bagi menentang ancaman komunis. Penglibatan AS di Vietnam mendapat bantuan dari negara-negara sekutunya seperti Australia, Korea Selatan, Filipina dan Thailand. Namun penarikan negara-negara tersebut menyebabkan AS menghadapinya bersendirian sehingga tahun 1972. Penarikan tersebut menyebabkan Vietnam Selatan terpaksa menentang ancaman Vietnam Utara dan Viet Cong bersendirian di bawah polisi Vietnamnisation yang mana sejumlah peralatan perang ditinggalkan oleh AS. Vietnam akhirnya jatuh ke tangan Vietnam Utara pada 30 Apr 1975.

6. Secara perbandingannya kita dapat lihat bahawa konsep yang sama dilakukan oleh AS dalam kedua-dua peperangan yang mana sekiranya ianya tidak dapat dimenangi, nasib negara tersebut akan diserahkan kepada pemimpinnya. Iraq sebagaimana yang kita ketahui masih belum aman dan stabil sebagaimana ianya di bawah pemerintahan Saddam Hussein. Konflik agama yang melibatkan Syiah dan Sunnah, tuntutan wilayah oleh puak kurdish, pengeboman orang awam oleh pengebom berani mati telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai masa depan Iraq. Adakah ianya akan dapat bertahan atau ianya akan menjadi sebuah negara anarki masih menjadintanda tanya.  Walau bagaimanapun tentera AS menyatakan bahawa pengunduran ini bukanlah penamat bagi operasi yang telah dijalankan. Walau apa pun kenyataan oleh AS, kita dapat lihat ianya seolah-olah AS memasuki negara yang berdaulat, menyingkirkan pemimpin yang dirasakan bakal menjadi ancaman kepadanya dan seterusnya menggantikan dengan apa yang dirasakan memihak kepada beliau. Sebagai contoh pandangan AS terhadap Iran, Venezuela, Cuba, Korea Utara dan Haiti dimana campurtangan AS  secara jelas ditunjukkan terhadap hal ehwal dalaman negara-negara berkenaan.

7. Kita tunggu dan lihat bagaimana nasib Iraq setelah AS meninggalkannya dalam keadaan yang huru hara. Sebagai orang islam kita bersama-sama mendoakan agar bumi yang pernah melahirkan ramai wali-wali dan cendikiawan akan kembali aman.

Tuesday 17 August 2010

Insurgensi


1. Semalam semasa  tengah godek-godek astro, tertekan History Channel. Wah rancangan menarik, terus letak remote tepi. Tajuk rencana tu Malayan Emergency. Rancangan tu lebih kurang sejam ++. Banyak juga maklumat dan pelajaran yang saya perolehi dalam rancangan tersebut. Apa yang menarik dalam rancangan itu, foto dan filem yang jarang saya lihat ada ditunjukkan.

2. Rancangan tersebut menceritakan tentang sebab musabab dan tokoh yang memainkan peranan dalam darurat ini dan juga wawancara dengan orang perseorangan yang terlibat samada pihak keselamatan atau komunis. Sebagaimana yang yang diketahui dan dipelajari Darurat di Malaysia berlangsung sebanyak dua kali iaitu Darurat Pertama dari 1948 - 1960 dan Darurat Kedua dari 1967 hingga 1989. Darurat berlangsung adalah kerana Parti Komunis Malaya untuk mengembangkan fahaman komunis dan menguasai Tanah Melayu daripada British selepas Jepun menyerah kalah. Darurat pertama bermula selepas insiden pembunuhan Pengurus ladang berbangsa Inggeris di Sg Siput. Pelbagai cara dilakukan oleh British untuk menangani ancama komunis. Antarnya adalah rancangan Briggs yang diperkenalkan oleh Sir Harold Briggs yang menempatkan penduduk dari pinggir hutan ke kawasan penempatan berpusat yang juga dikenali sebagai Kg Baru. Ia juga adalah untuk mengelakkan bantuan sampai ke pihak komunis. 

3. Semasa darurat pertama, hanya ada 13 batalion Infantri yang terdiri daripada tentera British, Gurkha dan 2 batalion Rejimen Askar Melayu dan unit-unit artileri yang terpaksa ditugaskan sebagai pasukan infantri, ia adalah terlalu sedikit untuk menentang ancaman komunis. Sehubungan dengan itu, British telah membawa masuk pasukan Royal Marines dan SAS (Special Air Service). Tentera dari negara Komanwel seperti Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika juga dibawa masuk untuk menentang komunis memandangkan pada ketika itu Malaya masih baru selepas mengecapi kemerdekaan dan masih memerlukan bantuan dari British dan negara komanwel. Selain dari menggunakan ketenteraan, operasi psikologi juga digunakan untuk memastikan ancaman komunis dihapuskan dan maklumat diperolehi. Antara operasi psikologi yang dijalankan adalah menubuhkan Cawangan Khas (SB), menyusup masuk ke dalam organisasi komunis, penyebaran risalah di dalam hutan dan juga ganjaran terhadap anggota komunis yang menyerah dan juga yang dapat membawa pemimpin komunis yang dikehendaki secara hidup atau mati. Tokoh yang utama yang dapat membaca 'fikiran' dan tingkahlaku komunis adalah CC TOO dan dia banyak merancangkan operasi psikologi terhadap komunis. Selain itu, penubuhan pasukan Senoi Praq dan juga pos-pos di dalam hutan belantara bagi membuat kawalan dan pemerhatian terhadap orang asli melalui kempen heart and minds bagi mengelakkan komunis memndapatkan bekalan makanan dan lain-lain keperluan. Selain itu apa yang penting adalah penggunaan helikopter untuk memastikan operasi dalam hutan belantara berjalan dengan lancar. Fakta yang paling menarik mengapa komunis menggunakan dead letter box. Berdasarkan rencana tersebut, pihak SB telah memasukkan sejenis alat ke dalam radio milik komunis yang sebelum ini telah dihantar untuk pembaikan. Apabila radio tersebut dibuka ia akan memancarkan gelombang radio dan ia membolehkan pesawat pengebom British mengebom kedudukan tersebut. Pengeboman yang berterusan menyebabkan kejatuhan moral dan kesan psikologi ke atas anggota komunis dan ianya mendorong mereka meletakkan senjata.

4. Rancangan tersebut telah membuka mata saya dan saya berharap agar diperbanyakkan lagi rancangan seperti ini. Selain itu juga diharapkan agar dokumentari darurat ke 2 diadakan juga. Ini kerana saya yakin bahawa darurat ke 2 merupakan perjuangan sepenuhnya oleh wira-wira Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dalam memastikan kebangkitan semula komunis dikekang sekali lagi. Ramai nyawa telah terkorban dan juga tak kurang juga yang terkorban. Banyak pihak luar menjadikan perjuangan semasa darurat sebagai bahan kajian ilmiah mereka seperti buku bertajuk learning to eat soup with a knife, war of running dogs dan banyak lagi. Manakala dokumentari yang pernah diterbitkan adalah Jungle Green Khaki Brown yang pernah disiarkan oleh TV3. Dengan adanya rancangan seperti ini ia diharapkan agar dapat memupuk kesedaran untuk memastikan Malaysia sentiasa aman. 

Ok la nanti kita jumpa lain kali dengan topik baru. Terima kasih.
  
 
 











Sunday 15 August 2010

Puasa di KTD

1. Salam semua. Sudah masuk 5 hari kita berada di dalam bulan Ramadan Al Mubarak. Sebut pasal puasa ni, kalau siapa yang kena training asas tentera, polis atau bomba atau lain-lain badan uniform, time ni memang rasa azabnya. tiba-tiba teringat kembali kenangan latihan masa bulan puasa. Macam-macam rasa ada masa tu azab, penat, fed up tapi bila kenang kembali rasa seronok dan kelakar pun ada. Training pula x kisah bulan puasa atau tidak, tetap sama je tahap kena lanyak. Kalau PT pagi tu, PTI buat tak kisah je sampai dalam hati bersungut "dia suruh buat betul-betul tak apa la sebab dia tak kena buat". Iman masa tu pun nipis aja, rasa nak buka puasa tu lebih dari rasa nak puasa.


2. Pada masa tu, pegawai KAGAT pun ada training asas peg KAGAT sekali dengan kita orang jadi bila dia orang lintas bilik kadet-kadet ni, macam-macam bau yang dia orang cium terutamanya maggi (makanan rasmi tu), apa yang ustaz boleh buat nasihat saja la nak marah pun tak boleh sebab dia orang pun nampak macam mana kita orang kena lanyak ngan PTI. Ada tu yang lepas PT siap announce 'sekarang masuk la waktu berbuka puasa bagi kawasan KTD' sebab nak standby buka puasa dan Ustaz KAGAT yang ada depan bilik buat tak dengar je la. PT masa puasa satu hal, kena masuk untuk CIW dalam hutan satu hal, bulan puasa lak tu. Hmmm nasib badan la. Nasib tak kena CW kalau tak rasanya satu hari masa latihan tu tak lekat puasa al maklumlah penat dan letih. Itu pun ada yang kantoi tak puasa last-last kena rendam dalam sungai dengan jurulatih. 

3. Bersahur wajib pula tu. Dah la kena pi sahur dalam pukul 0330 kat mes kadet. Punya la malas Allah saja yang tahu. Menu masa buka puasa dengan sahur faham-faham saja tapi disebabkan pada masa itu saja makanan yang ada selain maggi, bedal saja la. Tapi yang peliknya pada masa tu makan banyak-banyak badan tetap maintain slim. Apa-apa hal pun itu semua kenangan masa training Kadet TJP-64 di KTD dulu-dulu. Harap-harap siapa-siapa yang tak puasa dah ganti la puasa tu ye. Dah dekat 10 tahun tu nanti carry fwd  byk sangat nak ganti hehehe. Ok last not least kalau ada yang terasa hati jangan marah ye, saya minta maaf ye. Saja je seronok bila ingat zaman training nie comradeship kuat, membujur lalu melintang patah. Sekarang ni ada dah yang berhenti dan ada yang dah promoted. Jangan lupa sedekahkan alfatihah untuk skot kita yang dah tiada. Jumpa lain kali.

Wednesday 11 August 2010

Ulasan buku mengenai Khalid Al Walid, Pedang Allah





Buku yang ditulis oleh Lt Jen A.I. Akram




1. Pertamanya saya ingin mengucapkan selamat berpuasa. Diharapkan puasa kali ini kita akan mendapat keberkatan dan ganjaran yang berlipat ganda. Sempena Ramadan ini,saya ingin berkongsi mengenai satu buku yang MESTI dibaca ara serius atau sesama ada secara santai sambil menunggu waktu berbuka. 

2. Tajuk buku yang saya ingin ulas ialah  The Sword of Allah; Khalid bin Al-Waleed, His Life and Campaigns yang ditulis oleh Lt Jeneral A.I.Akram, seorang pegawai Tentera Pakistan. Ia mula diterbitkan pada tahun 1969. Beliau menerbitkan buku ini adalah untuk menjadikan tokoh-tokoh islam terutamanya panglima sebagai rujukan dan bahan bacaan. Sebelum ini, maklumat-maklumat mengenai mereka hanya diperolehi dalam bahasa arab dan sesetengahnya adalah kurang tepat. Penulis telah melaksanakan  kajian terhadap dokumen-dokumen, manuskrip dan setiap kawasan yang pernah menjadi medan pertempuran Khalid Al Walid. Di dalam buku ini juga menceritakan secara terperinci dan mendalam mengenai hidup Khalid Al Walid bermula dari ia kecil hingga kepada kewafatan beliau, kempen-kempen ketenteraan semasa  masih kafir sehinggalah menjadi panglima kaum muslim. Buku ini juga menunjukkan gambarajah aturgerak Khalid semasa pertempuran yang dipimpin oleh beliau.

3. Khalid Al-Walib merupakan salah seorang daripada Panglima Islam yang terulung merangkumi 3 pemerintahan utama iaitu zaman Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab. Ketangkasan dan keberanian beliau telah menyebabkan beliau mendapat gelaran dari baginda Rasulullah S.A.W sebagai Pedang Allah diatas keberanian dan ketangkasan beliau semasa bertempur dimana semasa peperangan Mu'tah dimana belaiu telah mematahkan 9 pedang semasa pertempuran. Beliau merupakan antara panglima-panglima Islam yang terlibat didalam 2 operasi yang penting di dalam Islam untuk menawan Parsi dan Rom. Saya akan menerangkan kempen-kempen beliau pada masa yang akan datang. 


4. Dalam buku ini juga menerangkan bagaimana perwatakan Khalid Al Walid yang amat tangkas dan berani semasa di medan pertempuran sehinggakan Amr Al Aas semasa menjawab persoalan Saidina Abu Bakar mengenai Khalid menjelaskan bahawa Khalid adalah pakar dalam peperangan, sahabat kepada kematian, tangkas seperti singa dan sabar seperti kucing. Selain itu, beliau juga akan mencari peluang semasa pertempuran untuk dieksploitasi dan mengalahkan musuhnya. Beliau juga mempunyai kira-kira 400 orang pasukan berkuda yang digunakan untuk memberi kejutan sekaligus melemahkan musuh.


5. Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan dewasa kerana ia menggunakan bahasa yang mudah difahami. Jalan ceritanya menarik seolah-olah kita berada bersama dalam cerita yang disampaikan. Maklumat-maklumat yang diceritakan juga amat terperinci terutamanya bagi setiap pertempuran yang berlangsung yang disertakan bersama nota kaki dan perbandingan dengan versi yang lain. Bagi sesiapa yang kurang berminat untuk membacanya dalam bahasa Inggeris, terdapat juga dalam versi bahasa melayu yang merupakan terjemahan daripada buku ini.  

6. Insyaalah saya akan cuba membuat penerangan mengenai setiap pertempuran yang dilalui oleh Khalid Al Walid berdasarkan buku ini serta sumber-sumber lain. Insyaallah jika diizinkan. Sekian terima kasih kerana sudi membaca ulasan saya kali ini.

Sunday 8 August 2010

Perang Afghanistan semasa Soviet dan Amerika Syarikat

1. Peperangan di Afghanistan yang melibat NATO dan diketuai oleh Amerika Syarikat sudah memasuki tahun ke 9. Ia bermula pada 7 Okt 2001 selepas insiden 911 (11 Sep). Afghanistan juga pernah menghadapi peperangan yang serupa sebelum ini bermula pada Dis 1979 sehingga 15 Feb 1989 dengan kekalahan yang memalukan di pihak Soviet.

2. Jika dilihat, tujuan Kesatuan Soviet menceroboh Afghanistan adalah untuk mengembangkan pengaruh komunis dan mengelakkan Afghanistan di jadikan sebagai pengkalan dan zon penampan oleh negara-negara seterunya semasa Perang Dingin sedang memuncak. Manakala Amerika Syarikat berhasrat untuk menumpaskan Al-Qaeda yang dikatakan sebagai pencetusnya tragedi 911 manakala Taliban pula dituduh memberikan perlindungan kepada Al-Qaeda dan juga Osama ben Laden dan itu menjadikan ia sebagai alasan utama bagi pencerobohan itu. 

3. Pada hari ini kita dapat lihat dimana Pertubuhan Perjanjian Antlantik Utara (NATO) yang diketuai oleh Amerika Syarikat sedang menghadapi peperangan yang dilihat tiada penghujungnya. Pelbagai cara telah dilakukan oleh NATO untuk memenangi peperangan ini tetapi kematian anggota tentera mereka dilihat semakin bertambah dari hari ke hari. terdapat beberapa negara telah menyatakan hasrat atau telah menarik tentera mereka dari Afghanistan.

4. Terdapat 2 perbezaan cara operasi yang dilaksanakan oleh kedua-dua kuasa besar. Soviet menggunakan operasi pasukan payung terjun untuk menawan lapangan terbang dan kawasan-kawasan penting dan diikuti pencerobohan dari darat oleh 40th Army. Manakala Amerika Syarikat menggunakan  risikannya melalui CIA dibantu oleh  pasukan komandonya. Serangan mereka didahului oleh kuasa udara dengan mengebom kawasan yang disyaki sebagai kawasan pertahanan utama Taliban dan kemudiannya diikuti oleh serangan darat. Serangan itu juga dibantu oleh Pakatan Utara yang mana ia adalah rakyat-rakyat Afghanistan yang membenci Taliban dan berhasrat untuk menggulingkannya.

5.  Kedua-dua kuasa memandang rendah terhadap semangat rakyat Afghanistan yang tidak menyukai pencerobohan dan juga keadaan muka bumi negara tersebut yang menyukarkan pasukan penceroboh. Ini menyebabkan peralatan yang canggih dah berkemampuan tinggi yang dimiliki oleh mereka, ianya tidak dapat menandingi kedua-dua elemen tersebut.

Penerangan mengenai penentangan rakyat Afghanistan akan saya terangkan melalui 2 tajuk yang berasingan. Jadi kalau ada apa-apa yang terkurang, saya minta maaf la kerana ini hasil blog saya yang pertama. Komen daripada pembaca amat dialu-alukan.



Selamat datang

Salam, blog saya adalah sebagaimana yang saya nyatakan tadi. Ia adalah untuk membincangkan mengenai tips-tips menjaga kesihatan, ulasan buku, kajian mengenai pertempuran dan juga pemimpin-pemimpin yang hebat. Kalau tiada aral melintang saya akan cuba selitkan maklumat terkini mengenai teknologi pertahanan dan hubungkaitnya dengan pertahanan sekarang. No politic please. Itu sahaja terima kasih